Skip to main content

Singapura

Harga minuman dalam botol, tin di SG dijangka naik 25-60 sen mulai April

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 10 Jan 2026 05:50PM Dikemas Kini : 15 Jan 2026 03:06PM
SINGAPURA: Harga minuman dalam botol dan tin dijangka meningkat antara S$0.25 hingga S$0.60 apabila Skim Pemulangan Bekas Minuman (BRCS) mula dilaksanakan pada April nanti.

Di bawah skim itu, pengguna membayar deposit S$0.10 untuk membeli botol dan tin minuman, dan bayaran deposit itu akan dikembalikan apabila ia dipulangkan di tempat yang ditetapkan.

Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan sisa dan meningkatkan kadar kitar semula di Singapura.

Namun, beberapa pengimport utama dan peruncit kecil yang ditemui berkata mereka berdepan tekanan kos berikutan pelbagai yuran yang dikenakan.

Satu tin minuman kini berharga serendah S$0.70 di sesetengah kedai runcit yang bergantung kepada import murah dari Thailand atau Indonesia.

Minuman yang dihasilkan secara tempatan pula biasanya berharga hampir S$1.00.

Namun, jurang harga itu mungkin berkurangan tidak lama lagi disebabkan yuran yang perlu dibayar peruncit di bawah Skim Pemulangan Bekas Minuman (BCRS).

"Saya tiada pilihan selain memindahkan kos itu kepada pengguna dan akhirnya, ia akan meningkatkan harga keseluruhan di pasaran," kata Devang Bafna, PengarahTian Ma Group Holdings.

"Misalnya, setin minuman 100 Plus, jika harganya naik daripada 70 sen kepada 85 sen, pengguna yang sebelum ini membeli tiga atau empat tin, mungkin hanya akan membeli satu atau dua. Jadi ia akan mengubah landskap dan cara minuman dijual di pasaran," tambahnya.

Beliau menjelaskan, sebahagian kos itu melibatkan logistik bagi memastikan setiap produk mematuhi keperluan skim berkenaan.

Antaranya, menampal label baharu yang diluluskan BCRS pada setiap botol dan tin, memandangkan label antarabangsa tidak lagi boleh digunakan.

Selain itu, terdapat juga kebimbangan jikalau syarikatnya tidak akan mampu bersaing dari segi harga dengan pengeluar tempatan lain.

"Kami terpaksa akur, tiada pilihan lain. Apa sahaja kos yang dikenakan kepada kami, kami terpaksa memindahkannya kepada pengguna. Jadi ia kesan domino. Apabila satu pihak melakukannya, pihak lain juga terpaksa mengikut dan akhirnya beban itu jatuh kepada pengguna," kata Encik Bafna.

BRCS menyatakan ia menganjurkan beberapa bengkel online bagi mendidik pihak pengeluar tentang skim itu dari penghujung Oktober hingga bulan ini.
Sumber : CNA/NY/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita