Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hari Kencing Manis Sedunia: Kisah menginsafkan pemuda yang terkena pradiabetes

Menurut statistik NKF, Singapura menduduki tangga kedua di dunia bagi kegagalan ginjal akibat kencing manis.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Perangkaan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) menunjukkan, dua pertiga kes kegagalan ginjal berpunca dari kencing manis, dan orang Melayu membentuk 30 peratus pesakit ginjal di Singapura.

Pengesanan dan bertindak awal boleh mencegah penyakit ini dari mudarat.

Sempena Hari Penyakit Kencing Manis Sedunia pada Sabtu (14 Nov), BERITAmediacorp mendengar luahan hati seorang pesakit yang kesal tidak mengawal keadaannya lebih awal lagi.

DIKESAN PRADIABETES PADA USIA 20-AN TAHUN LAGI, TAPI...

Semasa berusia lewat 20-an tahun, Encik Mohd Nizam Mohd Dorah, disahkan menghidap tahap awal penyakit kencing manis (pre-diabetes).

Ini disebabkan tabiat pemakanannya yang kurang sihat seperti meminum minuman bergas, dan tinggi kandungan gula seperti minuman bertenaga, Redbull. Beliau juga kurang bersenam.

Dia dinasihatkan supaya mengawal pemakanannya. Namun, dia bersikap endah tak endah kerana berasakan dirinya masih muda dan dapat mengawal keadannya. Akibatnya, penyakit itu menjadi bertambah buruk dan menimbulkan komplikasi lain seperti darah tinggi dan tahap kolesterol tinggi.

(Gambar: Nurulkhasanah Agost/BERITAmediacorp)

Bapa tunggal dua orang anak itu berkata: "Saya pernah buta pada umur saya usia 39 tahun. Baru saya diberitahu oleh doktor punca buta saya itu kerana kandungan gula dalam darah saya dah terlalu tinggi, sudah hilang kawalan.

"Dan yang paling saya terkesan sekali waktu doktor kata buah pinggang saya sudah hampir Tahap 4. Ada tinggal 25 peratus yang berfungsi."

Sungguhpun di tahap kritikal, Encik Nizam enggan menerima hakikat perlu menjalani dialisis, hinggalah dia mengalami simptom-simptom tahap akhir penyakit ginjal.

"Saya pitam-pitam. Saya tak boleh bangun. Saya muntah-muntah setiap kali saya muntah. Satu hari sampai paling kurang lima, enam kali saya muntah-muntah.

"Seluruh badan saya dah jadi macam kembung sebab penuh dengan air yang dah bertakung dalam badan. Itu yang jadi saya lebih berat. Saya dah tak boleh nak bergerak. Saya cepat penat. Saya selalu rasa macam tak boleh bernafas. Itulah salah satu yang buat saya rasa macam siksalah," cerita Encik Nizam yang buat masa ini bertugas sebagai seorang duta pegawai jarak selamat.

MENYESAL KERANA TIDAK BERTINDAK LEBIH AWAL

Lantaran itulah dia mula menjalani dialisis sejak lapan tahun lalu pada usianya 41 tahun. Kini, Pusat Dialisis NKF The Hour Glass di Woodlands Avenue 6 ibarat menjadi rumah kedua Encik Nizam kerana perlu menjalani dialisis tiga kali seminggu. Setiap sesi pula mengambil masa empat jam.

Walaupun nasi sudah menjadi bubur, Encik Nizam yang kini berusia 49 tahun, bertekad meneruskan hidupnya hari demi hari dengan merubah pemakanan dan gaya hidupnya.

Apabila ditanya tentang sesalan terbesar hidupnya, ini jawapan Encik Nizam:

"Kalau saya lebih tahu daripada dulu, daripada awal, mungkin saya dapat memperbaiki lagi daripada awal."

(Gambar: NKF)

(Gambar: NKF)

Sebagai seorang pegawai pendamping pesakit sambilan bersama NKF, Encik Nizam turut aktif berkongsi pengalamannya kepada masyarakat dan ke masjid-masjid untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pencegahan kegagalan ginjal.

Nasihat yang sering beliau kongsikan adalah: "Yang paling penting sekali pergi buat pemeriksaan kesihatan. Sekurang-kurangnya sekali dalam setahun. Sebab kita tahu mungkin kita memang sihat sekarang. Tetapi esok, lusa, tahun depan, kita tak tahu."

MELAYU BENTUK 32% PESAKIT GINJAL NKF

Di Singapura, ada sekitar 440,000 pengidap kencing manis dan ia dijangka meningkat kepada sejuta menjelang 2050.

NKF menyatakan separuh daripada pesakit kencing manis tidak tahu mereka menghidapinya dan mengambil sikap sambil lewa walaupun sudah disahkan menghidapinya.

"Kami bimbang dengan jumlah yang semakin meningkat. Sebanyak 32 peratus daripada pesakit kami adalah masyarakat Melayu. Dan kami prihatin ia berkaitan dengan kencing manis.

"Kebimbangan terbesar kami adalah kegagalan ginjal mungkin menjejas pesakit secara individu. Tapi jangan lupakan keluarga anda. Ia turut menjejas keluarga anda secara keseluruhan. Penyakit ini berlarutan," tekan Ketua Pegawai Eksekutif, NKF, Encik Tim Oei.

Menurut statistik NKF, Singapura menduduki tangga kedua di dunia bagi kegagalan ginjal akibat kencing manis.

Sekitar lima orang disahkan menghidapi kegagalan ginjal di Singapura, setiap hari. 

Sumber : BERITA Mediacorp/SY/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan