Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Harga rumah privet S'pura naik 0.4% pada suku pertama 2022: Anggaran awal URA

Harga rumah privet di Singapura naik sebanyak 0.4 peratus pada suku pertama 2022, menurut anggaran awal yang dikeluarkan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Jumaat (1 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Harga rumah privet di Singapura naik sebanyak 0.4 peratus pada suku pertama 2022, menurut anggaran awal yang dikeluarkan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Jumaat (1 Apr).

Kadar kenaikan itu adalah yang paling perlahan sejak suku kedua 2020, di mana harga naik sebanyak 0.3 peratus.

Harga rumah privet naik 5 peratus pada suku antara October hingga Disember.

Indeks hartanah perumahan privet pada suku pertama naik kepada 174.3 mata, iaitu kenaikan sebanyak 0.7 mata berbanding suku sebelum ini.

"Secara keseluruhan, kadar kenaikan harga yang lebih perlahan pada 0.4 peratus daripada 5 peratus pada suku sebelum ini dapat dijangkakan," kata ketua kajian Colliers bagi Singapura, Catherine He.

"Ini mungkin disebabkan oleh pelbagai faktor seperti kadar penjualan dan tawaran unit yang lebih perlahan semasa tempoh Tahun Baru Cina, ketidaktentuan akibat ketegangan geopolitik, pembeli yang mengambil pendekatan tunggu dan lihat menyusuli langkah-langkah meredakan pasaran dan belanjawan, serta kenaikan kadar cukai yang bakal berlaku."

Naib presiden kanan kajian dan analitik OrangeTee & Tie Christine Sun menambah: "Sesetengah pembeli mungkin berebut peluang untuk mendapatkan harga jualan yang lebih baik, sekali gus mengambil masa lebih lama untuk mencapai persetujuan urus niaga selain kenaikan harga yang lebih perlahan di beberapa kawasan."

Harga hartanah perumahan privet tidak berhalaman di kawasan tengah bandar (CCR) merosot sebanyak 0.5 peratus, berbanding kenaikan 2.7 peratus pada suku sebelumnya.

Harga di baki bahagian tengah bandar (RCR) merosot sebanyak 3 peratus berbanding kenaikan 6.7 peratus yang dicatatkan suku sebelumnya.

Harga yang merosot di kedua-dua kawasan itu mungkin disebabkan oleh langkah-langkah meredakan pasaran yang mempunyai kesan lebih tinggi terhadap pelabur dan pembeli asing, kata Cik Sun.

Harga di pinggir pusat bandar (OCR) meningkat pada kadar lebih perlahan sebanyak 1.9 peratus, berbanding kenaikan 5.7 peratus pada suku sebelumnya.

"Segmen OCR mencatatkan prestasi lebih baik sebanyak 1.9 peratus pada suku pertama 2022 berbanding suku lalu dengan penjualan menggalakkan bagi projek perumahan Florence, Belgravia Ace dan Dairy Farm," kata Cik He.

Sebanyak 220 unit dijual keseluruhannya bagi projek Florence, Belgravia Ace dan Dairy Farm semasa tempoh itu.

URA akan mengeluarkan laporan penuh data terkini hartanah bagi suku pertama 2022 pada lewat bulan ini.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan