Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hari Penghuni terakhir Rumah Kebajikan Muhammadiyah di Bedok North

Rumah Kebajikan Muhammadiyah menganjurkan acara tahunan mengiktiraf pencapaian penghuni-penghuninya dengan cara cukup simbolik. Ia merupakan acara penutup dan yang terakhir dianjurkan di bangunan RKM di Bedok North pada malam Sabtu (26 Mac), sebelum berpindah ke tapak barunya di Pasir Ris Jun ini. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) menganjurkan acara tahunan mengiktiraf pencapaian penghuni-penghuninya dengan cara cukup simbolik.

Ia merupakan acara penutup dan yang terakhir dianjurkan di bangunan RKM di Bedok North pada malam Sabtu (26 Mac), sebelum berpindah ke tapak barunya di Pasir Ris Jun ini.

Acara tersebut turut dihadiri Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli.

'ILHAN' DIIKTIRAF PENGHUNI RKM CEMERLANG

Diletakkan di Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) pada 2014, ‘Ilhan’ yang kini berusia 18 tahun, pernah banyak kali melarikan diri.

Namun, semakin ‘Ilhan’ membesar, dia sedar dia perlu berubah.

Ilhan akhirnya mula memberi fokus kepada pelajaran.

'Ilhan' (bukan nama sebenar) diiktiraf Penghuni RKM Paling Cemerlang pada Jumaat malam (26 Mac).

Kini menuntut di ITE Kolej Barat dalam bidang Teknologi Automotif, ‘Ilhan’ berubah menjadi seorang belia yang lebih positif dan bertanggungjawab ke atas dirinya.

Demi mengiktiraf perubahan positif itu, ‘Ilhan’ menerima anugerah Penghuni RKM Paling Cemerlang semasa acara Hari Penghuni anjuran rumah tumpangan itu semalam.

Lebih manis lagi, anugerah itu diterimanya dari Encik Masagos Zulkifli, yang juga merupakan Menteri Kedua Kesihatan.

LAGI 9 BEKAS PENGHUNI RKM TERIMA ANUGERAH AL-FATIH

Pelbagai anugerah lain turut disampaikan kepada para penghuni RKM.

Anugerah Al-Fatih pula diberi kepada sembilan bekas penghuni RKM, yang menggalak bekas penghuninya meneruskan pendidikan ke peringkat posmenengah.

Sejak diperkenalkan pada 2012, hampir 80 anugerah biasiswa itu diagihkan.

Antara penerima biasiswa Al-Fatih itu tahun ini ialah 'Dan', bekas penghuni RKM yang lulus NITEC dalam jurusan Khidmat Mekanikal dan Elektrikal dengan mendapat GPA 4. Kisah Dan dikongsi oleh Encik Masagos menerusi Facebook.

Menurut Encik Masagos, RKM menerima Dan kerana keluarganya tidak dapat memberi jagaan yang mencukupi kepadanya. Selama empat di RKM, kata Encik Masagos, Dan menyesuaikan diri dengan sekitaran baru itu dan bersikap positif.

Dan akhirnya mencatat keputusan baik dalam pelajaran sehingga dapat melanjutkan pendidikan ke peringkat NITEC Tinggi. 

(Gambar: Facebook/Masagos Zulkifli)

(Gambar: Facebook/Masagos Zulkifli)

"Kami amat mementingkan pembelajaran berterusan apatah lagi pada usia remaja. Inilah nilai-nilai yang kami ingin selalu tanam di dalam jiwa anak-anak RKM," kata Superintenden RKM, Rahmatunnisa Abdul Majeed.

Tambahnya lagi: "Satu tinjauan yang RKM adakan menunjukkan bahawa mereka yang meneruskan pelajaran di peringkat 'O' dan 'N', mereka kurang terjebak kembali ke unsur-unsur negatif."

PERANAN MEMBANGUN MASYARAKAT

Menulis di Facebook pada Sabtu (27 Mac), Encik Masagos berkata: "Saya berbesar hati rumah kebajikan sukarela seperti MWH menawarkan sekitaran selamat untuk membimbing dan memperkasa kanak-kanak untuk mengharungi serta atasi liku-liku kehidupan."

Ini dilakukan sementara sumber masyarakat dan bantuan dihulurkan kepada keluarga kanak-kanak tersebut untuk menyokong proses peralihan mereka apabila kembali ke pangkuan keluarga, tambah beliau.

Encik Masagos juga menyeru lebih ramai rakan kerjasama dan relawan tampil untuk "secara bersama menyokong kanak-kanak ini dan keluarga mereka."

"Kita semua mempunyai peranan dalam membangunkan masyarakat lebih penyayang," pesan beliau.

ACARA TERAKHIR RKM DI BEDOK NORTH

Selain pengagihan anugerah kepada para penghuninya, mereka juga menghasilkan video-video pengalaman mereka semasa di RKM.

Acara Hari Penghuni yang dianjurkan itu merupakan yang terakhir di Bedok North sebelum RKM berpindah ke Pasir Ris.

Pemindahan itu ditangguhkan selama setahun kerana pandemik COVID-19.

Cik Rahmatunnisa berkata: "Kami telah bertapak di Bedok North selama 10 tahun dan telah menjalinkan hubungan erat dengan masyarakat sekeliling. Dengan ini sebagai acara terakhir, ia merupakan penutup tirai indah bagi perjalanan kami di Bedok. Tentu sahaja ia bernostalgia. Dalam pada ini, kami juga berbesar hati untuk memulakan fasa baru di Pasir Ris."

Selama sedekad, pelbagai acara dianjurkan RKM termasuk Fiesta Kebajikan dan acara-acara kemasyarakatan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan