Skip to main content

Singapura

Harga rumah privet naik 0.9% pada Q3 dengan lebih banyak projek dilancarkan

Harga rumah privet meningkat sebanyak 0.9 peratus pada suku ketiga 2025, rendah sedikit berbanding kenaikan 1 peratus pada suku sebelumnya, menurut data terkini oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) yang diterbitkan pada Jumaat (24 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Harga rumah privet naik 0.9% pada Q3 dengan lebih banyak projek dilancarkan

Gambar fail TODAY.

Diterbitkan : 24 Oct 2025 05:01PM Dikemas Kini : 24 Oct 2025 05:02PM
SINGAPURA: Harga rumah privet meningkat sebanyak 0.9 peratus pada suku ketiga 2025, rendah sedikit berbanding kenaikan 1 peratus pada suku sebelumnya, menurut data terkini oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) yang diterbitkan pada Jumaat (24 Okt).

Ini sedang para pemaju melancarkan 4,191 unit (tidak termasuk kondominium eksekutif) untuk penjualan pada suku ketiga, berbanding dengan 1,520 unit pada suku sebelumnya, sementara mereka juga menjual 3,288 unit, berbanding 1,212 unit dalam suku kedua.

Ini merupakan jumlah pelancaran suku tertinggi sejak suku kedua 2013, apabila 4,395 unit dilancarkan.

"Lonjakan dalam aktiviti pelancaran mencerminkan kesediaan pemaju untuk memanfaatkan sentimen pasaran yang meningkat dan penglibatan pembeli yang bertambah di semua wilayah," kata Encik Mohan Sandrasegeran, ketua penyelidikan dan analitik data di Singapore Realtors Inc.

"Kebanyakan projek-projek baharu itu berasal dari tapak-tapak Penjualan Tanah Pemerintah (GLS), sedang pemerintah meningkatkan program GLS secara berperingkat dalam sesi jualan baru-baru ini bagi memastikan bekalan perumahan yang mencukupi," katanya.

"Ini menyediakan lebih banyak peluang kepada para pemaju untuk memperkenalkan projek-projek yang terletak di lokasi yang baik, mengukuhkan kestabilan dan keluasan dalam pasaran utama.

"Pelibatan aktif para pemaju dalam pelancaraan itu juga mencerminkan keyakinan baharu dalam pasaran hartanah dan daya tahan permintaan asas."

Keseluruhan jumlah urus niaga rumah privet (tidak termasuk kondominium eksekutif) meningkat kepada 7,404 unit pada suku ketiga, naik sebanyak 44.4 peratus daripada 5,128 unit dalam suku sebelumnya.

Jumlah itu menandakan prestasi suku ketiga tertinggi dalam empat tahun, menjangkau 5,372 unit pada 2024, 5,201 unit pada 2023 dan 6,148 unit pada 2022, kata Cik Christine Tee, ketua strategi dan ahli strategi Kumpulan Realion (OrangeTee & ETC).

"Bagi tiga suku pertama pada 2025, 19,793 unit dijual beli, yang melebihi 14,517 unit yang dijual dalam tempoh yang sama tahun lalu," katanya.

"Kebangkitan semula penjualan menunjukkan terdapat permintaan tinggi bagi rumah privet walaupun dengan ketidaktentuan makroekonomi yang berterusan."

HARGA HARTANAH BERHALAMAN DAN TANPA HALAMAN

Menurut statistik URA, harga bagi hartanah berhalaman meningkat sebanyak 1.4 peratus pada suku ketiga 2025, lebih rendah berbanding kenaikan 2.2 peratus dalam suku sebelumnya.

Harga hartanah tanpa halaman pula meningkat sebanyak 0.8 peratus pada suku ketiga, berbanding dengan kenaikan sebanyak 0.7 peratus pada suku kedua.

Di Kawasan Daerah Utama (CCR), harga hartanah tanpa halaman meningkat sebanyak 1.7 peratus pada suku ketiga, berbanding dengan kenaikan 3 peratus dalam suku sebelumnya.

Harga bagi hartanah tanpa halaman di Baki Kawasan Daerah Utama (RCR) meningkat sebanyak 0.3 peratus pada suku ketiga, setelah ia merosot sebanyak 1.1 peratus pada suku kedua.

Harga hartanah tanpa halaman di luar kawasan tengah bandar (OCR) meningkat sebanyak 0.8 peratus, berbanding dengan kenaikan 1.1 peratus dalam suku sebelumnya.

Springleaf Residences adalah projek yang paling laras dalam suku ketiga 2025, di mana ia menjual 881 unit pada harga median S$2,166 bagi setiap kaki persegi.

Ini mencerminkan permintaan kukuh bagi projek-projek di lokasi baik di OCR, kata Encik Sandrasegeran.

HARGA JUALAN SEMULA HDB Q3

Secara berasingan, harga flat jualan semula meningkat sebanyak 0.4 peratus pada suku ketiga 2025, menurut data terkini oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang diterbitkan pada Jumaat.

Perangkaan itu - merosot daripada kenaikan 0.9 peratus pada suku kedua - adalah selari dengan unjuran kilat yang diterbitkan pada 1 Oktober dan menandakan kenaikan terendah dari suku ke suku sejak suku kedua 2020.

HDB juga menyatakan urus niaga jualan semula meningkat sebanyak 1.7 peratus, daripada 7,102 kes pada Q2 kepada 7,221 kes pada Q3.

"Berbanding dengan suku ketiga 2024, urus niaga jualan semula pada suku ketiga 2025 adalah 11.3 peratus lebih rendah," ia menambah.

Sesi jualan flat Bina-Ikut-Tempah (BTO) yang pertama pada 2026 akan diadakan pada Februari depan, dengan kira-kira 4,600 flat di Bukit Merah, Sembawang, Tampines dan Toa Payoh akan dilancarkan.

Sekitar 3,000 unit Jualan Baki Flat (SBF) juga akan dilancarkan.

Bakal pembeli flat dinasihatkan supaya memohon bagi surat Kelayakan Flat HDB (HFE) awal dan menyerahkan semua dokumen yang diperlukan selewat-lewatnya pada 15 Disember jika mereka mahu menyertai sesi jualan pada Februari 2026.

Pelancaran BTO terakhir untuk tahun ini bermula pada 15 Oktober dan ia berakhir pada Rabu (22 Okt).
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita