Hari Ibu: Konsert khas 'Homemade for Mums' berlangsung Ahad 10 Mei, 8.00 malam
Esok (10 Mei) adalah Hari Ibu - hari istimewa yang lazimnya para ibu dibawa ke restoran atau seluruh keluarga berkumpul meraikan mereka.
SINGAPURA: Esok (10 Mei) adalah Hari Ibu - hari istimewa yang lazimnya para ibu dibawa ke restoran atau seluruh keluarga berkumpul meraikan mereka.
Bagaimanapun semua acara Hari Ibu kini terpaksa dilakukan di rumah sahaja ekoran COVID-19 dan peraturan 'circuit breaker'.
Namun demikian, masih ada pelbagai acara online yang boleh anda lakukan untuk meraikan ibu anda.
BERKORBAN UNTUK KELUARGA DAN NEGARA
Sebagai Pengurus Khidmat Cawangan POSB, Cik Suhaidah Sulaiman, 47 tahun perlu memastikan operasi cawangannya di White Sands ini sentiasa berjalan lancar.
Malah, bekerja semasa penularan COVID-19 yang berbahaya sekarang ini, ibu empat anak ini juga perlu menjaga keselamatan kakitangan dan pelanggan.
"Anak-anak saya berharap yang saya dapat bekerja dari rumah. Walau bagaimanapun, mereka memahami bahawa saya memainkan peranan penting dalam melayani masyarakat, dan perlunya seorang ibu membuat ‘pengorbanan’ ini," kata Cik Suhaidah yang sudah berkhidmat dengan POSB selama 28 tahun.
Pengorbanan ibu bekerja seperti itu hanyalah satu daripada pelbagai pengorbanan yang dilakukan golongan bergelar ibu di serata negara ini.
HARI IBU MENERUSI FB 'FAMILIES FOR LIFE'
Demi mengenang peranan penting para ibu sempena Hari Ibu esok, Majlis Keluarga Untuk Seumur Hidup (Families For Life atau FFL) mengajak orang ramai supaya memuat naik ucapan Hari Ibu ke laman Facebook 'Families For Life' dengan menggunakan '#FFLMothersDay'.
Ucapan-ucapan yang terpilih juga mungkin dibacakan oleh artis-artis popular seperti Kit Chan, Stefanie Sun dan JJ Lin.
Disebabkan tidak dapat keluar untuk meraikan Hari Ibu ekoran COVID-19, pelbagai acara dirancangkan FFL.
Misalnya mulai 10.00 pagi pada Ahad (10 Mei), anda juga berpeluang mengikuti kelas-kelas membuat kek, sesi bercerita dan persembahan-persembahan khas bagi para ibu yang disiarkan secara 'LIVE'.
Bagi penyanyi seperti Aisyah Aziz yang juga tidak dapat keluar meraikan Hari Ibu bersama bondanya, ini rancangan beliau:
"Tahun ini ia adalah istimewa sebab kami semua akan berada di rumah dan tiada gangguan. Jadi mungkin akan menonton filem ke, masak-masak sikit dan bersantai. Itu saja. Mungkin melukis?"
UCAPAN KHAS AISYAH AZIZ BUAT IBU-IBU
Pelantun lagu 'Bila Entah' itu juga akan turut membuat persembahan dari rumah dalam satu konsert khas dipanggil 'Homemade for Mums' pada Ahad (10 Mei), 8.00 malam.
(Gambar: Facebook/'Families For Life')
Aisyah Aziz turut meluahkan ucapan khas kepada semua insan bergelar ibu di luar sana:
"Terima kasih kerana menjadi inspirasi. Kekuatan anda memberikan harapan kepada dunia dan tanpa ibu, tiadalah kami dan saya rasa semudah itu saja. Ia juga sangat istimewa jadi terima kasih banyak-banyak kerana kekuatan anda."
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.