Skip to main content

Singapura

Harga skuter mobiliti mungkin naik 15% apabila syarat, peraturan baharu pendaftaran berkuat kuasa pada Jun

Anggaran Waktu Membaca:
Harga skuter mobiliti mungkin naik 15% apabila syarat, peraturan baharu pendaftaran berkuat kuasa pada Jun
Seorang pekerja di DNR Wheels menunjukkan cara menggunakan skuter mobiliti. (Gambar: CNA)
SINGAPURA: Harga skuter mobiliti di Singapura mungkin meningkat sehingga 15 peratus apabila syarat dan peraturan baharu pendaftaran dan pemindahan pemilikan berkuat kuasa mulai Jun, sekali gus menaikkan kos operasi, menurut para penjual kepada Mediacorp.

Peraturan baharu itu - yang bertujuan mencegah penyalahgunaan oleh individu yang bukan kurang upaya - diluluskan di parlimen awal bulan ini.

Skuter mobiliti ialah peranti bermotor dengan tiga atau empat roda, dengan satu tempat duduk dan dikawal menggunakan hendal.

Mulai 1 Jun, semua skuter mobiliti yang dijual oleh peruncit bertauliah mesti didaftarkan dan ditanda (tagged) sebelum diserahkan kepada pembeli.

Peruncit juga perlu memastikan bakal pemilik mempunyai sijil keperluan perubatan yang sah atau dikecualikan daripadanya, serta melengkapkan proses pemindahan pemilikan semasa penjualan.

Pengarah Urusan DNR Wheels, Morgan Singh, berkata keperluan menghantar skuter mobiliti untuk diperiksa dan pendaftarannya boleh meningkatkan kos logistik dengan ketara.

Syarikat beliau mengimport sehingga 100 skuter mobiliti sebulan, dengan harga antara S$1,000 hingga S$2,000 seunit buat masa ini.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan ia masih menentukan kos pendaftaran dan akan berkongsi butiran lanjut apabila dimuktamadkan kelak.

PROSES PEMINDAHAN PEMILIKAN

Di bawah peraturan baharu, peruncit yang diluluskan akan didaftarkan sebagai pemilik pertama skuter mobiliti selagi peranti itu berada di kedai.

Ini selepas vendor yang dilantik LTA memastikan skuter memenuhi kriteria peranti, termasuk mematuhi had kelajuan baharu 6km sejam (km/j) bagi alat bantuan mobiliti peribadi (PMA).

Pemilikan mesti dipindahkan kepada pembeli apabila penjualan dibuat.

Para peruncit berkata proses ini mungkin mencabar bagi pelanggan warga emas yang kurang celik teknologi.

Proses tersebut memerlukan pemilik sedia ada memulakan pemindahan melalui OneMotoring dan pembeli menerimanya, lazimnya melalui Singpass.

Jika Singpass tidak tersedia, pemindahan boleh dibuat secara manual.

Pemindahan yang tidak lengkap boleh mendedahkan peruncit kepada risiko, kata pengasas Elfigo Mobility, Warren Chew.

Beliau memberi contoh, sekiranya syarikatnya memindahkan pemilikan kepada seorang pelanggan, dan pelanggan itu tidak mengesahkan pemindahan, peranti tersebut masih berdaftar atas nama syarikatnya.

“Jika berlaku kesalahan, contohnya dijual semula kepada penghantar makanan dan ditahan, pengedar mungkin dipersalahkan kerana membekalkan PMA kepada individu yang tidak layak,” katanya.

Encik Singh turut berkata proses itu mungkin membebankan pelanggan warga emas yang tidak mempunyai akaun Singpass.

ANTARA PENGUATKUASAAN DENGAN AKSES

Para pakar berkata walaupun peraturan baharu bertujuan menangani penyalahgunaan, perlu dipastikan golongan yang benar-benar memerlukan tidak terbeban dengan kenaikan harga.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, LTA menyatakan kebanyakan warga emas dan orang kurang upaya yang layak boleh menerima subsidi sehingga 90 peratus bagi skuter mobiliti yang patuh peraturan melalui skim seperti Dana Mobiliti dan Pengupayaan Warga Emas serta Dana Teknologi Dibantu.

Had kelayakan pendapatan isi rumah per kapita bagi skim ini sudah dinaikkan dari S$2,600 kepada S$4,800 mulai 3 Januari.

Penganalisis pengangkutan Victor Kwan dari Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) berkata pengeluar mungkin memperkenalkan produk hibrid baharu untuk menguji peraturan tersebut.

“Mungkin akan ada produk hibrid baharu yang direka dengan saiz atau ciri berbeza sedikit supaya boleh dikategorikan secara berbeza,” katanya.

Beliau juga menambah bahawa penguatkuasaan tegas pada bulan-bulan awal pelaksanaan peraturan adalah penting bagi memberi isyarat jelas kepada pengguna yang melanggar undang-undang.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita