Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Harga rumah privet SG naik 3.8% pada suku ketiga 2022

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Harga rumah privet meningkat pada rentak lebih perlahan, iaitu pada 3.8 peratus, dalam suku ketiga tahun ini menyusuli suku kedua yang lebih kukuh.

Ini sebahagian besarnya dipacu oleh harga rumah tidak berhalaman di merata Singapura, yang meningkat sebanyak 4.4 peratus pada suku ini. 

Indeks harga hartanah kediaman privet naik kepada 187.8 daripada 180.9 pada suku kedua, menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Jumaat (28 Okt). 

Harga hartanah tidak berhalaman naik 4.4 peratus berbanding 3.6 peratus pada suku sebelumnya. 

Harga hartanah tidak berhalaman di kawasan tengah bandar (CCR) meningkat 2.3 peratus, berbanding 1.9 peratus pada suku sebelumnya. 

Harga hartanah di kawasan sekeliling tengah bandar (RCR) pula meningkat 2.8 peratus, berbanding lonjakan 6.4 peratus pada suku kedua. 

Harga rumah tidak berhalaman di pinggir tengah bandar (OCR) melonjak 7.5 peratus pada suku ketiga, berbanding 2.1 peratus pada suku sebelumnya. 

"Berdasarkan segmen pasaran, kenaikan tertinggi harga disaksikan di kawasan bukan bandar atau di luar kawasan bandar, iaitu 7.5 peratus. Ini merupakan kenaikan suku yang paling cepat sejak suku ketiga 2009 apabila perangkaannya adalah 16.1 peratus," kata Naib Presiden Kanan Penyelidikan dan Analisis di OrangeTee& Tie Cik Christine Sun. 

Harga rumah berhalaman meningkat 1.6 peratus pada suku ketiga 2022, berbanding kenaikan 2.9 peratus pada suku sebelumnya. 

Urus niaga jualan semula rumah membentuk sekitar 60.5 peratus semua unit yang dijual pada suku ketiga. Terdapat 3,719 unit yang dijual semula, berbanding 4,236 unit pada tiga bulan sebelumnya.

Cik Sun berkata, tidak ramai yang membeli hartanah privet pada suku ini disebabkan "kenaikan kadar faedah dan harga", merujuk kepada data URA yang menunjukkan kemerosotan 9.7 peratus bagi penjualan antara suku kedua dengan ketiga 2022. 

Dalam pada itu, harga sewa rumah privet mencatat kenaikan keseluruhan sebanyak 8.6 peratus dalam suku ketiga, sekali gus memecah rekod tertinggi baru, menyusuli kenaikan 6.7 peratus pada suku sebelumnya. 

BEKALAN

Para pemaju hartanah melancarkan 1,455 unit kediaman privet yang belum habis dibina, tidak termasuk kondominium eksekutif (EC), untuk dijual pada suku ketiga, turun daripada 1,956 pada suku sebelumnya. 

Sebanyak 2,187 rumah privet, tidak termasuk EC, dijual pada suku ketiga, merosot sedikit berbanding 2,397 yang dijual pemaju hartanah dalam tempoh tiga bulan yang lalu. 

Tiada unit EC yang dilancarkan untuk dijual pada suku ketiga, manakala hanya 28 unit seumpama itu dijual. Pada suku sebelumnya, pemaju hartanah melancarkan 616 unit EC untuk dijual dan menjual sebanyak 193 unit. 

Sebanyak 3,619 unit, termasuk EC, dijangka siap dibina pada 2022, menurut URA, manakala lagi 20,098 unit, termasuk EC, dijangka selesai pada 2023. 

Secara keseluruhan, 28,800 unit, termasuk EC, dijangka selesai dibina pada 2022 dan 2023, hampir tiga kali ganda 10,400 unit yang ditawarkan pada 2020 dan 2021. 

"Ini akan membantu untuk memenuhi keperluan perumahan dalam jangka pendek," menurut URA. 

"Lebih banyak bekalan yang pelannya diluluskan, sebanyak 31,400 unit setakat suku ketiga 2022, akan siap dibina selepas 2023." 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan