Hari Bapa: Pekerja hijrahan rindu, kongsi harapan buat anak yang jauh beribu batu
Pekerja-pekerja hijrahan, (dari kiri) Encik Ahmed Santa, 49 tahun; Encik Hossain Nazir, 40 tahun dan Encik Nazrul Islam, 42 tahun, masing-masing meninggalkan keluarga di kampung halaman di Bangladesh untuk mencari rezeki di Singapura. (Gambar: BERITA Mediacorp/Batrisyia Kamal Baharim)
This audio is generated by an AI tool.
Itulah rayuan yang sering diulang anak bongsu seorang pekerja hijrahan dari Bangladesh, Ahmed Santa yang berusia dua tahun setengah setiap kali tiba masanya untuk beliau kembali bekerja di Singapura.
Malah, ungkapan yang sama turut mengiringi kepulangannya ke Singapura selepas meluangkan hampir dua minggu bersama keluarga di Cumilla, Bangladesh pada Disember lalu.
Detik perpisahan tidak pernah menjadi lebih mudah meski sudah 23 tahun lamanya mencari rezeki di Singapura.
"Isteri saya menangis, ibu bapa saya pun menangis. Anak-anak saya juga sedih. Anak bongsu lelaki saya akan datang memeluk dan tidak mahu melepaskan saya," kongsi Encik Ahmed, 49 tahun, yang turut meninggalkan dua orang cucu di kampung halaman.
Jika dahulu, beliau hanya mampu menyaksikan pengorbanan bapanya sebagai seorang anak, hari ini beliau memahaminya sebagai seorang bapa kepada lima cahaya mata.
"Ia sangat sukar tetapi kami tiada pilihan lain. Kami perlu melakukannya. Saya memikul tanggungjawab ini demi keluarga saya," kata beliau yang bertugas sebagai seorang pegawai kawalan persekitaran.
Terserlah sikap tanggungjawab tatkala ungkapan “saya perlu melakukannya demi keluarga” meniti di bibirnya berulang kali sepanjang wawancara di kediamannya.
MEMBENTUK KEPERIBADIAN ANAK ANTARA CABARAN
Namun, cabaran seorang pekerja hijrahan yang juga seorang bapa tidak terletak pada jarak semata-mata.
Sebaliknya, ia terletak pada usaha berterusan untuk membimbing dan membentuk keperibadian anak-anak.
Itulah antara perkara yang sering difikirkan seorang lagi pekerja hijrahan, Hossain Nazir, 40 tahun, yang sudah bekerja di Singapura selama 12 tahun.
Dipisahkan hampir 4,000 kilometer daripada keluarganya di Brahmanbaria, Bangladesh, bapa kepada empat orang anak itu mengakui beliau sentiasa memikirkan bagaimana untuk terus memainkan peranan sebagai seorang ayah walaupun tidak dapat berada di sisi mereka.
Kebimbangan itu lebih dirasainya apabila empat orang anaknya yang berusia 10, lapan dan dua tahun (kembar) kini dalam fasa kehidupan yang penting dalam pembentukan keperibadian dan nilai-nilai kehidupan mereka.
"Kami mempunyai harapan dan perancangan untuk anak-anak tetapi kerana kami berada di sini dan keluarga berada di kampung halaman, kami tidak dapat melaksanakan semuanya seperti yang kami mahukan," katanya.
"Sebagai seorang bapa, kami mahu membesarkan anak-anak mengikut nilai, harapan dan perancangan kami tetapi kami tidak bersama mereka," tambah beliau.
Justeru, panggilan video menjadi rutin yang tidak pernah ditinggalkan.
Sekurang-kurangnya dua kali sehari, pada waktu rehat tengah hari dan selepas pulang dari kerja, Encik Hossan akan menghubungi anak-anaknya.
Dari Asrama Coastal di Tanah Merah Coast Road, beliau cuba terus hadir dalam kehidupan anak-anaknya dengan bertanya khabar, mengikuti perkembangan mereka dan memastikan hubungan yang terjalin tidak terputus dek jarak.
DETIK-DETIK YANG TIDAK DAPAT KEMBALI
Namun bagi Encik Nazrul Islam pula, ada perkara yang tidak boleh digantikan walaupun dengan kemudahan teknologi yang dapat merapatkan jarak antara Singapura dan kampung halamannya di Cumilla, Bangladesh.
Pegawai keselamatan yang berusia 42 tahun itu mengakui tidak dapat menyaksikan sendiri detik-detik penting dalam perkembangan pendidikan empat orang anaknya yang berusia sembilan, tujuh, lima tahun dan dua bulan.
Mengimbas satu perbualan bersama anaknya, Encik Nazrul berkongsi: "Anak saya pernah berkata, 'Ayah, hari ini ada perjumpaan ibu bapa dengan guru. Semua kawan saya datang bersama ibu dan ayah mereka tetapi saya tidak dapat membawa ayah kerana ayah bekerja di Singapura'.”
Namun, realiti sebagai pekerja hijrahan sepertinya yang sudah 18 tahun bekerja di Singapura, sering menuntut pengorbanan yang tidak ternilai.
“Apabila anak-anak berkongsi perkara sedemikian, saya terfikir mungkin suatu hari nanti saya akan mempunyai wang yang mencukupi tetapi saya tidak dapat mengembalikan detik-detik yang terlepas ketika mereka membesar,” ujar Encik Nazrul.
Meskipun jauh di mata, harapan Encik Ahmed, Encik Nazrul dan Encik Hossain sempena Hari Bapa ini ialah semoga anak-anak mereka membesar dengan keperibadian dan pendidikan sebaik mungkin.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.