Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Harga rumah privet naik 0.4% pada suku ke-4

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Harga rumah privet meningkat pada rentak lebih perlahan pada suku keempat 2022, di tengah-tengah urus niaga berkurangan disebabkan kurangnya pelancaran besar-besaran, langkah meredakan pasaran, kadar faedah yang semakin meningkat dan unjuran ekonomi sejagat yang melemah. 

Harga hartanah kediaman privet naik 0.4 peratus pada suku keempat 2022, berbanding 3.8 peratus pada suku ketiga, menurut statistik hartanah yang dikeluarkan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Jumaat (27 Jan). 

Sepanjang 2022, harga rumah privet naik 8.6 peratus, berbanding 10.6 peratus pada 2021. 

Para pemaju juga menjual sebanyak 7,099 unit kediaman privet pada 2022, berbanding 13,027 pada tahun sebelumnya. 

HARGA NAIK SEDIKIT PADA SUKU KE-4

Harga naik agak sedikit pada suku keempat 2022 kerana tiada pelancaran utama hartanah tidak berhalaman, kata Encik Lee Sze Teck, Pengarah Kanan Penyelidikan Huttons Asia. 

Harga hartanah tidak berhalaman naik 0.3 peratus pada suku keempat 2022, berbanding 4.4 peratus pada suku sebelumnya. 

Harga hartanah tidak berhalaman di kawasan tengah bandar (CCR) naik 0.7 peratus pada suku keempat 2022, berbanding 2.3 peratus pada suku sebelumnya. 

Harga hartanah tidak berhalaman di kawasn sekeliling bandar (RCR) pula meningkat 3.1 peratus, manakala harga di pinggir tengah bandar (OCR) merosot 2.6 peratus pada suku keempat 2022. 

Kemerosotan harga itu sejajar dengan trend sejagat di mana harga rumah turun di banyak negara lain, kata Naib Presiden Kanan Penyelidikan dan Analisis di OrangeTee & Tie Cik Christine Sun. 

Harga rumah terjejas oleh kenaikan kadar faedah di seluruh dunia, ujar Cik Sun, sambil menambah bahawa bank-bank pusat di serata dunia menaikkan kadar faedah untuk menangani inflasi. 

Banyak negara turut menaikkan kos pinjaman untuk merangsang kestabilan ekonomi mereka, tambahnya. 

Jumlah unit yang dijual merosot pada suku keempat 2022 kerana kebanyakan pembeli bercuti di luar negara dan kegiatan urus niaga lebih perlahan sewaktu musim cuti, kata Cik Sun, sambil menambah bahawa kenaikan kadar faedah, kurangnya pelancaran sewaktu cuti hujung tahun dan keadaan makroekonomi yang semakin tidak menentu menjejas teruk permintaan. 

Jumlah unit yang dijual merosot daripada 6,148 pada suku ketiga kepada 3,588 unit pada suku keempat 2022. Kemerosotan jumlah unit yang dijual disaksikan bagi kedua-dua penjualan rumah baru dan rumah jualan semula. 

Penjualan rumah baru, tidak termasuk kondominium eksekutif (EC), merosot 68.4 peratus daripada 2,187 unit pada suku ketiga 2022 kepada 690 pada suku keempat. 

Jumlah rumah jualan semula pula merosot 27.6 peratus daripada 3,179 unit kepada 2,694 unit pada tempoh yang sama. 

BEKALAN

Para pemaju melancarkan 504 unit kediaman privet yang belum siap dibina, tidak termasuk EC, untuk dijual pada suku keempat 2022, berbanding 1,455 unit pada suku sebelumnya, menurut URA. 

Sepanjang 2022, para pemaju juga melancarkan 4,528 unit kediaman privet, merosot berbanding 10,496 unit pada tahun sebelumnya. 

Jumlah unit yang tidak dijual dan permintaan terpendam merangsang pertumbuhan harga pada 2022, kata Encik Lee. 

Para pemaju menjual sebanyak 690 unit kediaman privet, tidak termasuk EC, pada suku keempat 2022, berbanding 2,187 unit pada suku sebelumnya. 

Bagi 2022, para pemaju menjual 7,099 unit kediaman privet, berbanding 13,027 unit pada tahun sebelumnya. 

Ia merupakan "penjualan terendah para pemaju sejak Krisis Kewangan Sejagat pada 2008," ujar Encik Lee. 

Secara keseluruhan, sekitar 32,100 unit, termasuk EC, dijangka siap dibina pada 2023 dan 2024, iaitu kira-kira dua kali ganda 15,900 unit yang siap dibina pada 2021 dan 2022.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan