Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Harga pakej Haji 2022 lebih mahal; masa singkat untuk bakal jemaah buat pilihan

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Tinggal sehari sahaja lagi untuk bakal jemaah Haji Singapura memilih pakej untuk musim haji 2022 yang ditawarkan Agensi haji dan umrah (GSA) tempatan.

Bakal jemaah Haji tahun ini menerima Surat Tawaran dan Surat Pemilihan Pakej Haji daripada MUIS pada 5 Mei dan mempunyai sehingga esok (8 Mei) untuk mendapatkan pakej Haji daripada GSA yang diluluskan MUIS.

TEMPOH TIGA HARI UNTUK PILIH PAKEJ HAJI SINGKAT

Sebilangan bakal jemaah yang ditemui BERITAmediacorp mendapati proses pemilihan pakej Haji tahun ini agak mencabar kerana mereka hanya diberi masa tiga hari untuk menilai dan memilih pakej masing-masing.

Ini ditambah pula dengan kos pakej yang meningkat - ada seganda lebih mahal berbanding dua tahun lalu.

Bakal jemaah Cik Faridah Mohamed Ali, 64 tahun terus ke pejabat GSA Noor Mohamad Services & Travel selepas menerima Surat Tawaran dari MUIS.

"Saya mahu selesaikannya di sana dan tidak perlu fikirkan lagi. Saya tidak mahu tunggu sehingga 8 Mei untuk membeli pakej haji saya," kata Cik Faridah.

Cik Faridah berpendapat jangka masa tiga hari yang diberikan untuk memilih pakej terlalu suntuk.

"Kalau ada jemaah yang baru, tidak pernah pergi umrah, pergi Makkah, tiga hari memang terlalu pendek. Kita perlu fikirkan GSA mana nak pilih, berapa baik khidmat ejen itu.

"Kita pun nak tahu banyak perkara, perlu bandingkan harga-harga pakej. Harga berbeza sedikit, jadi kita pun nak tahu. Ada yang termasuk beberapa perkara ada yang tidak. Jadi banyak yang perlu dipertimbangkan," kata Cik Faridah, seorang pesara.

Mujur beliau pernah menunaikan Umrah sebanyak dua kali dengan syarikat Noor Mohamad Services & Travel.

Jadi beliau tidak perlu memikir panjang tentang pakej mana dan GSA yang menjadi pilihannya.

<p>Gambar: Hakim Irwan</p>

"Saya sudah tahu pakej mana yang saya mahukan jadi saya tak fikir dua kali. Sama ada saya pergi untuk tempoh tarikh lebih lama atau lebih pendek. Untuk saya, sebab ke Makkah bukan selalu kita dijemput, jadi lebih baik saya luangkan masa lebih di sana," ujar beliau.

Cik Faridah memilih Pakej Barakah 2 selama 26 hari yang ditawarkan Noor Mohamad Services & Travel.

Pakej itu berharga lebih S$15,000, termasuk harga tiket penerbangan sekitar S$2,700.

Kos tersebut masih belum termasuk harga masyair.

Noor Mohamad Services & Travel. menawarkan satu lagi Pakej Barakah 1 selama 19 hari.

Meskipun pernah menunaikan Umrah, pengalaman Haji yang pertama buatnya tahun ini jauh berbeza.

Ibu kepada dua orang anak ini berkata: "Saya risau apabila ada di sana, sebab saya tidak pernah pergi Haji. Saya pun tidak tahu berapa ramai orang di sana, orang lebih ramai daripada jemaah Umrah. Lagipun sewaktu pandemik ini, lebih susah pergerakannya, jadi kita pun khuatir tentang kesihatan juga.

Suaminya, Encik Suratman Paieman, 76 tahun tidak dapat menunaikan haji kali ini kerana menepati had umur yang ditetapkan.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menetapkan syarat hanya mereka yang berusia bawah 65 tahun dibenarkan menunaikan ibadah haji tahun ini.

"Cik Faridah berkata: "Suami saya mesti sedih tidak dapat pergi. Sebenarnya dia juga risau saya pergi sendiri, kalau boleh dia nak ikut sama. Tetapi disebabkan juga dia sudah sakit dan usia dia pun sudah melebihi 65 tahun, jadi memang sudah tidak boleh pergi lagi. Jadi saya sudah dapat peluang, saya pergi sahaja."

Para jemaah syarikat Noor Mohamed Services & Travel djadualkan berangkat ke Tanah Suci pada 2 Julai nanti.

TERUJA DAPAT TUNAIKAN HAJI SELEPAS 10 TAHUN MENUNGGU MESKI PAKEJ LEBIH MAHAL

Pasangan suami isteri Mohamed Yusri Mohd Yussof, 52 tahun, dan Anizah Lazim, 55 tahun pula sangat teruja berpeluang ke Baitullah setelah sekian lama menunggu.

"Pertama sekali saya amat bersyukur kepada Allah swt, gembira, terharu juga sebab selepas penantian selama 10 tahun, kami suami isteri dipilih untuk menunaikan Haji tahun ini," kata Encik Yusri.

Sebenarnya, pasangan ini mendapat tawaran untuk menunaikan ibadah Haji pada 2020 tetapi rancangan tersebut terpaksa ditangguhkan apabila COVID-19 melanda.

Jadi, pasangan suami isteri itu tidak berfikir dua kali apabila mendapat tawaran dari MUIS kelmarin.

Ini meskipun harga pakej Haji tahun ini seganda lebih mahal berbanding pakej yang ditawarkan dua tahun lalu.

"Cabaran di sini adalah dari segi kos masyair. Walaupun kita tahu anggarannya $5,000 hingga $9,000, kita takut juga kalau ada tambahan lebih lagi. Itu adalah sesuatu yang merisaukan kita."

<p>Gambar: Hakim Irwan</p>

"Pakej Haji tahun ini anggarannya S$8,000 hingga S$15,000. Misalnya, pakej yang kita ambil harganya sekitar S$13,000. Ini tidak termasuk harga masyair dan tiket penerbangan. Jadi bayangkan misalnya kos masyair sebanyak S$9,000, tiket penerbangan pula harganya sekitar S$2,500, jumlahnya sudah mencecah lebih daripada S$11,000. Jadi harga masyair dan tiket penerbangan sahaja sudah hampir sama dengan pakej haji itu sendiri," jelas Encik Yusri berkenaan kos pakej Haji tahun ini.

Encik Yusri dan Cik Anisah mendapatkan khidmat Hahnemann Travel & Tours. untuk menguruskan perjalanan haji mereka.

Menurut Encik Yusri, satu lagi hambatan buat sesetengah bakal jemaah Haji tahun ini adalah syarat pembayaran penuh harga pakej Haji yang ditetapkan oleh MUIS.

"Pada tahun 2020, kita hanya perlu membayar deposit sekitar 50 peratus sewaktu dua hingga tiga bulan sebelum hari keberangkatan. Dua hingga tiga minggu sebelum hari keberangkatan pula baru kita membayar selebihnya. Tahun ini, sesiapa yang ingin mengerjakan ibadah Haji perlu melunaskan bayaran penuh untuk pakej haji sahaja," kata beliau

Para jemaah Hahnemann Travel & Tours akan berangkat ke Tanah Suci pada 2 dan 3 Julai nanti.

407 bakal jemaah Singapura akan menunaikan rukun Islam yang kelima tahun ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/HK/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan