Harga tambang semua pengendali teksi naik pada Mac
Berikutan keputusan ComfortDelGro untuk menaikkan harga tambangnya mulai 1 Mac ini, semua pengendali teksi lain akan mengikut jejak langkah yang sama bermula bulan hadapan.

SINGAPURA: Berikutan keputusan ComfortDelGro untuk menaikkan harga tambangnya mulai 1 Mac ini, semua pengendali teksi lain akan mengikut jejak langkah yang sama bermula bulan hadapan.
Menjawab pertanyaan media, Majlis Pengangkutan Awam (PTC) pada Jumaat (25 Feb) menyatakan ia sudah dimaklumkan bahawa pengendali lain berhasrat untuk menaikkan tambang masing-masing pada Mac.
Pengendali-pengendali itu ialah TransCab, Prime Taxi, Premier Taxi, Strides Taxi serta teksi berbumbung kuning yang dimiliki dan dikendalikan secara bebas oleh pemandu.
"PTC sedia maklum tentang kenaikan tambang mereka dan mengingatkan pengendali supaya memaklumkan kepada penumpang tentang tambang baru itu sekurang-kurang tujuh hari lebih awal," menurut seorang jurucakap majlis tersebut.
Pengumuman itu dibuat selepas ComfortDelGro - yang mengendalikan sekitar 60 peratus teksi di bawah jenama Comfort dan CityCab - mengumumkan pada awal bulan ini bahawa ia akan menaikkan tambang bagi seluruh armada teksinya dengan sebanyak 20 sen.
ComfortDelGro menyatakan kenaikan itu "perlu" untuk membantu pemandu teksi membiayai kos operasi lebih tinggi. Ia menarik perhatian tentang pendapatan pemandu teksi yang terjejas teruk sepanjang dua tahun lalu dek pandemik COVID-19. Pengendali itu juga akan menaikkan kadar mengikut jarak dan masa menunggu.
Kali terakhir pengendali teksi di Singapura menaikkan tambangnya ialah pada 2011.
Meskipun tambang teksi tidak lagi dikawal sejak 1998, peraturan agar pengendali teksi dan kereta sewa privet memaklumkan kepada PTC lebih awal tentang penyesuaian tambang "membolehkan ketelusan dan pengawasan lebih baik", menurut majlis itu.
Ini memastikan penyesuaian tambang dilakukan berdasarkan struktur tambang yang sama bagi tambang menggunakan meter sementara tambang dinyatakan dengan jelas bagi khidmat tambang tetap, tambahnya.
"PTC tidak masuk campur dalam hal menetapkan tambang teksi dan (kereta sewa privet), yang ditentukan oleh pasaran terbuka yang dinamik," menurut majlis itu.
"Ini membolehkan permintaan dan bekalan bagi khidmat sedemikian dipadankan dengan berkesan berdasarkan keadaan semasa pasaran sambil mendorong pengendali untuk menambah baik tawaran khidmatnya serta bagi mengekalkan daya saingan dalam tambang masing-masing."
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.