Hari Orang Pulau raikan warisan individu yang pernah tinggal di selatan SG
Memperingati masyarakat Orang Pulau yang tinggal di pulau-pulau sekitar Singapura dahulu, menerusi sambutan Hari Orang Pulau yang diadakan buat julung-julung kalinya pada Sabtu (14 Jun).
Acara tersebut memberi perhatian kepada warisan orang pulau di beberapa pulau Singapura, seperti Pulau Semakau, Pulau Sekijang Bendera atau Pulau St. John dan Pulau Sentosa.
Ia merupakan antara 77 pulau yang pernah membentuk Singapura.
Kawasan West Coast dipilih bagi sambutan Hari Orang Pulau kerana ia pernah menjadi tempat yang sering digunakan ramai Orang Pulau di selatan Singapura untuk berulang-alik ke tanah besar.
Sambutan tersebut diharap akan menggalakkan lebih ramai orang untuk tampil berkongsi kisah mereka.
"Saya rasa, ramai dalam kalangan mereka memendam identiti ini, kerana apabila mereka berpindah ke tanah besar Singapura, mereka perlu menyesuaikan diri dengan banyak perkara, dan kadangkala mereka rasa bahawa asal-usul mereka tidak diraikan secukupnya," kata pengasas Orang Laut SG, Firdaus Sani.
"Malah, apabila mereka berpindah ke tanah besar, ramai yang berasa malu kerana berasal dari pulau. Jadi, perubahan minda juga perlu kita lakukan," tambah beliau.
Dalam pada itu, pemerintah bakal membentuk satu kumpulan berbilang agensi bagi menyokong lebih banyak inisiatif seumpama ini, demi memelihara kepelbagaian dalam kalangan masyarakat Singapura.
Kata Menteri Pendidikan, Desmond Lee, "Warisan bukan sekadar wujud di dalam muzium atau terpampang di papan cerita. Ia hidup melalui kisah-kisah yang diturunkan dari satu generasi ke generasi seterusnya. Hanya dengan cara itulah warisan kita akan kekal hidup dan tidak sekadar menjadi sejarah semata-mata. Ia tetap menjadi warisan kerana ia terus hidup dalam masyarakat."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.