Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Harga makanan kantin sekolah dijangka naik susuli semakan garis panduan MOE

Para pelajar di peringkat sekolah rendah, menengah dan maktab rendah mungkin akan mula membayar harga lebih tinggi bagi makanan di kantin sekolah.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Para pelajar di peringkat sekolah rendah, menengah dan maktab rendah mungkin akan mula membayar harga lebih tinggi bagi makanan di kantin sekolah.

Ini selepas Kementerian Pendidikan (MOE) baru-baru ini menyemak garis panduan harga di kantin sekolah.

Mediacorp difahamkan kali terakhir garis panduan itu disemak adalah pada 2018, dan bahawa kenaikan yang dibenarkan di bawah garis panduan baru itu adalah kurang $1 bagi semua peringkat sekolah rendah, menengah dan maktab rendah.

Sebagai memberi respons kepada pertanyaan Mediacorp, MOE pada Jumaat (1 Jul) menyatakan: "Dengan kenaikan kos bekalan makanan, MOE baru-baru ini menyemak garis panduan harga di kantin sekolah bagi memberi panduan kepada sekolah-sekolah dalam semakan tetap harga makanan kantin.

Para pegerai kantin yang merasakan bahawa harga makanan mereka tidak dapat dikekalkan boleh menghampiri pihak sekolah dengan usulan dan sekolah tersebut akan menilai permintaan sedemikian selaras dengan garis panduan tersebut.

Garis panduan harga dilaksanakan bagi memastikan makanan kantin sekolah boleh dimampui para pelajar, di samping memberi para pegerai pendapatan yang mencukupi untuk mengekalkan perniagaan mereka, menurut kementerian itu.

"Sekolah-sekolah digalakkan menyesuaikan harga makanan kantin mereka secara tetap bagi mencerminkan kos barangan makanan sambil memastikan makanan terus dimampui para pelajar."

Bagi keluarga-keluarga memerlukan, "banyak subsidi" akan diberikan melalui MOE atau sokongan berlandaskan sekolah bagi memastikan makanan dapat terus dimampui para pelajar, jelas MOE.

Mediacorp sudahpun bertanya kepada MOE bagi mengesahkan bahawa semakan terakhir garis pandu adalah pada 2018.

Empat pegerai kantin yang ditemui Mediacorp menarik perhatian kepada harga lebih tinggi yang perlu dibayar bagi bahan-bahan makanan. Bagaimanapun, sebilangan pegerai belum menerima berita mengenai garis panduan yang disemak itu.

Cik Rosemee, yang mengendalikan gerai makanan Barat di sebuah sekolah menengah di Sembawang, berkata beliau belum dimaklumkan tentang garis panduan yang disemak itu.

Wanita 55 tahun itu sudah membuka gerai sejak sembilan tahun lalu. Beliau berkata harga bekalan makanan mula meningkat sejak pandemik melanda.

Sebungkus ayam beku kini berharga S$5.40, naik dari S$4 tahun lalu. Harga keju juga melonjak, dengan bungkusan 2kg keju mozzarella kini berharga S$24, berbanding S$18 tahun lalu.

Beliau menambah selepas "merayu bagi sedikit kenaikan harga" sekolah itu membenarkan kenaikan 10 sen bagi hidangan yang mengandungi keju pada bulan Mei, meskipun ini masih belum dapat menggantikan kos yang kian meningkat.

"Tiada keuntungan. Apa yang saya jana sekarang cukup-cukup untuk membayar gaji saya dan pembantu saya, saya tidak ada simpanan yang banyak," kata Cik Rosemee.

Keprihatinan beliau turut dikongsi para pegerai Roszini dan Siti. Kedua-dua mereka memberitahu Mediacorp bahawa sekolah-sekolah mereka membenarkan mereka menyerahkan dokumen bagi menyesuaikan harga makanan dan minuman, dan bahawa mereka bercadang untuk berbuat demikian.

"Saya merancang menaikkan harga makanan 20 hingga 30 sen, cukup untuk keuntungan saya," kata Cik Siti.

Burger jualannya kini ditetapkan pada harga S$2.

Wanita 40 tahun itu mengendalikan gerai snek menjual roti sandwic dan burger di sebuah sekolah menengah di Bukit Batok selama 13 tahun. Kali terakhir beliau perlu menaikkan harga adalah tujuh tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau tidak berhasrat menaikkan lagi harga kerana prihatin tentang para pelajar yang mungkin kurang bernasib baik.

Begitu juga bagi, Roszini, pegerai berusia 39 tahun yang berhasrat meminta izin sekolahnya untuk menaikkan harga sebanyak 30 sen hingga 50 sen. Beliau mengendalikan gerai nasi ayam di Sekolah Anglo-Chinese di Barker Road.

"Saya perlu mengikut perkembangan kos. Walaupun kami mahu mengekalkan harga rendah bagi para pelajar, kami juga harus bertakat."

Beliau menambah kos minyak masak sebanyak 17 liter kini naik seganda kepada S$60, berbanding tahun lalu.
Sumber : Today/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan