Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hari Kencing Manis Sedunia: Pesakit dan penjaga pesakit terima anugerah sulung Diabetes Singapore

Sempena ulang tahunnya yang ke-50 dan juga sambutan Hari Kencing Manis Sedunia, pertubuhan amal Diabetes Singapore mengiktiraf sumbangan dan pengorbanan tujuh individu dalam usaha memerangi kencing manis. Antaranya adalah pesakit Encik Ahmat Pagi dan penjaga pesakit Cik Zaitoon Bee Syed Mohd.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Oleh kerana sibuk mencari rezeki dan juga permintaan pekerjaannya yang berat dan mencabar dahulu sebagai petugas logistik, Encik Ahmat Pagi tidak hiraukan tabiat pemakanannya.

Untuk memberinya tenaga, beliau banyak makan makanan yang tinggi karbohidrat seperti nasi dan jarang bersenam.

Akibatnya, beliau disahkan menghidap penyakit kencing manis jenis dua pada usia 32 tahun.

Ini selepas beliau alami simptom-simptom seperti kerap bangun tidur di malam hari untuk buang air kecil dan sering mengantuk.

Encik Ahmat yang juga seorang pemandu teksi terpaksa berhenti kerja sejak 1992 disebabkan penyakit itu.

NYARIS MAUT SELEPAS KOMA 10 HARI

Antara detik hitam yang menimpanya adalah apabila beliau diserang penyakit pneumonia sekitar 10 tahun lepas sehinggakan beliau koma selama 10 hari.

Beliau yang ketika itu bergantung kepada alat sokongan hayat nyaris-nyaris maut, bertekad untuk ubah gaya hidupnya apabila beliau pulih dan diberi peluang untuk hidup sekali lagi.

"Bila saya baik dari koma ini, saya sedaya upaya cuba untuk mengubah cara kehidupan saya, dan pemakanan saya," kata Encik Ahmat.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Selain perlu makan ubat-ubatan bagi mengawal penyakitnya, Encik Ahmat, 68 tahun juga perlu menyuntik insulin ke dalam tubuhnya setiap hari.

Malangnya, penyakit yang sudah beliau hidapi selama hampir 40 tahun itu juga menjejas fungsi ginjalnya dan beliau kini perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.

Namun begitu, Encik Ahmat bersikap positif dan berdisiplin dalam mengawal penyakitnya itu.

Berkat tekad dan azam beliau untuk melawan penyakitnya itu, beliau diraikan dengan Anugerah Daya Tahan Diabetes Singapore yang diberikan sempena Hari Kencing Manis Sedunia.

BAHAGIA BERDUA

Meskipun tidak dikurniakan cahaya mata, beliau bersyukur mempunyai isteri yang bukan sekadar teman hidup malah pendorong utama buat dirinya.

"Bila saya kena penyakit ini, saya jadi macam runsing tak tahu apa nak buat tapi Alhamdulillah saya ada orang yang memberi perangsang bagaimana mengatasi kencing manis, iaitu isteri," jelas Encik Ahmat.

"Pertama sekali dia beri perangsang saya supaya jangan lupa ambil ubat. Itu yang penting. Yang kedua ini, apa pemakanan saya ini yang boleh menyebabkan macam lebih kepada kencing manis," tambahnya, yang gemar meluangkan masa bersama isterinya, meskipun Encik Ahmat kini berkerusi roda.

Isterinya Cik Hamidah M Noor yang berusia 64 tahun, pernah bertugas dalam bidang perkhidmatan pelanggan.

Namun, beliau berhenti kerja sekitar dua tahun lalu untuk menjaga suaminya sepenuh masa.

SABAR MENJAGA ANAK SULUNG TANGANI KENCING MANIS

Peranan penting yang dimainkan seorang penjaga juga disanjung pihak penganjur acara iaitu Pertubuhan Diabetes Singapore dengan mengiktiraf dua daripada mereka dengan Anugerah Penjaga Pesakit.

Salah seorang daripadanya ialah Cik Zaitoon Bee Syed Mohd, 58 tahun.

Walaupun sudah hampir 20 tahun menjaga anaknya yang berpenyakit kencing manis, tidak terlintas pun di fikiran suri rumah sepenuh masa ini untuk mengeluh rasa penat.

"Dia anak saya, saya tak boleh cakap saya penat. Ini rezeki daripada Allah," kata Cik Zaitoon, yang mempunyai dua lagi cahaya mata.

Meskipun ada cabarannya, Cik Zaitoon sabar dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai orang ibu.

"Kadang-kadang dia buat perangai (throw tantrum) macam gitulah. Kalau kita cakap baik-baik dengan dia, dia dengar cakap. Kadang-kadang dia tak boleh kawal dia punya makan itu. Dia kan suka gula dan coklat. Jadi sekarang bila saya cakap dengan dia jangan makan, dia tak makan," jelas Cik Zaitoon, yang anaknya itu kini berusia 39 tahun dan masih tinggal bersamanya beliau dan suaminya.

Apabila tahap obesiti anaknya memuncak sehingga mencapai kadar BMI 55.8 dan terpaksa menjalani pembedahan bariatrik, Cik Zaitoon sentiasa bersamanya sepanjang proses pemulihan.

Memandangkan anaknya boleh mengambil ubat-ubatan sendiri, beliau hanya perlu menemani anaknya untuk janji temu doktor selain memantau pemakanan anaknya.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Bagi puteri tersayang, inilah satu-satu harapan si ibu buat anaknya...

"Saya nak dia bangkit semula seperti dulu. Seperti bekerja dan mempunyai keluarganya sendiri. Itu sahaja yang saya doakan selalu," kata Cik Zaitoon.

ANUGERAH BARU IKTIRAF USAHA PERANGI KENCING MANIS

Encik Ahmat dan Cik Zaitoon antara penerima sulung dua anugerah sempena acara Hari Kencing Manis Sedunia pada Ahad (14 Nov).

Bertempat di bangunan Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat, acara anjuran badan amal Diabetes Singapore itu dihadiri Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung yang turut menyampaikan anugerah.

Atas semangat yang dipamerkan Encik Ahmat dalam mengatasi cabaran hidup meski dibelenggu dengan penyakit kencing manis, sangat dikagumi dan beliau terpilih menerima Anugerah Daya Tahan.

Manakala pengorbanan tidak ternilai Cik Zaitoon pula menerima sanjungan dan terpilih antara dua penerima Anugerah Penjaga Pesakit.

Anugerah yang julung-julung kali diadakan itu juga bersempena ulang tahun ke-50 badan amal itu bagi mengiktiraf jasa tujuh individu yang memainkan peranan masing-masing dalam membantu usaha memerangi penyakit kencing manis.

Mereka terdiri daripada pesakit kencing manis sendiri, petugas jagaan kesihatan, sukarelawan, belia dan penjaga pesakit.

Menjelang akhir tahun ini, pihak berkuasa bakal menganjurkan sebuah kempen baru untuk menggalak para pesakit menjalani pemeriksaan komplikasi secara kerap dan meningkatkan kesedaran tentang komplikasi kencing manis yang menjejas mata dan kaki pesakit.  

Sumber : BERITA Mediacorp/sy

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa