Skip to main content

Singapura

Hari ini adalah ulang tahun ke-50 pemergian Allahyarham Yusof Ishak

Hari ini adalah ulang tahun ke-50 berpulangnya mantan Presiden pertama Singapura, Allahyarham Yusof Ishak. Beliau meninggal dunia pada 23 November 1970.

Anggaran Waktu Membaca:
Hari ini adalah ulang tahun ke-50 pemergian Allahyarham Yusof Ishak

Mantan Presiden Singapura, Yusof Ishak. (Gambar-gambar: Petikan video, Mediacorp)

SINGAPURA: Hari ini adalah ulang tahun ke-50 berpulangnya mantan Presiden pertama Singapura, Allahyarham Yusof Ishak. Beliau meninggal dunia pada 23 November 1970.

Allahyarham, yang juga presiden berbangsa Melayu pertama negara ini, menyandang jawatan Yang di-Pertuan Negara pada 3 Disember 1959 sebelum memimpin sebagai Presiden Singapura pada 9 Ogos 1965 setelah republik ini merdeka.

Sepanjang 11 tahun memimpin Singapura, banyak sekali pencapaian tokoh bernama Yusof Ishak yang wajahnya diabadikan pada duit-duit kertas negara ini, sejak tahun 1999.

Nama beliau juga diabadikan pada institut pemikir dan kajian terkemuka, ISEAS - Institut Yusof Ishak pada tahun 2015. Dua tahun kemudian pada 2017, nama beliau digunakan untuk sebuah masjid baru, iaitu Masjid Yusof Ishak.

Allahyarham dilahirkan pada tahun 1910 - bermakna jika beliau masih hidup sekarang, beliau akan berusia 110 tahun.

Mantan Presiden Singapura, Yusof Ishak. (Gambar-gambar: Petikan video, Mediacorp)

Sempena 50 tahun pemergian Allahyarham, Masjid Yusof Ishak adalah antara yang mengingati dan menghulurkan doa kepada beliau.

“Assalamualaikum. Malam ini kami hulurkan penghormatan kepada Presiden pertama kita. Kita bacakan Al-Fateha, untuk seorang ketua negara, anak, abang, suami dan bapa. Allahummaghfirlahum warhamhum wa'afihim wa'fuanhum,” tulis Masjid Yusof Ishak menerusi laman Facebooknya. 

3 ASPEK PENTING SUMBANGAN YUSOF ISHAK

Sempena memperingati Allahyarham, BERITAmediacorp bertanya kepada Zamil Kanan di ISEAS - Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat tentang antara pencapaian dan sumbangan-sumbangan penting beliau kepada Singapura.

Menurut Dr Norshahril, sumbangan Allahyarham boleh dibahagikan kepada tiga aspek utama - iaitu prinsip berbilang budaya dan agama, sekularisme dan nasionalisme.

Semasa Allahyarham menyandang jawatan sebagai presiden, Singapura sedang berdepan pelbagai cabaran dari segi pembangunan politik, sosial dan ekonomi.

Salah satu teras utama yang diperjuangkan olehnya adalah prinsip hidup berbilang kaum dan agama. Usahanya itu membantu mengembalikan keyakinan dan kepercayaan kepada penduduk Singapura, yang ketika itu sebuah negara yang amat baru.

(Gambar-gambar: Petikan skrin, Mediacorp)

NASIONALIS PEJUANG MERITOKRASI

Beliau juga percaya pada sistem meritokrasi. Kepercayaan beliau pada sistem ini jelas, sehinggakan beliau kekal di Singapura sedangkan boleh sahaja beliau berhijrah ke negara-negara jiran.

"Perlu ingat, beliau amat berpengaruh dan memulakan Utusan Melayu, akhbar nasionalis Melayu yang berjaya. Apabila beliau kekal, orang Melayu percaya bahawa kehidupan yang dijanjikan di Singapura menjamin masa depan yang cerah," jelas Dr Norshahril.

Kedua, Allahyarham percara kepada sistem sekularisme dan tidak pernah memperjuangkan sebuah negara Islam.

"Malah beliau amat kuat dalam usaha memajukan masyarakat Melayu/Islam, dalam menitikberatkan aspek pelajaran. Dalam mempercayai sistem secular ini, beliau kekal sebagai seorang Muslim yang baik dan taat dalam beragama," ujar Dr Norshahril.

Ternyata, tidak kira di mana sekalipun seseorang itu berada, dia masih boleh mengamalkan dan menonjolkan keperibadian seorang Muslim yang baik.

SANGGAH PERSEPSI ‘MELAYU MALAS'

"Ketiga, beliau perlu diingat sebagai seorang pengasas Singapura, walaupun beliau bukan seorang ahli politik atau masuk mana-mana parti. Beliau membangkitkan semangat nasionalisme tinggi dan menyanggah persepsi negatif kolonial seperti “Melayu Malas” dan juga jiwa kebangsawanan (feudal).

Pada November 1960, Allahyarham dianugerahi Darjah Kerabat oleh kerabat diraja Brunei dan pada November 1963, Allhyarham dianugerahi Darjah Kebesaran Sri Maharajah Mangku Negara oleh Yang di Pertuan Agong Malaysia.

(Gambar-gambar: Petikan skrin, Mediacorp)

Kesihatan Allahyarham mula memburuk pada 1968 disebabkan masalah jantung dan sakit-sakit lain dan meninggal dunia dua tahun kemudian.

Sebagai penghargaan kepada Allahyarham, pada Julai 1966 mendiang Encik Lee Kuan Yew yang ketika itu merupakan perdana menteri merasmikan sebuah sekolah yang diberi nama Sekolah Menengah Yusof Ishak.

Dalam kata-katanya memperingati Allahyarham, Masjid Yusof Ishak turut berkongsi nukilan daripada salah satu ucapan beliau sempena majlis tilawatil Quran di Panggung Negara pada 9 Disember 1967:

“Kita tidak boleh hanya mendengar ayat-ayat suci Al Quran dibacakan. Tetapi mesti juga berusaha memahami maknanya agar ia menjadi panduan kepada kehidupan harian kita dan sekali gus membantu kita dan negara kita mencapai kejayaan dan kemakmuran lebih tinggi lagi pada masa depan.”

Dalam pada itu, sedang sumbangan besar Allahyarham Yusof Ishak dikenang, isteri beliau iaitu Puan Dr Noor Aishah Mohammad Salim juga patut terus dikenang sebagai Wanita Pertama Singapura.

(Gambar-gambar: Petikan skrin, Mediacorp)

Balu Allahyarham Yusof Ishak, Puan Dr Noor Aishah.

BERITAmediacorp dimaklumkan bahawa Puan Dr Noor Aishah, yang berusia 87 tahun, kini dirawat di hospital sejak sekitar sebulan lalu setelah terjatuh dan cedera di bahagian kakinya.

(Gambar-gambar: Petikan video, Mediacorp)

Balu Allahyarham Yusof Ishak, Puan Dr Noor Aishah.

Semestinya ramai akan mendoakan kesembuhan dan kesejahteraan Puan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita