Skip to main content

Singapura

Hargai kebolehan berbeza setiap pelajar: Dr Maliki

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Sistem Pengumpulan Berdasarkan Subjek (SBB) Secara Penuh berjaya mewujudkan suasana persekolahan yang menghargai kekuatan berbeza setiap pelajar.

Menteri Kedua Pendidikan Dr Mohamad Maliki Osman membuat penilaian itu sedang sistem aliran akademik bakal dimansuhkan tahun depan.

Dengan pelbagai laluan posmenengah disediakan pula, Dr Maliki turut memberi jaminan pihak sekolah akan terus membimbing pelajar dan ibu bapa untuk membuat pilihan yang tepat.

Di bawah SBB Penuh para pelajar boleh mempelajari lebih banyak subjek pada peringkat berbeza yang bersesuaian dengan minat dan kebolehan mereka.

Berada dalam kelas yang sama juga membolehkan mereka bergaul dengan rakan-rakan yang mempunyai kekuatan dan minat berlainan.

SBB PENUH GALAK PERGAULAN PELAJAR PELBAGAI KEBOLEHAN

Dr Maliki berkongsi dengan BERITAmediacorp bahawa hasil yang positif diraih sejak SBB Penuh dirintis tiga tahun lalu.

Ini dilihat dalam aspek pergaulan yang menggalak setiap pelajar menghargai kebolehan masing-masing.

"Dapatannya ialah pergaulan sosial ataupun kepelbagaian di mana mereka dapat mengenal antara satu sama lain dari segi mereka datang dari latar belakang berlainan. Pergaulan sosial itu begitu ketara sekali. Kita lihat para penuntut mempunyai kawan-kawan yang datang daripada latar belakang yang begitu berbeza sekali. Ini adalah sesuatu yang ingin kita terus wujudkan dalam suasana persekolahan kita kerana kita mahu anak-anak kita akur bahawa di dalam masyarakat Singapura terdapat kepelbagaian," kata Dr Maliki.

IBU BAPA DAN PELAJAR DIBIMBING BUAT PILIHAN POSMENENGAH

Lantaran itu lebih banyak laluan pembelajaran juga akan ditawarkan di peringkat posmenengah.

Ini termasuk Program Asas Politeknik (PFP) yang akan dibuka kepada lebih ramai pelajar mulai 2028.

Institut Pendidikan Teknikal (ITE) juga dalam proses untuk menyediakan peluang kepada setiap penuntut untuk langsung mendapatkan sijil NITEC Lanjutan.

Dengan lebih banyak pilihan ditawarkan, ibu bapa dilibatkan bersama anak-anak mereka untuk membuat keputusan.

"Yang penting ialah kerjasama ibu bapa dengan para sekolah. Di mana kita perlu memberi apa yang kita katakan bimbingan pendidikan dan kerjaya. Panduan untuk para penuntut ini melihat kebolehan mereka, bukan sahaja kebolehan akademik tapi cara mereka belajar. Cara mereka menimba ilmu, cara mereka melihat kebolehan mereka kerana proses-proses atau pun saluran-saluran yang kita adakan bukan saja berkaitan langsung dengan kebolehan akademik tetapi cara mereka mempelajari dan cara mereka menimba ilmu," tambah Dr Maliki.

Bimbingan pendidikan dan kerjaya ini, kata Dr Maliki membantu pelajar dan ibu bapa menyalurkan anak mereka kepada kursus-kursus yang boleh menggilap kebolehan mereka sebaik mungkin.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita