Harga rumah privet tumbuh pada rentak lebih perlahan; naik 0.8% di tengah kewaspadaan dipertingkat
Harga rumah privet di Singapura naik 0.8 peratus pada suku kedua, rendah sedikit berbanding ramalan awal yang dikeluarkan awal bulan ini di tengah-tengah tempoh kewaspadaan dipertingkat COVID-19.

Gambar fail: Jeremy Long
SINGAPURA: Harga rumah privet di Singapura naik 0.8 peratus pada suku kedua, rendah sedikit berbanding ramalan awal yang dikeluarkan awal bulan ini di tengah-tengah tempoh kewaspadaan dipertingkat COVID-19.
Indeks harga hartanah kediaman privet naik kepada 163.5 mata pada suku kedua 2021, naik dari 162.2 mata pada suku pertama, menurut perangkaan hartanah yang dikeluarkan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Jumaat (23 Jul).
Peningkatan itu lebih perlahan berbanding suku pertama di mana harga naik sebanyak 3.3 peratus.
Ia disebabkan oleh segmen hartanah berhalaman yang susut 0.3 peratus pada suku kedua selepas naik 6.7 peratus pada suku sebelumnya.
Harga rumah tanpa halaman pula naik 1.1 peratus meskipun lebih perlahan berbanding pertumbuhan 2.5 peratus pada tempoh antara Januari dengan Mac.
PERMINTAAN RUMAH JUALAN SEMULA
Penjualan rumah privet baru juga menjunam pada suku kedua, dengan berkurangnya rumah privet baru dilancarkan.
Para pemaju melancarkan 2,356 rumah privet yang belum selesai dibina (tidak termasuk kondominium eksekutif) untuk dijual pada suku kedua, berbanding 3,716 unit antara Januari dengan Mac. Para pemaju menjual 2,966 unit pada suku kedua berbanding 3,493 unit pada suku sebelumnya.
Bagi segmen kondominium eksekutif pula, para pemaju melancarkan 413 kediaman pada suku kedua, berbanding 700 pada suku sebelumnya. Mereka hanya mampu menjual 495 unit berbanding 647 bagi tempoh antara Januari dengan Mac.
Lebih ramai orang membeli rumah privet daripada pasaran jualan semula pada suku yang lalu dengan urus niaga sedemikian membentuk 63.1 peratus penjualan hartanah privet, lebih tinggi berbanding 55.8 peratus dalam tempoh tiga bulan sebelum ini.
Secara keseluruhannya, sebanyak 5,333 urus niaga jualan semula pada suku kedua berbanding 4,519 pada suku sebelumnya.
SEWA MENINGKAT
Harga sewa juga mencatatkan pertumbuhan kukuh pada suku kedua tahun ini, naik sebanyak 2.9 peratus; sekali gus mengatasi peningkatan sebanyak 2.2 peratus pada suku sebelumnya.
Peningkatan itu dipacu oleh segmen rumah tanpa halaman di mana harga sewa naik 3.1 peratus pada suku kedua berbanding 2.4 peratus pada suku pertama.
Penyewaan rumah berhalaman juga meningkat kepada 1.4 peratus dari 0.6 peratus pada suku sebelumnya.
BEKALAN DALAM PERANCANGAN
Setakat sehingga hujung suku pertama, terdapat 19,384 rumah privet yang tidak terjual dan belum selesai dibina - berbanding dengan 21,602 unit pada suku sebelumnya.
Termasuk kondominium eksekutif, jumlah itu meningkat kepada 21,055 unit, lebih rendah berbanding 23,735 pada suku sebelumnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.