Skip to main content

Singapura

Harga rumah privet naik 3.1% pada suku pertama, melebihi ramalan awal

Harga rumah privet di Singapura naik 3.3 peratus pada suku pertama, mengatasi ramalan awal yang dikeluarkan lebih awal bulan ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Harga rumah privet naik 3.1% pada suku pertama, melebihi ramalan awal

Perumahan HDB dan privet di S'pura (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 23 Apr 2021 02:05PM Dikemas Kini : 23 Apr 2021 02:08PM

SINGAPURA: Harga rumah privet di Singapura naik 3.3 peratus pada suku pertama, mengatasi ramalan awal yang dikeluarkan lebih awal bulan ini.

Indeks harga hartanah kediaman privet naik kepada 162.2 mata pada suku pertama 2021, daripada 157 mata pada suku terakhir 2020, menurut perangkaan hartanah yang dikeluarkan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Jumaat (23 Apr).

Perangkaan itu menandakan kenaikan harga untuk empat suku berturut-turut dan melanjutkan kenaikan 2.1 peratus pada suku sebelumnya.

Ia juga adalah kenaikan suku tahun yang tertinggi sejak suku kedua 2018, apabila harga naik sebanyak 3.4 peratus, mencetuskan pusingan langkah bagi menyejukkan pasaran selepas itu.

HARTANAH BERHALAMAN

Harga rumah lebih tinggi itu dipacu oleh segmen hartanah berhalaman - harga bagi rumah sedemikian naik 6.7 peratus pada suku pertama, berbanding kemerosotan 1.6 peratus pada suku sebelumnya.

Dalam segmen hartanah tidak berhalaman, harga naik 2.5 peratus, lebih rendah sedikit berbanding kenaikan 3 peratus pada suku sebelumnya, menurut URA.

Khususnya di Kawasan Tengah Bandar (CCR), harga naik 0.5 peratus, mencatat kenaikan lebih perlahan berbanding 3.2 peratus pada suku sebelumnya.

Di Baki Kawasan Bandar (RCR), harga naik 6.1 peratus, melanjutkan kenaikan 4.4 peratus pada suku sebelumnya.

Harga hartanah di luar kawasan bandar (OCR) naik sebanyak 1.1 peratus, lebih perlahan berbanding kenaikan 1.8 peratus pada suku sebelumnya.

PENYEWAAN

Harga sewa juga mencatatkan pertumbuhan kukuh pada suku pertama tahun ini, naik sebanyak 2.2 peratus sekali gus mengatasi kenaikan sebanyak 0.1 peratus pada suku sebelumnya.

Ini menandakan pemulihan lebih kukuh menyusuli penurunan yang dicatakan pada suku kedua dan ketiga pada tahun lalu.

PELANCARAN DAN SAMBUTAN

Para pemaju melancarkan 3,716 rumah privet (kecuali kondominium eksekutif) bagi penjualan dalam suku pertama, berbanding dengan 3,147 unit pada suku sebelumnya.

Mereka menjual 3,493 unit sedemikian dalam tempoh itu, naik 34.2 peratus daripada 2,603 unit yang terjual pada suku terakhir 2020.

Selain itu, mereka juga melancarkan 700 unit eksekutif kondominium dan menjual 647 unit sedemikian. Ini adalah lonjakan daripada 133 unit yang terjual pada suku sebelumnya, apabila tiada unit EC dilancarkan.

PASARAN JUALAN SEMULA

Dalam pasaran jualan semula, 4,519 unit bertukar tangan pada tiga bulan pertama tahun ini, berbanding dengan 4,249 unit pada suku sebelumnya.

Urus niaga sedemikian membentuk 55.8 peratus daripada keseluruhan penjualan pada suku pertama, merosot daripada 61.3 peratus pada suku sebelumnya.

BEKALAN DALAM PERANCANGAN

Seperti mana dengan penghujung suku pertama, terdapat 21,602 rumah privet yang tidak terjual dan belum selesai dibina dalam perancangan - berbanding dengan 24,296 unit pada suku tahun sebelumnya.

Termasuk kondominium eksekutif, jumlah itu naik kepada 23,735 unit, lebih rendah berbanding 26,426 pada suku sebelumnya.

Para penganalisis sebelum ini menarik perhatian bahawa jumlah bekalan unit yang berkurangan boleh menyebabkan harga naik.

Berdasarkan tarikh dijangka siap yang dilaporkan oleh para pemaju, 4,942 unit (termasuk kondominium eksekutif) dijangka siap dibina dalam tiga suku tahun selebihnya.

URA menambah terdapat satu potensi bekalan sekitar 3,840 unit (termasuk kondominium eksekutif) dari Penjualan Tanah Pemerintah (GLS) yang belum mendapat kelulusan perancangan.

"Bekalan rumah privet dalam perancangan termasuk tapak GLS akan memenuhi keperluan perumahan penduduk apabila ia siap dalam beberapa tahun mendatang.

"Pemerintah akan terus memantau keadaan ekonomi dan pasaran hartanah dengan teliti dan menyesuaikan bekalan program-program GLS di masa hadapan, jika perlu, bagi memastikan ia terus mencukupi untuk memenuhi permintaan," menurut URA. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita