Skip to main content

Singapura

Harga tiket penerbangan ke destinasi Asia melonjak sempena musim cuti hujung tahun

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mereka yang membuat tempahan bagi tiket penerbangan dari Singapura ke beberapa destinasi Asia perlu membayar lebih pada musim cuti Disember akan datang, berbanding tempoh yang sama sebelum pandemik COVID-19 melanda.

Demikian menurut platform-platform pelancongan pada Khamis (13 Okt). 

Ini menyusuli pembukaan semula sesetengah destinasi popular, termasuk Jepun dan Taiwan, setelah dua setengah tahun disebabkan sekatan perjalanan. 

Harga tiket sehala dari Singapura ke Seoul melonjak sehingga 78 peratus bagi tempoh hujung tahun ini berbanding 2019, menurut Traveloka. 

Apabila Mediacorp melihat laman perbandingan harga penerbangan Flightscanner pada Khamis (13 Okt), tiket paling murah ke Korea Selatan antara 19 hingga 31 Disember berharga S$664. Harga tersebut adalah untuk perjalanan dua hala yang ditawarkan syarikat penerbangan tambang murah Scoot dan T'Way Air yang melancarkan perjalanan antara Singapura dan Incheon awal tahun ini. 

Harga tiket bagi perjalanan dua hala dengan syarikat penerbangan seperti Korean Air dan Singapore Airlines masing-masing berharga sekurang-kurangnya S$1,263 dan S$1,924. 

Menurut Traveloka, tiket penerbangan dari Singapura ke Filipina naik 70 peratus, manakala tiket ke Thailand pula meningkat 47 peratus. Harga tiket penerbangan ke Indonesia naik 43 peratus. 

"Pengguna kami berkata mereka ingin kembali melancong dan kami sedang menyaksikan kenaikan tempahan di platform kami," kata Presiden Traveloka Caesar Indra, sambil menambah bahawa dunia pasca pandemik akan "terus dinamik". 

Expedia turut menyaksikan trend yang sama. 

Purata harga tiket penerbangan ke Malaysia bagi cuti hujung tahun ini meningkat sehingga 50 peratus, menurut Expedianya, manakala harga tiket ke Bangkok pula lebih 25 peratus. 

Walaupun harga tiket penerbangan ke Jepun turut meningkat, kenaikannya tidak setinggi destinasi-destinasi Asia lain, menurut platform-platform tersebut. 

Tiket penerbangan ke Tokyo pada musim cuti Disember ini 15 peratus lebih tinggi secara purata berbanding tempoh yang sama pada 2019, menurut Expedia. 

Ketua Perhubungan Awam Expedia Group Asia Lavinia Rajaram menarik perhatian bahawa banyak syarikat penerbangan sudah melancarkan perjalanan tambahan ke destinasi utama seperti Jepun, Hong Kong dan Taiwan, yang akan mendorong harga untuk turun. 

Selain pembukaan semula sempadan, kenaikan harga minyak juga menyumbang kepada harga tiket penerbangan yang lebih mahal, tambahnya. 

Namun, walaupun tiket penerbangan kini lebih mahal, kedua-dua syarikat berkata, mereka yang ingin melancong tidak tergugat dan terus membuat rancangan untuk melancong ke luar negeri pada tempoh hujung tahun. 

Pencarian bagi percutian ke luar negara "melonjak dengan ketara" selepas sekatan sempadan COVID-19 dilonggarkan di beberapa destinasi Asia utara pada lewat September, kata Cik Rajaram. 

Ini menunjukkan "warga Singapura yang sudah lama tidak melancong ghairah untuk kembali ke destinasi-destinasi percutian kegemaran mereka, khususnya pada musim Krismas dan Tahun Baru," tambah Cik Rajaram. 

"Pelancongan ke destinasi-destinasi berdekatan di Asia seperti Kuala Lumpur, Bangkok dan Seoul semakin meningkat, sebagai pilihan pelancongan yang selesa serta tempat persinggahan bagi penerbangan jarak jauh dari Amerika Syarikat dan seluruh Asia." 

Traveloka turut menyaksikan "jumlah tinggi" warga Singapura yang sudah membuat perancangan bagi percutian hujung tahun di platform mereka, kata Encik Indra. 

Pilihan destinasi utama termasuk Indonesia, Thailand, Vietnam, Malaysia, Korea Selatan, Filipina dan Jepun, tambah Encik Indra. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita