Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Harga rumah privet SG 'mendatar' dalam suku ketiga: Unjuran awal URA

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 02 Oct 2023 03:18PM Dikemas Kini : 02 Oct 2023 08:56PM
SINGAPURA: Harga rumah privet di Singapura meningkat sedikit pada suku ketiga 2023, dengan para penganalisis meramalkan pertumbuhan yang sederhana bagi bulan-bulan seterusnya tahun ini.

Menurut unjuran awal yang didedahkan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Isnin (2 Okt), harga bagi suku ketiga naik sebanyak 0.5 peratus - digambarkan oleh URA sebagai "mendatar" - menyusuli penurunan 0.2 peratus dalam suku sebelumnya, apabila ia susut untuk pertama kalinya sejak suku pertama 2020.

URA menyatakan bahawa kenaikan dari suku ke suku yang terbaharu itu "lebih rendah" berbanding kenaikan purata 2.1 peratus bagi 2022.

Penjualan merosot sebanyak sekitar 15 peratus dari suku ke suku dan sekitar 26 peratus dari tahun ke tahun.

Harga bagi hartanah kediaman privet tidak berhalaman meningkat sebanyak 2.1 peratus, berbanding penurunan sebanyak 0.6 peratus pada suku sebelumnya.

Kenaikan tersebut adalah disebabkan harga lebih tinggi di Baki Kawasan Tengah (RCR) dan Luar Kawasan Tengah (OCR), di mana ia masing-masing meningkat sebanyak 2.3 peratus dan 5.1 peratus.

Cik Christine Sun, naib presiden kanan bahagian kajian dan analisis di OrangeTee, menarik perhatian bahawa "kebanyakan pelancaran baharu adalah dari OCR dan RCR pada suku sebelumnya; lantas, harga melonjak dengan lebih pantas dalam dua segmen ini".

Beliau menyatakan bahawa pelancaran baharu di OCR termasuk Lentor Hills Residences, The Myst, The Lakegarden Residences dan The Arden, sementara pelancaran di RCR termasuk Grand Dunman dan Pinetree Hill.

Ketua penyelidikan dan analisis data Realtors Inc Mohan Sandrasegeran menjelaskan bahawa terdapat lebih banyak minat terhadap pelancaran baharu itu pada suku ketiga 2023, dengan penjualan pemaju pada Julai meningkat kepada 1,412 unit secara keseluruhan.

"Kenaikan ini dipacu terutamanya oleh pelancaran beberapa projek yang patut diberi perhatian sepanjang suku ketiga itu, yang menyuntik semangat yang diperlukan dalam segmen jualan yang baharu itu," katanya.

Harga di Kawasan Tengah Utama (CCR) terus merosot sebanyak 2.6 peratus pada suku ketiga, dari penurunan 0.1 dalam suku sebelumnya.

Langkah-langkah terbaharu meredakan pasaran hartanah yang dikuatkuasakan pada April "mempunyai kesan yang lebih besar terhadap CCR memandangkan jumlah warga asing yang membeli hartanah kediaman adalah lebih tinggi", kata pengarah kanan penyelidikan Huttons Asia, Encik Lee Sze Teck.

Cukai Setem Pembeli Tambahan (ABSD) juga meredakan keinginan dari penduduk asing, nyata CEO Era Singapore Encik Marcus Chu.

Ketua penyelidikan dan perundingan Edmund Tie Encik Lam Chern Woon juga menjelaskan bahawa kesan daripada ABSD tambahan terhadap penduduk asing, serta kes penggubahan wang haram berbilion dolar baru-baru ini "melunturkan sentimen pasaran dalam segmen ini".

Harga bagi hartanah berhalaman merosot sebanyak 4.9 peratus dalam suku ketiga, berbanding kenaikan 1.1 peratus dalam suku sebelumnya.

Jumlah urus niaga jualan keseluruhannya adalah 4,569 pada suku ketiga 2023, berbanding 5,388 pada suku sebelumnya dan 6,148 dalam suku ketiga 2022.

PROSPEK

Perangkaan terbaharu itu menunjukkan pasaran hartanah "beralih kepada rentak yang lebih stabil dan mampan setelah dipacu dengan rancak pada dua tahun yang lalu," kata Encik Lee dari Huttons.

Dengan lebih banyak unit dilancarkan untuk dijual pada tiga suku pertama 2023, lebih 50 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu, Encik Lee berkata pembeli "lantas mengambil masa yang lebih lama untuk membuat keputusan".

Unjuran awal itu disusun berdasarkan harga urus niaga yang diberikan dalam kontrak, yang diserahkan bagi bayaran cukai setem dan data mengenai unit-unit yang dijual oleh para pemaju hartanah setakat sehingga pertengahan bulan September.

URA akan mengeluarkan statistik hartanah sepenuhnya bagi suku ketiga 2023 pada 27 Oktober.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan