Skip to main content

Singapura

Harga tambang melonjak, tiket habis ditempah susuli pengumuman tarikh mula penerbangan S'pura-HK

Seorang jurucakap SIA memberitahu Mediacorp bahawa syarikat penerbangan itu "menyaksikan peningkatan pada jumlah tempahan" sejak perkembangan itu diumumkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Harga tambang melonjak, tiket habis ditempah susuli pengumuman tarikh mula penerbangan S'pura-HK

Sebuah pesawat penerbangan Cathay Pacific Airways (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 12 Nov 2020 09:36AM Dikemas Kini : 12 Nov 2020 09:38AM

SINGAPURA: Pengumuman pada Rabu (11 Nov) yang menyatakan bahawa semua bentuk perjalanan antara Singapura dengan Hong Kong akan dibenarkan mulai 22 November menyebabkan ramai orang tergesa-gesa membeli tiket penerbangan.

Dalam masa beberapa jam saja, harga tiket bagi penerbangan dua pesawat yang dikhususkan bagi perjalanan udara itu iaitu Singapore Airlines (SIA) dan Cathay Pacific melonjak lebih dua kali ganda bagi sesetengah kes.

Perjanjian dua hala bagi aturan perjalanan udara antara kedua-dua bandar itu dan tarikh permulaan bagi penerbangan di bawah aturan perjalanan tersebut diumumkan pada 10.00 pagi oleh Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS).

Pada 11.00 pagi, pemeriksaan ke atas laman SIA menunjukkan harga tiket sehala pada 22 November bagi penerbangan SQ890, iaitu salah satu pesawat yang dikhususkan di bawah perjanjian perjalanan bersama itu, dijual pada harga S$324.50.

Bagaimanapun, beberapa jam selepas itu pada 3.00 petang, harga tiket bagi laluan yang sama sudah meningkat kepada S$816.50 dan laman itu menunjukkan hanya tinggal empat tempat duduk pada harga yang sama.

Pada 7.00 malam pula, tiket-tiket bagi penerbangan antara 22 hingga 28 November sudah ditempah sepenuhnya.

Laman syarikat penerbangan Cathay Pacific turut menyaksikan lonjakan pada pembelian tiket penerbangan.

Tambang sehala dari Singapura ke Hong Kong pada 24 November bagi penerbangan CX734 dijual pada harga S$247 pada 11.00 pagi tetapi melonjak sehingga S$906.50 pada 6.30 petang.

Di bawah perjanjian aturan perjalanan tersebut, hanya satu penerbangan sehari ditawarkan ke setiap bandar dengan maksimum 200 penumpang dalam setiap pesawat.

Jumlah itu akan dinaikkan kepada dua penerbangan sehari ke setiap bandar mulai 7 Disember.

Seorang jurucakap SIA memberitahu Mediacorp bahawa syarikat penerbangan itu "menyaksikan peningkatan pada jumlah tempahan" sejak perkembangan itu diumumkan semalam tetapi tidak dapat memberikan sebarang perincian "disebabkan oleh kepekaan komersial".

Begitu juga dengan jurucakap Cathay Pacific yang setakat mengatakan bahawa "respons amat positif" menyusuli pengumuman itu. 

Sumber : Today/RU/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita