Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Harga makanan laut SG semakin naik susulan masalah bekalan disebabkan cuaca buruk

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Cuaca buruk yang melanda rantau ini lebih awal daripada musim tengkujuh yang biasanya berlaku menyebabkan beberapa jenis makanan laut, seperti ikan bawal, udang dan kerapu merah, kurang bekalan di sini.

Akibatnya, beberapa harga makanan laut borong turut meningkat, sekali gus menjejas harga runcit.

Pemborong dan peniaga ikan memberitahu Mediacorp bahawa dengan musim perayaan Tahun Baru Cina yang hampir tiba, harga mungkin mengalami tekanan yang lebih tinggi apabila permintaan meningkat.

Pengarah Makanan Laut Ariki, Kelvin Lim, yang menjual kepada kedua-dua restoran dan pelanggan runcit, berkata bekalan makanan laut segar daripada pembekalnya di Malaysia dan Indonesia merosot sejak dua bulan lalu.

Ini kerana cuaca buruk, yang berlaku jauh lebih awal daripada musim tengkujuh biasa, di tempat seperti Malaysia, dan menghalang nelayan daripada turun ke laut.

Beliau menambah, jenis ikan yang paling terjejas adalah ikan kerapu merah dan ikan bawal, dengan bekalan bagi kedua-dua jenis ikan itu merosot sebanyak 50 peratus.

Ini telah menyebabkan pembekal menaikkan harga mereka sebanyak 20 peratus. Encik Lim menambah beliau terpaksa menaikkan harganya kepada pelanggan, termasuk pembeli runcit, sekitar 10 hingga 15 peratus.

Mengenai cara firmanya menguruskan kekurangan bekalan itu, Encik Lim berkata: “Kami cuba menyimpan sebanyak mungkin. Jika jenis ikan tertentu kehabisan, kami akan meminta pelanggan kami menukar jenis ikan yang mereka beli.”

Bagaimanapun, Encik Lim berkata perniagaannya tidak terjejas kerana beliau mengimport hanya sekitar 20 peratus makanan laut segar yang ditangkap di laut.

Baki 80 peratus lagi makanan lautnya dibekalkan dari ladang ternakan dan dihantar hidup-hidup secara langsung ke Singapura. Lantas beliau kurang terjejas oleh cuaca buruk.

Encik Kenny Chua, pengarah Hup Peng Trading, menambah kesan cuaca buruk terhadap bekalan makanan laut biasanya bermula pada bulan November, apabila musim tengkujuh biasanya bermula.

Tetapi bekalan mula berkurangan pada Oktober tahun ini - sebulan lebih awal.

Selain cuaca buruk, kenaikan kos petrol di Malaysia, Indonesia dan Thailand juga menyumbang kepada pengurangan bekalan kerana nelayan mendapati ia tidak berbaloi untuk membelanjakan banyak petrol untuk bot mereka.

“Saya rasa penggunaan petrol sangat tinggi untuk mereka. Sesetengah daripada mereka kemudiannya menganggap ia tidak berbaloi dan berhenti melakukannya,” kata Encik Chua.

Beliau menambah bahawa daripada tiga pembekalnya dari Indonesia, dua telah berhenti menyediakan makanan laut atas sebab itu

Encik Chua berkata masalah tersebut bermula empat hingga lima bulan lalu dan ditambah dengan faktor lain seperti cuaca buruk, bekalan makanan laut telah menurun sebanyak 60 peratus.

Akibatnya, pembekal Encik Chua menaikkan harga mereka sekitar 30 peratus.

Tambahnya, beliau juga terpaksa menaikkan harganya kepada restoran dan gerai runcit sebanyak 15 peratus.

Sebagai contoh, beliau menaikkan harga kerapu merah kepada S$26 hingga S$28 sekilogram S$24 pada bulan lepas.

Harga dijangka meningkat lebih tinggi menjelang Tahun Baru Cina yang jatuh pada 22 Jan 2023.

Encik Chua menjangkakan harga makanan laut yang dikenakan oleh pembekal akan meningkat lebih daripada 20 peratus.

Syarikat itu mengimport makanan laut beku seperti udang, sotong dan ikan dari Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Cik Rachel Chia, pengasas bersama Guang’s Fresh Mart, juga menyaksikan penurunan dalam bekalan makanan laut seperti ikan merah dan sotong, dalam tempoh dua bulan lalu, dengan keadaan semakin teruk sejak dua minggu lalu.

“Sebelum ini, terdapat bekalan udang harimau setiap hari, tetapi pada masa kini kami mungkin hanya melihat tiga hingga empat hari dengan udang harimau segar yang ditangkap pada hari yang sama,” katanya.

Firma Cik Chia menjual makanan laut kepada kedua-dua perniagaan dan pelanggan runcit.

Kebanyakan pembekalnya dari Malaysia dan Indonesia.

Beliau menambah: “Kami baru mendapat berita pagi ini bahawa kawasan di mana nelayan kami mendapat bekalan bawal hitam sejak lima tahun lalu kehabisan bawal hitam.

"Saya tidak pasti sama ada ia disebakan kegiatan memancing berlebihan atau perubahan pasang surut, tetapi ia mungkin campuran kedua-duanya," katanya.

Buat masa ini, Cik Chia berkata syarikatnya sedang menyerap kenaikan kos, yang berkisar antara S$1 hingga S$3 sekilogram.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Persatuan Industri Makanan Laut berkata: "Menurut maklum balas ahli kami, pada masa ini tidak terdapat kekurangan bekalan makanan laut beku. Menyimpan stok adalah amalan biasa oleh mereka sebagai persediaan menghadapi permintaan pada musim perayaan.”
Sumber : Today/SU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan