Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Harga rumah privet di Singapura melonjak 10.6% pada 2021

Anggaran Waktu Membaca:
Harga rumah privet di Singapura melonjak 10.6% pada 2021

Rumah privet di Singapura. (Gambar fail: TODAY)

SINGAPURA: Harga rumah privet di Singapura melonjak 10.6 peratus pada tahun 2021, lebih tinggi berbanding 2.2 peratus pada tahun sebelumnya, menurut anggaran awal Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Isnin (3 Jan).

Ia juga merupakan kenaikan tahunan paling tinggi sejak harga meningkat 17.6 peratus pada 2010, kata Cik Christine Sun, naib presiden kanan penyelidikan dan analitik di OrangeTee and Tie.

Secara keseluruhan, indeks hartanah kediaman privet naik 8.3 mata dari suku ketiga kepada 173.6 mata pada suku keempat 2021.

"Ini menunjukkan peningkatan 5 peratus berbanding 1.1 peratus pada suku sebelumnya, " menurut URA.

Ia juga kenaikan suku tahun tertinggi sejak harga naik 5.3 peratus pada suku kedua 2010, kata Cik Sun.

Harga dipacu penjualan rumah privet tidak berhalaman di baki kawasan tengah (RCR) yang naik pada kadar lebih pantas sebanyak 7.3 peratus pada suku keempat, berbanding 2.6 peratus suku sebelumnya.

Harga hartanah tidak berhalaman di kawasan tengah utama (CCR) naik 2.5 peratus selepas merosot 0.5 peratus pada suku sebelumnya.

Harga di luar kawasan tengah (OCR) pula naik 5.4 peratus pada suku keempat selepas merosot 0.1 peratus pada suku ketiga.

Bagi seluruh tahun 2021, harga di kawasan
CCR, RCR dan OCR masing-masing meningkat 3.7 peratus, 16.9 peratus dan 8.4 peratus.

Singapura memperkenalkan langkah meredakan pasaran hartanah pada 16 Dis. Ini termasuk Cukai Setem Pembeli Tambahan (ABSD) lebih tinggi dan Nisbah Bayaran Pinjaman Hutang (TDSR) yang lebih ketat.

Namun, kesannya "mungkin tidak dirasai" sepenuhnya pada tahun 2021, kata pengarah kanan penyelidikan Huttons Asia, Lee Sze Teck.

Ini mungkin disebabkan pasaran hartanah tidak begitu rancak pada dua minggu terakhir bulan Disember disebabkan musim cuti dan pembeli kali pertama membentuk kira-kira 80 peratus urus niaga dalam pasaran sekarang.

Encik Lee berkata jumlah pelancaran baru djangka berkurangan pada 2022, dengan sekitar 8,000 hingga 9,000 unit ditawarkan. Harga pula mungkin naik sehingga 3 peratus berikutan kos pembinaan yang lebih tinggi.

Permintaan bagi jualan baru mungkin berkurangan pada separuh pertama 2022 dengan pemaju hartanah mungkin mempertimbanggkan tarikh pelancaran dan menyesuaikan semula harga, kata penganalisis penyelidikan dan kandungan Ohmyhome, Mohan Sandrasegeran.

Beliau menjangkakan peningkatan harga rumah privet akan mula reda kepada sekitar 1 hingga 2 peratus pada separuh pertama tahun ini.

Cik Sun pula berkata harga mungkin naik pada rentak lebih perlahan antara 0 hingga 3 peratus berbanding tahun sebelumnya, selepas langkah meredakan pasaran diumumkan.

Anggaran awal URA itu akan dikemas kini pada 28 Jan apabila perangkaan lengkap data hartanah bagi suku keempat 2021 dikeluarkan.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan