Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Harga petrol semakin naik, ini 6 petua untuk jimat wang di stesen minyak

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Hari paling sibuk bagi seorang ibu, Cik Erfanah Hasim, adalah pada hari Sabtu. Anak sulungnya mempunyai latihan bola tampar, anak keduanya mempunyai latihan tarian manakala anak bongsunya pula mengikuti kelas tarian balet.

Untuk menghantar dan mengambil mereka dari sekolah setiap hari dan bagi kegiatan hujung minggu mereka, pemilik salon kecantikan itu bergantung kepada kereta Toyota Wish sebesar 1,800cc.

Bagaimanapun, dengan kenaikan harga petrol, beliau mahu menjimatkan "setiap dolar yang boleh".

Pada minggu lalu, harga petrol mencecah rekod tertinggi, dengan petrol 95-oktana berharga setinggi S$3.33 bagi satu liter, naik 33 peratus berbanding tahun lalu. Petrol gred mewah 98-oktana pula berharga S$4.04 (Shell V-Power), naik 25 peratus berbanding tahun lalu. 

Kenaikan harga itu "menjejas" perbelanjaan bulanannya, kata Cik Erfanah. 

Bulan lalu, beliau mengeluarkan sebanyak S$150 bagi kos petrol, berbanding S$120 sebelum ini. Perbezannya bernilai sekitar S$120 setiap bulan. 

Bagi pemandu kereta privet Lee Xuan Feng yang memandu kereta Toyota Prius Hybrid 1,800cc, perbelanjaannya naik "agak ketara", daripada S$1,000 setiap bulan kepada sekitar S$1,380. 

"Dalam satu tahun, kenaikannya bernilai sekitar S$4,500," katanya. "Saya boleh pergi cuti dengan wang itu."

Memandangkan harga petrol dijangka tidak akan turun dalam masa terdekat, program Talking Point mengongsi cara-cara para pengguna jalan raya boleh menjimatkan wang di stesen minyak, dengan memandu dengan lebih baik lagi dan lebih menyedari tentang minyak semasa menggunakan kereta. 

1. PERIKSA ANGIN TAYAR

Para pemandu boleh mula mengepam angin sebanyak 240 hingga 260 unit kilopascal (kPa) ke dalam tayar mereka, menurut jurutera kereta Alfa Sportivo, Shaun Seah. 

"Tayar yang tidak dikembungkan dengan betul akan menyebabkan lebih banyak pergeseran antara lantai dan tayar, dan anda perlukan lebih banyak kuasa untuk bergerak pada jarak yang sama," kata Encik Seah. 

Pengguna jalan raya boleh mencari pelekat yang selalunya ditampal pada pintu pemandu untuk mendapat tahu kadar angin yang optimum bagi tayar mereka atau membaca buku panduan pemilik. 

2. OPTIMUMKAN BERAT DAN AERODINAMIK KERETA

Lebih berat kereta anda, termasuk but, lebih banyak minyak yang perlu dibakar, kerana lebih banyak tenaga diperlukan untuk menggerakkan kereta. 

Apabila aerodinamik kereta dikompromi, ia menjejas kelajuan kenderaan.

"Malah, rak di bahagian bumbung menjejas aerodinamik kereta dan menyebabkan lebih banyak rintangan udara semasa anda memandu," kata Encik Seah.

Untuk mengurangkan penggunaan minyak, langkah mengurangkan berat kereta mampu memperbaiki aerodinamiknya. 

3. PASTIKAN KEADAAN KERETA ANDA BAIK

Penggunaan petrol yang lebih tinggi juga boleh disebabkan oleh penyenggaraan kurang baik kereta.

Misalnya, sekiranya pemancit minyak tersumbat, ia "tidak boleh meluluhkan minyak dengan baik", ujar Encik Seah. "ini akan menjejas pembakaran minyak petrol anda." 

Selain itu, apabila pergerakan kereta anda lebih perlahan berbanding pada waktu biasa atau apabila anda mula mengepam lebih banyak petrol daripada biasa, ia bermakna ada perkara yang tidak betul, kata Encik Seah lagi. 

Jika kereta itu berdepan dengan sebarang masalah, pembaziran minyak boleh setinggi 80 peratus, tambahnya. 

4. ADAKAH MINYAK GRED LEBIH TINGGI LEBIH CEKAP?

Para pemandu mungkin pernah membaca dakwaan oleh syarikat-syarikat minyak bahawa petrol gred lebih tinggi itu lebih baik kerana ia boleh mempertingkatkan kecekapan kereta, dengan membersih dan melindungi enjin. 

Namun, versi mewah mungkin berharga 20 peratus lebih tinggi berbanding petrol 95-oktana. Ia mungkin tidak memberi sebarang perbezaan kepada jarak perjalanan kereta.

Dalam satu ujian yang dijalankan oleh pengarah kedai kereta Conti Meister, Encik Wilbert Leong, sebuah kereta Honder Fit dengan enjin 1.3 liter - yang dianggapnya sebagai kereta biasa di Singapura - menggunakan purata 17 kilometer bagi setiap liter apabila menggunakan petrol 95-oktana dan 98-oktana. 

"Enjin itu sudah disiapkan khas bagi ciri tertentu petrol yang ia sepatutnya digunakan," kata Encik Leong. "Petrol yang grednya lebih tinggi akan memberikan kesan yang sama."

Justeru, jika sebuah kereta ditetapkan untuk menggunakan petrol 95-oktana, pemandu tidak perlu menggunakan petrol gred lebih tinggi dan boleh menjimatkan wang.

5. BANDINGKAN HARGA

Sesetengah warga Singapura kini sedang mencari petrol lebih murah di seberang tambak memandangkan sempadan sudah dibuka semula. Namun, hos Talking Point Steven Chia menggunakan laman web tempatan untuk membandingkan harga-harga petrol di stesen-stesen minyak yang berbeza. 

Laman web itu dipanggil Fuel Kaki yang dibangunkan oleh Persatuan Pengguna Singapura (CASE) dan ia "agak bagus", katanya. "Laman web ini benar-benar membantu saya mencari petrol paling murah yang sedia ada."

6. JANGAN MEMANDU MELULU ATAU TINGGALKAN KERETA ANDA DENGAN ENJIN HIDUP

Bagi sebilangan warga Singapura, mereka terpaksa berbelanja lebih disebabkan tabiat memandu mereka.

Misalnya, jika anda memecut dan tiba-tiba menekan brek, anda akan menggunakan lebih banyak petrol berbanding dengan jika anda bergerak lebih pantas dan menekan brek secara beransur-ansur, kata jurulatih memandu privet William Lim. 

Membiarkan enjin kereta begitu sahaja juga adalah satu "kesalahan besar", tambahnya. Jika anda meninggalkan kereta anda selama 15 minit, anda membazir 473 mililiter petrol, berbanding 31 mililiter petrol jika ia ditinggalkan selama seminit. 

Menurut laporan oleh pusat kajian sains dan kejuruteraan Makmal Nasional Argonne di Amerika Syarikat, kereta yang ditinggalkan selama lebih 10 saat pun menggunakan lebih banyak minyak berbanding memulakan semula enjin. 

Ini merupakan petua-petua yang Cik Erfanah patuhi selama dua minggu, dan beliau berjaya menggunakan tangki penuh selama 10 hari berbanding tujuh hari, yang menjimatkannya S$150 sebulan. 

Sewaktu tempoh ini, Cik Erfanah juga mematikan enjin setelah menghantar setiap anaknya, meskipun adik-beradik yang lain akan mengadu, "Jangan, Mama, nanti panas". 

Beliau juga tidak menambah kelajuannya secara tiba-tiba apabila bergerak. "Selain itu, saya juga merancang perjalanan saya untuk hari itu," tambahnya. "Itu benar-benar membantu saya."

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan