Hari Jururawat: 2 jururawat lawan kesakitan dan kesedihan peribadi demi tuntutan tugas
Sedih dan sangat terkilan - demikian antara perasaan pahit yang perlu ditelan Cik Hah Sook Yee, 52 tahun apabila tidak dapat pulang ke Malaysia untuk menziarahi ibunya, sehingga beliau menghembuskan nafas terakhirnya.
SINGAPURA: Sedih dan sangat terkilan - demikian antara perasaan pahit yang perlu ditelan Cik Hah Sook Yee, 52 tahun apabila tidak dapat pulang ke Malaysia untuk menziarahi ibunya, sehingga beliau menghembuskan nafas terakhirnya.
"Masa ibu sakit tenat, saya rasa sedikit kesal sebab saya sendiri tidak boleh balik untuk jaga dia secara fizikal. Sebab saya sebagai seorang jururawat jaga pesakit tetapi ibu saya sendiri saya tidak dapat menjalankan tanggungjawab saya sebagai seorang anak menjaga ibu," kata Cik Hah.
Berasal dari Pulau Pinang, Malaysia, beliau sudah bertugas sebagai Jururawat Am Kanan di Wad Bersalin, Hospital Gleneagles selama enam tahun.
Kali terakhir Cik Hah dapat berjumpa ibunya adalah pada Februari 2020.
(Gambar: Hah Sook Yee)
"Masa itu ibu masih tidak tenat lagi tetapi ibu ada di rumah tumpangan orang-orang tua. Saya akan cuba untuk pergi melawat dia dan jika saya masih ingat, masa itu COVID-19 sudah bermula tapi saya tidak rasa gentar sebab, tidak fikir COVID-19 boleh menjadi teruk sehingga (saya) tidak boleh balik.
"Jadi saya selalu bercakap dengan ibu saya, saya akan balik dan tiap-tiap kali saya akan balik jumpa dia," kongsi Cik Hah, yang tidak membayangkan bahawa itulah kali terakhir beliau berjumpa dengan ibunya.
TONTON UPACARA PERSEMADIAN IBU MELALUI VIDEO
Beberapa bulan kemudian, ibunya diserang sejenis jangkitan paru-paru dan juga terjatuh ketika berada di rumah tumpangan.
Disebabkan sekatan-sekatan perjalanan, Cik Hah tidak dapat pulang dan hanya bergantung kepada pesanan WhatsApp dan panggilan video melalui Zoom yang dikirimkan keluarga dan sanak saudara untuk melepaskan rindu.
Apabila kesihatan ibunya semakin buruk, beliau nekad untuk pulang namun hajatnya tidak kesampaian apabila ibunya pergi buat selamanya pada 5 Oktober 2020.
Dalam suasana penuh syahdu, Cik Hah hanya mampu menyaksikan upacara persemadian menerusi panggilan video, dengan ditemani dua anaknya.
Di tengah-tengah mengubati kesedihan, Cik Hah cekalkan hati dan bangkit semula demi tuntutan tugas.
Berkongsi kepada BERITAmediacorp, Cik Hah juga berkata, kerjanya sebagai jururawat juga didorong oleh ibunya sendiri.
"Ini adalah satu impian semasa saya masih bersekolah sebab ibu saya juga seorang jururawat tapi dia bekerja di klinik. Jadi, dia yang membimbing saya, memberi saya sokongan," kata Cik Hah yang kini sudah jururawat selama 30 tahun.
(Gambar: Hah Sook Yee)
ALIHKAN TUMPUAN SEPENUHNYA KEPADA TUGAS, BANTU IBU-IBU LAIN
Menurut Cik Hah, pada awal-awal pandemik, ahli keluarga termasuk penjaga tidak dibenarkan untuk melawat ibu-ibu yang baru bersalin
Sebagai seorang ibu, beliau sangat memahami dan prihatin akan perasaan para pesakitnya itu, lantas memberikan segala tumpuannya kepada tugas.
(Gambar: Syawal Yusoff)
"Ramai di antara mereka (ibu-ibu) kena kuatkan semangat menjaga bayi sendiri sebab tidak ada ibu (keluarga) atau penjaga datang. Masa mereka di sini, saya akan cuba sedaya upaya untuk memberi tip-tip yang terbaik sekali sebelum mereka balik. Jadi mereka tidak hanya merasakan semangat tetapi keyakinan untuk pulang," ujar Cik Hah.
Cik Hah berkata beliau amat menghargai sokongan yang diberikan oleh keluarga dan rakan-rakan setugas kerana memberinya kekuatan untuk meneruskan perjuangannya, membantu negara memerangi COVID-19.
"Kamu tidak keseorangan sebab kamu akan sentiasa mempunyai kumpulan orang-orang seperti ini di sekeliling kamu," tambah Cik Hah.
(Gambar: Syawal Yusoff)
GAGAHKAN DIRI DEMI TUGAS DAN MINAT
Pengorbanan jururawat seperti Cik Hah dan lebih 42,000 yang lain diraikan hari ini (1 Ogos) sempena Hari Jururawat.
Meskipun ada pengorbanan terlalu berat untuk ditanggung, demi minat dan dedikasi, mereka laluinya juga seperti Jururawat Am Kanan Rudy Iriawan Ismail.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Ketidaktentuan masa para pesakit akan dibawa masuk ke unit kemalangan dan kecemasan (A&E) memerlukan beliau untuk sentiasa bersiap siaga dan tangkas.
"Kita menghadapi pelbagai jenis pesakit. Apa-apa sahaja yang anda boleh fikirkan, boleh terjadi, anda akan melihat jenis pesakit yang begini," kata Encik Rudy, yang sudah tiga tahun bertugas di Hospital Gleneagles.
Namun, dalam misi menyelamatkan pesakit lain, kesihatannya sendiri terjejas sehingga pernah mengalami serangan jantung pada 2015.
Walaupun mengalami penyakit jantung iskemia, Encik Rudy gagahkan dirinya juga untuk para pesakit serta minat dalam bidang kejururawatan, lebih-lebih lagi di bahagian A&E.
"Pertama, saya tidak boleh tinggalkan ubat saya. Kedua, saya sering melakukan senaman, saya ke gim, dan saya menunggang basikal.
"27 tahun yang lalu saya telah membuat keputusan untuk menjadi seorang jururawat. Akan saya teruskan sampai masa tua nanti," kata Encik Rudy.
ANAK SULUNG IKUT JEJAK DALAM BIDANG DAN UNIT SAMA
Bertugas dalam keadaan yang mencemaskan, sememangnya meningkatkan lagi risikonya terdedah kepada jangkitan termasuk COVID-19.
Tahun ini, Encik Rudy menerima cabaran paling berat yang pernah dihadapi sepanjang kerjayanya.
"Pada mulanya yang kena COVID-19 adalah saya dan orang rumah saya tapi yang paling dilanda teruk sayalah kerana COVID-19 itu menjadi radang paru-paru.
Jadi saya terpaksa dimasukkan ke hospital selama enam hari dan juga isteri saya. Selepas itu, secara perlahan-lahan, anak saya pun, satu persatu terkena jangkitan ini," kata Encik Rudy, yang mempunyai tiga cahaya mata.
Mujur, Encik Rudy sudah pulih namun beliau menyifatkan pengalaman tersebut sebagai menguatkan lagi daya mental serta kekuatannya sebagai pekerja barisan hadapan.
Malah, Encik Rudy juga boleh berbangga kerana anak sulungnya yang berusia 23 tahun mengikut jejaknya dalam bidang kejururawatan dan kini bertugas sebagai jururawat staf, A&E di sebuah hospital awam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.