Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hari Pertahanan Mutlak satu peringatan S'pura hanya boleh bergantung pada diri sendiri untuk melindungi negara ini: PM Lee

Anggaran Waktu Membaca:
Hari Pertahanan Mutlak satu peringatan S'pura hanya boleh bergantung pada diri sendiri untuk melindungi negara ini: PM Lee

Komander Pasukan Bersekutu Leftenan-Jeneral Arthur E. Percival menyerah diri kepada Jepun pada 15 Februari 1942. (Gambar ihsan: Arkib Negara Singapura)

SINGAPURA: Hari ini (15 Feb) genap 80 tahun sejak Singapura jatuh kepada Jepun dalam Perang Dunia Kedua pada 1942.

Sejak 1984, ia diperingati setiap tahun sebagai peringatan kepada warga Singapura bahawa mereka perlu mempertahankan negara mereka.

Dalam catatan Facebook hari ini (15 Feb), PM Lee menyingkap detik Singapura jatuh kepada Jepun pada 15 Februari 1942.

Menurutnya, pertempuran Singapura atau 'Battle for Singapore' berlaku secara pantas dan singkat.

Hanya seminggu selepas pasukan pertama tentera Jepun tiba di Singapura, sistem bekalan air Singapura hampir lumpuh, tiada lagi petrol yang tinggal.

Malah, hanya tinggal sedikit bekalan peluru dan makanan.

Menurut PM Lee, sebarang serangan tindak balas pasti sekali gagal. Justeru, tiada pilihan lain kecuali menyerah kalah.

Pada lewat petang 15 Februari 1942, Komander Pasukan Bersekutu Leftenan-Jeneral Arthur E. Percival menyerah diri kepada Jepun di Kilang Motor Ford di Upper Bukit Timah Road (kini dikenali sebagai Kilang Ford Lama).

"Singapura jatuh dan selama tiga tahun dan tujuh bulan, penduduk di sini menderita di bawah Penjajahan Jepun.

"Ia merupakan peristiwa paling gelap dalam sejarah Singapura, namun kita mengharunginya dengan penuh ketabahan dan azam kuat.

"Kita memperingati Hari Pertahanan Mutlak setiap tahun sebagai peringatan bahawa kita tidak boleh bergantung pada sesiapa pun, hanya diri sendiri, untuk melindungi negara kita," kata PM Lee sebelum mengakhiri catatan tersebut dengan tanda pagar #NeverAgainSG.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan