Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Harga sewa 97% kedai kopi disewakan HDB tidak naik sepanjang 5 tahun lalu: Sim Ann

Anggaran Waktu Membaca:
Harga sewa 97% kedai kopi disewakan HDB tidak naik sepanjang 5 tahun lalu: Sim Ann

(Gambar: CNA/Aqil Haziq Mahmud)

SINGAPURA: Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) tidak menaikkan sewa bagi 97 peratus kedai kopi yang disewakan kepada pengendali sepanjang lima tahun lalu.

Demikian menurut Menteri Pembangunan Negara Sim Ann pada Rabu (7 Feb).

Cik Sim menjawab soalan MP Yeo Wan Ling (PAP-Pasir Ris-Punggol) di Parlimen, tentang sama ada Kementerian Pembangunan Negara (MND) akan mempertimbangkan langkah tambahan untuk membantu pemilik kedai yang berdepan dengan kos sewa yang meningkat serta perbelanjaan perniagaan yang lain.

Mediacorp sebelum ini melaporkan bahawa sewa yang lebih tinggi serta kos yang meningkat memaksa sebilangan pemilik kedai kopi di kawasan kejiranan untuk tutup kedai.

Ketika menjelaskan isu tersebut, Cik Sim berkata HDB komited untuk memastikan kos sewa yang ditanggung pengendali kedai kopi disewakan HDB kekal stabil.

Daripada 776 kedai kopi di Singapura, 374 dimiliki HDB dan disewakan kepada pengendali, manakala 402 dijual dan dimiliki secara privet.

Sepanjang lima tahun lalu, HDB tidak menaikkan harga sewa bagi 97 peratus kedai kopi disewakan HDB, dan kenaikan pada sewa median kedai kopi yang disewakan HDB dihadkan kepada 1.6 peratus dalam tempoh tersebut.

"Ini adalah sebahagian daripada usaha HDB untuk membantu pengendali dan pemilik kedai sedang kos barangan meningkat," kata Cik Sim.

Untuk membantu pengendali kedai kopi disewakan HDB beralih untuk menawarkan makanan lebih murah menjelang 2026, HDB menawarkan diskaun sewa lima peratus selama setahun, bergantung kepada pengesahan bahawa makanan dan minuman murah tersebut sudah ditawarkan.
 
Menteri itu juga menyebut tentang beberapa skim, seperti Skim Digital Heartlands Go, di mana pemilik kedai dan pengendali kedai kopi boleh gunakan untuk meningkatkan daya penghasilan.

Dalam satu lagi soalan, Ms Yeo memetik kos sewa yang meningkat sehingga 30 peratus. Beliau bertanya apakah pertimbangan dalam memutuskan kedai kopi mana yang akan dijual atau disewakan.

Cik Sim menjawab bahawa meskipun HDB mula menjual kedai kopi bermula 1988, ia berhenti melakukan demikian pada 1998.

Sejak 2018, semua kedai kopi baharu dijual di bawah tender Kaedah Harga-Mutu, berdasarkan sejumlah kriteria selain sewa. Ia termasuk pertimbangan kemampuan.

Profesor Madya Jamus Lim (WP-Sengkang) bertanya sama ada terdapat rancangan untuk membeli kedai kopi yang dimiliki secara privet, supaya semua kedai kopi akan berada di bawah HDB, disebabkan beberapa pengendali privet di kawasan undinya merubah kenaikan kos sewa kepada harga makanan lebih tinggi, yang kemudian ditanggung pelanggan.

Cik Sim menjawab: "Saya rasa perkara itu adalah sesuatu yang akan dipertimbangkan pemerintah secara teliti dan ia bukan satu langkah yang akan kami pandang ringan."

Beliau menambah bahawa cara terbaik untuk melindungi daripada harga makanan yang tinggi adalah dengan menawarkan pilihan makanan yang "luas" merata Singapura.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan