Skip to main content

Singapura

Harga rumah privet naik 3.4% pada 2025; paling hambar dalam 5 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Harga rumah privet naik 3.4% pada 2025; paling hambar dalam 5 tahun
Hartanah privet dan kondominium di kawasan River Valley pada 15 Februari 2023.
Diterbitkan : 02 Jan 2026 03:06PM
SINGAPURA: Harga rumah privet meningkat sebanyak 3.4 peratus pada 2025, iaitu kenaikan paling kecil dalam tempoh setahun sejak 2020, menurut anggaran awal oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Jumaat (2 Jan).

Kenaikan harga keseluruhan pada 2024 ialah 3.9 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Huttons Asia Mark Yip berkata tekanan harga berkurangan sejak 2021 apabila harga meningkat sebanyak 10.6 peratus.

Ini merupakan “tanda-tanda jelas bahawa pasaran sudah stabil selepas beberapa pusingan langkah penyesuaian oleh pemerintah”, katanya.

Harga juga meningkat pada rentak yang lebih perlahan pada suku keempat 2025, dengan kenaikan 0.7 peratus berbanding 0.9 peratus pada suku sebelumnya.

Harga rumah privet tanpa halaman turun sebanyak 0.1 peratus, berbanding kenaikan 0.8 peratus pada suku ketiga.

“Harga kediaman privet tanpa halaman di Kawasan Daerah Utama (CCR)turun sebanyak 3.2 peratus, berbanding kenaikan 1.7 peratus pada suku sebelumnya,” kata URA dalam kenyataan medianya.

Bagi hartanah di Baki Kawasan Daerah Utama (RCR), harga meningkat 0.7 peratus, naik daripada 0.3 peratus pada suku ketiga.

Harga di luar kawasan daerah utama (OCR)mencatat kenaikan terbesar, meningkat sebanyak 1 peratus, berbanding kenaikan 0.8 peratus pada suku sebelumnya.

“Bagi hartanah berhalaman, harga meningkat sebanyak 3.5 peratus, berbanding kenaikan 1.4 peratus pada suku sebelumnya,” kata URA.

Anggaran awal ini disusun berdasarkan harga urus niaga yang dikemukakan untuk bayaran cukai setem serta data unit yang dijual oleh pemaju sehingga pertengahan Disember.

Perangkaan ini akan dikemas kini pada 23 Januari apabila URA mengeluarkan set penuh statistik hartanah bagi suku keempat 2025.

BEKALAN BAGI SEPARUH PERTAMA 2026

Pada masa hadapan, URA menyatakan sebanyak 4,575 unit kediaman privet akan ditawarkan melalui senarai disahkan bagi program Penjualan Tanah Pemerintah (GLS) untuk separuh pertama 2026.

Jumlah ini 50 peratus lebih tinggi daripada purata bekalan senarai yang disahkan bagi setiap program GLS sepanjang sedekad lalu, kata URA.

Unit-unit tersebut merupakan sebahagian daripada lapan tapak kediaman privet.

Lagi 4,610 unit akan disediakan melalui senarai simpanan program tersebut.

“Secara keseluruhannya, jumlah bekalan GLS hampir 9,200 unit pada separuh pertama 2026 akan setara dengan jumlah pada separuh kedua 2025,” kata URA.

“Memandangkan prospek makroekonomi tidak menentu, isi rumah harus terus berhemat apabila membeli hartanah dan memohon pinjaman perumahan,” tambahnya.

PROSPEK

Harga rumah privet dijangka meningkat secara sederhana pada 2026, kata Christine Sun, ketua penyelidik dan ahli strategi Realion (OrangeTee & ETC) Group.

“Jumlah pelancaran projek baharu dijangka lebih rendah berbanding 2025, yang mungkin membawa kepada urus niaga jualan baharu yang berkurangan.

"Selain itu, lebih separuh daripada pelancaran baharu akan berada di kawasan pinggir bandar, di mana harga biasanya lebih rendah berbanding segmen pasaran lain,” jelasnya.

Cik Sun juga berkata lebih banyak rumah jualan semula akan siap pada 2026, yang akan merancakkan dan mengekalkan minat pembeli dalam pasaran peringkat kedua (secondary market), sekali gus mungkin memberi sedikit tekanan menurun terhadap harga rumah persendirian.

“Secara keseluruhannya, harga dijangka meningkat antara 2.5 hingga 4.5 peratus bagi keseluruhan tahun 2026, sejajar dengan pertumbuhan 3.4 peratus pada 2025 dan 3.9 peratus pada 2024,” katanya.

Encik Yip dari Huttons berkata unit di OCR dijangka merangkumi sekitar 59 peratus daripada unit-unit yang dilancarkan untuk dijual pada 2026.

“Memandangkan peratusan pelancaran tinggi di OCR, mungkin akan terdapat lebih banyak urus niaga dalam lingkungan harga S$1.5 juta hingga S$2 juta pada 2026,” katanya.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita