Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hari Guru: 2 guru guna cara kreatif rangsang minat dalam bahasa & budaya Melayu

Guru-guru bahasa Melayu menggunakan pelbagai pendekatan kreatif untuk menarik minat golongan muda dalam pembelajaran bahasa ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Guru-guru bahasa Melayu menggunakan pelbagai pendekatan kreatif untuk menarik minat golongan muda dalam pembelajaran bahasa ini.

Contohnya, di tadika MOE@Wellington, program 'Saya Wira/Wirawati Budaya' diperkenalkan untuk membantu para pelajar lebih memahami dan menghargai bahasa serta budaya Melayu.

Program itu yang dimulakan pada tahun 2021 adalah hasil inisiatif Cikgu Nur Nazhiifah Norazmi.

"Sebelum kami mengendalikan program 'Saya Wira/Wirawati Budaya' di pusat kami memang ada cabarannya di mana kanak kanak lebih cenderung menggunakan bahasa Inggeris di dalam kelas. Dengan itu, program ini kami melihat bahawa kanak-kanak lebih berminat untuk bertutur dalam bahasa Melayu.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Program ini membuka peluang kepada kanak- kanak untuk meneroka dan juga mempelajari bahasa dan budaya Melayu dengan lebih mendalam lagi. Ini menerusi topik-topik yang relevan kepada mereka dan juga sesuai bagi peringkat usia mereka seperti pakaian tradisional dan juga makanan tradisional," kata Cikgu Nazhiifah kepada wartawan Syawal Yusoff.

Program itu diadakan setiap penggal khusus untuk para pelajar K1 dan K2.

Semasa kunjungan kru BERITA Mediacorp ke tadika di Sekolah Rendah Wellington, Sembawang, kanak-kanak peringkat K2 sedang sibuk membuat ondeh-ondeh.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Saya mengambil kesempatan dalam mempelajari cara membuat kuih tradisional, mereka juga dapat mengenal kosa kata yang baharu yang saya boleh gunakan dan mengajak mereka untuk ulang semula," tambah Cikgu Nazhiifah yang mula mengajar di sekolah tersebut sejak 2019.

MAHU LUASKAN PROGRAM KE TADIKA MOE LAIN; MANFAAT LEBIH RAMAI PELAJAR

Penglibatan ibu bapa kata Cikgu Nazhiifah juga antara aspek yang ditekankan dalam program itu.

"Kami juga menyebarkan program ini kepada ibu bapa di mana kami ingin mereka menyokong program kami dengan melakukan aktiviti-aktiviti susulan di rumah. Jadi ini kami dapat mewujudkan kesinambungan di mana kanak-kanak dapat melakukan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan bahasa dan budaya Melayu bukan sahaja di sekolah, malah di rumah juga," ujar Cikgu Nazhiifah.

Untuk memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar, program itu juga dikongsi dengan prasekolah-prasekolah MOE yang lain.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Saya percaya akan keberkesanannya terhadap pembelajaran bahasa Melayu. Para pelajar Melayu kami lebih yakin untuk bertutur dalam bahasa Melayu dan juga menunjukkan minat terhadap budaya dan tradisi Melayu. Saya juga menerima banyak maklum balas yang positif daripada ibu bapa. Para pelajar berkongsi dengan ibu bapa mereka bahawa mereka lebih mengenal tentang satu aspek atau mengenai budaya ataupun tradisi Melayu.

"Saya juga ingin kanak-kanak dari prasekolah lain diberikan peluang untuk meneroka dan mempelajari bahasa, budaya dan tradisi Melayu. Seperti mana yang dialami oleh kanak kanak kami di tadika MOE@Wellington," kata beliau.

MANFAATKAN TEKNOLOGI; LAWATAN KERJAYA UNTUK PUPUK MINAT

Usaha untuk memupuk penghargaan dan keyakinan golongan muda terhadap bahasa Melayu juga telah diperjuangkan oleh Cikgu Nur Amalina Shalan sejak tahun 2016.

Beliau mengakui bahawa arus pemodenan dan gaya hidup pelajar yang berubah menjadikan tugasnya sebagai pendidik semakin mencabar.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Kita semua sedia maklum bahawa penggunaan bahasa Melayu kurang kerap di rumah dan juga di sekolah. Lebih-lebih lagi kalau di rumah itu ibu bapa biasa lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris dan rata-rata untuk semua subjek bahasa ibunda, inilah cabarannya.

"Cabaran utama bagi saya sebagai seorang guru bahasa Melayu ialah memastikan para pelajar saya faham apa yang saya sampaikan dalam bahasa Melayu dan penguasaan bahasa Melayu mereka sendiri. Mungkin disebabkan mereka kurang selesa berbahasa dalam bahasa Melayu ini membuat mereka kurang mahu melihat bahasa Melayu ini sebagai sesuatu subjek yang menyeramkan," kata Cikgu Amalina, 32 tahun.

(Gambar: Nur Amalina Shalan)

Untuk menarik minat pelajarnya, beliau menerapkan elemen-elemen pembelajaran yang moden, seperti merakam vlog, menghasilkan podcast, dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI).

"Saya gunakan chatGPT untuk mendapatkan pelajar cari isi isi untuk karangan ataupun perbincangan di dalam bilik darjah. Selain daripada itu, kita juga adalah masukkan unsur-unsur permainan. Saya gemar mengadakan bahas di dalam kelas di mana mereka sendiri boleh berbincang dengan satu sama lain," tambahnya.

Bagi memperkayakan pengalaman para pelajarnya, Cikgu Amalina turut menganjurkan lawatan kerjaya ke beberapa buat syarikat.

"Saya bawa mereka ke tempat-tempat yang mereka sendiri boleh lihat bahawa bahasa Melayu itu sememangnya relevan dan juga mempunyai nilai ekonomi yang mana mereka boleh gunakan bahasa Melayu ini sebagai alat untuk mereka bekerja nanti pada masa depan.

"Saya usahakan untuk membawa mereka bertemu dengan para penulis Singapura, misalnya para sasterawan negara. Jadi adalah acara acara sastera seni budaya yang mana saya bawa mereka terus untuk sama ada menonton pementasan ataupun adakan sesi temuramah berjumpa dengan mereka dan juga belajarlah sedikit sebanyak daripada para penulis dan juga penggerak masyarakat kita," tambahnya.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Sememangnya, segala pengorbanan Cikgu Amalina dalam memperkayakan ilmu para pelajarnya, membuahkan hasil dan sangat dihargai para pelajarnya.

"Tahun lepas, kami mengunjungi Muzium Negara untuk Bulan Bahasa di mana kami menonton sebuah pementasan dan hal ini membuat kami semua semakin suka kepada bahasa Melayu yang menjadi dorongan kami untuk semakin belajar bahasa Melayu," kata Pelajar Menengah 4, Racheline Suhairy.

Seorang lagi pelajar menengah 4, Muhammad Haziq Zainuddin berpendapat: "Menerusi acara-acara tersebut saya dapat menggunakan bahasa Melayu dengan lebih luas lagi dan juga saya berasa lebih yakin dan selesa untuk menggunakan bahasa Melayu di rumah dan juga di luar."

PENDEKATAN YANG LEBIH LEMBUT UNTUK TARIK MINAT PELAJAR

Lebih daripada sekadar seorang pendidik, Cikgu Amalina juga dikenali kerana perwatakannya yang mesra dan membuatkan para pelajarnya merasa selesa.

"Cikgu Amalina sangat penyayang dan dia juga selalu senyum dengan gembira ketika mengajar kami tanpa menunjukkan kegelisahan, kemarahan ataupun kesedihan. Oleh sebab itu, kami selalu bersemangat untuk datang pada kelas bahasa Melayu lanjutan," kata Racheline.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Haziq turut menghargai tunjuk ajar Cikgu Amalina.

"Cikgu Amalina, seorang insan yang selalu akan mengambil berat tentang kesejahteraan kami dan saya betul-betul menghargainya sebagai guru saya," kata beliau.

Menurut Cikgu Amalina, guru memainkan pelbagai peranan, dan sikap prihatin yang beliau tunjukkan adalah 'senjata utama' untuk merangsang minat dan pembelajaran para pelajarnya.

"Kami bukan sekadar menjadi guru yang mengajar bahasa tapi kita pun sebagai kaunselor, pendengar, kita ialah ibu ataupun kakak di sekolah. Sebab itu saya amat menyayangi mereka dan juga menghargai mereka dan sedia menjadi pendengar kepada mereka.

"Sebab saya rasa perkara inilah yang membuat mereka lebih seronok dalam pembelajaran bahasa Melayu itu. Mereka sendiri lebih ingin sentiasa menanti-nantikan kelas bahasa Melayu itu sendiri dan secara tidak langsung kasih sayang itu akan terjalin dan mereka sendiri berasa lebih yakin lebih selesa untuk buat dengan lebih baik lagilah dalam bahasa Melayu ini," ujarnya.

Usaha kedua-dua guru ini dalam memartabatkan bahasa dan budaya Melayu juga telah mendapat pengiktirafan.

Tahun lalu, Cikgu Amalina pernah diiktiraf dengan Anugerah Guru Arif Budiman sementara Cikgu Nazhiifah pula Anugerah Guru Bahasa Ibunda Prasekolah Cemerlang.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan