Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Harga pakej umrah Ramadan cecah hingga S$7,000 tahun ini

Anggaran Waktu Membaca:
Harga pakej umrah Ramadan cecah hingga S$7,000 tahun ini

(Gambar: Abdel Ghani Bashir/AFP)

SINGAPURA: Harga pakej umrah bagi jemaah ke Arab Saudi mencecah paras tertinggi sedang umat Islam berpusu-pusu ke kota suci Makkah dan Madinah untuk menunaikan ibadah tersebut.

Walaupun ibadah tersebut boleh dilakukan sepanjang tahun, ramai umat Islam mengambil kesempatan untuk menunaikannya sewaktu bulan Ramadan, kata sebilangan ejen pelancongan kepada Mediacorp.

Permintaan global yang tinggi mendorong kenaikan harga pengangkutan dan bilik hotel di Arab Saudi, dengan Ramadan disifatkan sebagai salah satu bulan paling suci bagi umat Islam.

Ramadan dijangka bermula Khamis ini (23 Mac).

PERMINTAAN LEBIH TINGGI

Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Muslim Singapura (AMTAS) menganggarkan sehingga 5,000 rakyat Singapura akan menunaikan umrah sepanjang bulan Ramadan ini, yang berakhir pada 21 April.

Pengurus Hahnemann Travel & Tours, Encik Muhammad Ahmad berkata permintaan bagi pakej umrah musim ini meningkat sekitar 40 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Syarikatnya akan membawa tiga rombongan jemaah umrah ke Arab Saudi.

Encik Muhammad juga menambah mereka mula menerima pendaftaran bagi ibadah umrah seawal November tahun lalu.

Pakej umrah kini berharga sehingga S$7,000 setiap seorang, iaitu kira-kira 30 peratus lebih tinggi berbanding sebelum ini, dedah Encik Muhammad.

Syarikatnya bagaimanapun cuba memastikan harganya kekal serendah mungkin bagi para jemaah.

"Kami akan memasuki Makkah atau Madinah lebih awal untuk mengurangkan kos atau bergerak ke hotel berbeza bagi harga yang lebih baik, supaya kami dapat memenuhi keperluan orang ramai dan supaya mereka tidak perlu rasa terbeban dengan kenaikan besar harga tersebut," katanya.

PERUBAHAN TREND

Umat Islam di Singapura biasanya tidak menjalani bulan Ramadan di Arab Saudi, tetapi trend itu sudah berubah, kata Cik Juyda Noor Mohamad, pengarah Noor Mohamad Services & Travel.

Agensi itu biasanya membawa sekitar 60 jemaah menerusi dua pakej ke Arab Saudi sewaktu bulan Ramadan, tetapi ia kian meningkatkan kuotanya sekitar 30 tahun ini disebabkan permintaan tinggi.

"Salah satu sebab adalah jemaah-jemaah ini sudah tahu mereka tidak boleh menunaikan haji tahun ini disebabkan kuota. Jadi, (perkara) selanjutnya yang terbaik adalah untuk melakukan umrah sewaktu Ramadan," katanya.

Kuota rasmi Singapura bagi ibadah haji tahun ini adalah 900.
Menurut Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, jemaah hanya dibenarkan menunaikan umrah sekali sahaja sewaktu Ramadan.

Mereka juga digesa untuk mendapatkan permit yang diperlukan sebelum berangkat dan mengikut tarikh yang dikhususkan bagi perjalanan mereka.

Ini demi memastikan keselesaan dan keselamatan jemaah dan bagi menampung seberapa ramai jemaah yang mungkin.
Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan