Hari Mastera 2024 libatkan lebih ramai belia, semarakkan sastera Melayu SG

(Gambar: Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS)
SINGAPURA: Hari Mastera 2024 lebih meriah tahun ini dengan penglibatan lebih ramai belia.
Tahun ini, para belia daripada persatuan pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS) dan hampir 30 Sahabat Sastera terlibat dalam acara tersebut yang diadakan di The Arts House pada Sabtu (17 Ogos).
Ini merupakan edisi kedua Hari Mastera anjuran Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS).
Menerusi inisiatif itu, para belia diharap dapat menghayati dan mengulas karya-karya sastera di Singapura.
Ini demi memperkasa keupayaan mereka untuk menjadi penggerak aktiviti sastera di negara ini.

"Sahabat sastera diberi tanggungjawab lebih khas kerana sasaran kami adalah mereka akan menjadi penggerak dan pengkaji sastera.
"Penggerak dan pengkaji ni sebenarnya dalam ekologi sastera Melayu Singapura, apa yang kita perlukan mentelah lagi kita jadi anggota Mastera. Jadi kita harus kirim peserta, makalah dan pembicara. Jadi kita harus latih sekelompok anak-anak muda yang mampu menulis dan berbicara," kata Pengerusi Jawatankuasa Persuratan MBMS, Dr Azhar Ibrahim.
Menurut Dr Azhar, keupayaan itu penting dalam dunia penulisan dan wacana.

TEMA HARI MASTERA - TANAH AIR SASTERA
Tema besar tahun ini bagi Hari Mastera adalah 'Tanah Air Sastera'.
"Kebetulan bulan ini (Ogos) adalah bulan kemerdekaan, Hari Kebangsaan untuk Singapura, Malaysia dan Indonesia. Jadi 'Tanah air Sastera' memberi suatu gambaran tentang ekologi sastera.
"Kami mahu bangunkan ekologi sastera. Ini bermakna bahawa sastera perlukan tampungan struktur, sumber keterikatan manusia, persatuan penulis dan sebagainya untuk melaksanakan perkara tersebut. Jadi kalau 'Tanah Air Sastera' itu subur, ekologi sastera akan maju ke depan," kata Dr Azhar.
INISIATIF UNTUK RAIKAN PENUBUHAN MASTERA
Inisiatif Hari Mastera adalah untuk meraikan penubuhan Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) pada 1995 dan menghargai sumbangan individu yang menghasilkan karya.
Pada masa yang sama bagi menjalinkan rangkaian bersama penulis-penulis lain di nusantara.
Acara itu melibatkan para sasterawan Melayu mapan, para akademik dan Sahabat Sastera yang berkumpul untuk bertukar idea, karya dan kepakaran.
Selain itu, ada juga persembahan deklamasi puisi oleh Chairul Fahmy dan Kamaria Buang serta sebuah sesi kuliah dengan Wan Khuzairey berjudul 'Puisi Usman Awang'.
Inisiatif tersebut diharap dapat memacu dan menjadi pemangkin sastera Melayu ke peringkat antarabangsa melalui pelbagai program seperti seminar dan bengkel.
"Hari Mastera ini adalah bagi meraikan keluarga besar sastera Asia Tenggara Nusantara dan kebetulan tahun depan kita akan menjadi tuan rumah untuk Hari Mastera. Sebelum ini ia dilakukan pada bulan September atau Oktober. Jadi kali ini kita adakan ia sedikit awal pada bulan Julai atau Ogos," kata Dr Azhar.
MBMS RAIH MANFAAT JADI ANGGOTA MASTERA SELAMA LEBIH SEDEKAD
Jawatankuasa Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) juga sudah meraih pelbagai manfaat selepas menjadi ahli anggota Mastera selama lebih 10 tahun.
"Kita kini dalam peta besar sastera Nusantara dan kita sebahagian yang diakui dan diiktiraf. Para sasterawan kita juga mempunyai pendedahan yang kita perlukan kerana sastera kami tidak boleh berdiri dalam lingkungan yang kecil.
"Dalam sejarah, para sasterawan kita juga mempunyai keterikatan dengan dunia Nusantara. Jadi kita harus perkembangkan itu dan kita perlu ada struktur untuk menampungnya. Jadi Mastera menampung ikatan ikatan seperti itu. Jadi para sasterawan di sini ada pertalian dengan para penulis dari Indonesia, Malaysia, Brunei dan sebagainya," ujar Dr Azhar.
Pengerusi MBMS, Fahmi Aliman juga mengalu-alukan sambutan acara tersebut.

"Sememangnya, masyarakat dan budaya Melayu tidak dapat dipisahkan dengan seni dan warisannya. Sastera merupakan satu aspek dan wadah penting untuk penukaran idea dan isu-isu sosial bagi masyarakat kita. Jadi, penting untuk kita mengadakan program ini untuk terus melestarikan sastera kita.
"Kehadiran Singapura di tengah-tengah negara Mastera penting kerana kita mampu menjadi pusat yang memajukan idea-idea dan strategi baharu untuk mempromosikan sastera Melayu," kata Encik Fahmi.
Memandang ke hadapan, MBMS akan terus menjalankan acara-acara berkaitan persuratan seperti Anugerah Guru Budiman dan Bulan Bahasa.

Persatuan itu juga sedang memperkasa kebolehan para sahabat sastera dalam bidang penulisan dengan mengadakan bengkel-bengkel serta ruang bagi para belia tampil untuk membicarakan tentang karya sastera tanah air.
Negara-negara anggota lain seperti Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia juga akan mengadakan sambutan serupa di negara masing-masing.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.