Skip to main content

Singapura

Harga sewa rumah privet jatuh buat kali pertama dalam 3 tahun pada suku keempat 2023

Anggaran Waktu Membaca:
Harga sewa rumah privet jatuh buat kali pertama dalam 3 tahun pada suku keempat 2023

(Gambar: CNA/Syamil Sapari)

Diterbitkan : 26 Jan 2024 05:09PM
SINGAPURA: Harga sewa bagi hartanah kediaman privet jatuh buat pertama kalinya dalam tiga tahun.

Ia kemungkinan besar disebabkan oleh kenaikan dalam bekalan rumah, kata penganalisis.

Menurut statistik daripada Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Jumaat (26 Jan), harga sewa bagi rumah privet jatuh 2.1 peratus pada suku keempat 2023, berbanding kenaikan 0.8 peratus pada suku sebelum itu.

Bagi keseluruhan 2023, sewa naik 8.7 peratus, lebih rendah berbanding kenaikan 29.7 peratus pada 2022.

Sekitar 21,300 unit kediaman privet dibina pada 2023, iaitu lebih seganda berbanding 2022. Ia juga merupakan bekalan tahunan tertinggi sejak 2016.

Ketua penyelidikan dan ahli strategi OrangeTee Group Christine Sun berkata: "Kejatuhan pada harga sewa mungkin disebabkan persaingan yang lebih sengit, sedang lebih banyak rumah privet dibina tahun lalu, dan bekalan rumah sewa keseluruhan meningkat akibat faktor tersebut.

"Penyewa juga sanggup berpindah ke kediaman alternatif lebih murah seperti perumahan awam."

Cik Sun meramalkan bahawa tekanan ke atas harga sewa akan berterusan.

HARGA

Harga hartanah kediaman privet naik 2.8 peratus pada suku keempat 2023, berbanding kenaikan 0.8 peratus pada suku sebelumnya.

Hartanah tanpa halaman naik 2.4 peratus pada suku keempat, lebih tinggi berbanding kenaikan 2.2 peratus pada suku sebelumnya.

Hartanah berhalaman pulih daripada kejatuhan 3.6 peratus pada suku ketiga, di mana ia naik 4.6 peratus pada suku keempat.

Bagi keseluruhan 2023, harga hartanah kediaman privet naik 6.8 peratus, kurang daripada kenaikan 8.6 peratus pada 2022.

Jumlah transaksi rumah jualan semula jatuh kepada 11,329 bagi keseluruhan 2023, berbanding 14,026 transaksi rumah jualan semula pada 2022.

"Beberapa pembeli yang sensitif dengan harga tidak berpeluang untuk melabur dalam pasaran. Sejak kadar faedah dinaikkan pada 2022, jumlah urus niaga rumah jualan semula menurun," kata Encik Lee Sze Teck, pengarah kanan analisis data di Huttons.

Cik Sun menambah bahawa beberapa pusingan langkah penyejukan hartanah, rintangan harga dan permintaan menyeluruh yang lebih perlahan turut menjejas pertumbuhan harga rumah privet tahun lalu.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita