Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Harga lebih tinggi bagi bilik hotel cerminkan permintaan 'terpendam'

Anggaran Waktu Membaca:
Harga lebih tinggi bagi bilik hotel cerminkan permintaan 'terpendam'

Kawasan Orchard Road. (Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

SINGAPURA: Harga purata bagi bilik hotel di Singapura, yang melonjak paling tinggi dalam hampir sedekad, mencerminkan permintaan 'terpendam' untuk melancong disebabkan pandemik COVID-19. Sekalipun demikian, pilihan berpatutan masih disediakan, kata pakar industri kepada Mediacorp.

Lembaga Pelancongan Singapura (STB) mendedahkan data awal bulan ini, yang menunjukkan harga purata (tempahan) bilik melonjak kepada S$259 pada Julai. Jumlah tersebut merupakan yang tertinggi sejak September 2012, apabila harga purata (tempahan) bilik berada pada S$261.66, dan hampir 70 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu.

Menurut Perunding Pelancongan, Christopher Khoo, hotel di Singapura sedang menerima "banyak pertanyaan" daripada pelawat luar negara dan menyaksikan keadaan "terdesak" bagi bilik-bilik.

"Pasaran antarabangsa kita (sedang) dibuka semula dan sudah mula menawarkan tempahan lebih awal atau harga boleh runding...dan pihak pengurusan hotel mula berasa selesa meletakkan harga yang lebih tinggi," kata Encik Khoo, yang mengendalikan sebuah syarikat perundingan pelancongan MasterConsult Services.

"Pertanyaan demi pertanyaan yang diterima sekarang benar-benar mencerminkan permintaan terpendam sejak dua tahun lalu. "

Sektor korporat dan MICE (mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran) juga sedang membantu untuk memacu permintaan, kata seorang lagi pakar pelancongan, Dr Barkathunnisha Abu Baker.

Ini sebahagiannya disebabkan reputasi Singapura sebagai destinasi selamat di tengah-tengah pandemik, menurut Dr Barkathunnisha, yang juga merupakan pengasas Elevated Consultancy and Training.

"Orang ramai berasa mereka boleh mempercayai negara seperti Singapura dan maka itu, ia mendorong banyak permintaan," kata beliau.

Semua hotel yang dihubungi Mediacorp, mengesahkan bahawa terdapat permintaan yang kian meningkat bagi (tempahan) bilik.

Malah, Pan Pacific Hotels Group menyatakan bahawa penginapan di seluruh hotelnya sudah mencecah lebih 90 peratus, terutama sekali semasa musim cuti dan hujung minggu yang panjang.

"Dengan Singapura membuka perjalanan antarabangsa dan menerima jumlah lebih tinggi pelancong, permintaan sudah meningkat dan ia mempengaruhi harga."

Sehubungan itu, InterContinental Singapore juga menyatakan tempahan bagi bilik-biliknya juga sudah meningkat baru-baru ini, sekali gus menyebabkan harga purata harian lebih tinggi bagi (tempahan) bilik.

Kenaikan dalam jumlah permintaan sebahagiannya disebabkan oleh penyambungan semula acara-acara global seperti ekspo 'International Luxury Travel Market' awal bulan ini dan perlumbaan Formula One (F1) yang akan diadakan dalam masa terdekat, menurut Andreas Kraemer, pengurus besar hotel tersebut.

Para penganalisis juga menarik perhatian bahawa hotel-hotel sedang menaikkan harga (tempahan) bilik ekoran kos operasi yang lebih tinggi.

"Kos tenaga kerja disebabkan kekurangan tenaga kerja, kos tenaga, kos bekalan semuanya naik. Maka tidak dapat dielakkan untuk hotel-hotel menaikkan harga mereka," kata Pensyarah Kanan dalam Pelancongan di Politeknik Ngee Ann, Michael Chiam.

Berdasarkan perangkaan STB, kadar penginapan bagi hotel di Singapura secara purata berada pada 79.15 peratus pada Julai. Meskipun perangkaan tersebut merupakan yang tertinggi sejak Januari 2020, kadar penginapan tertinggi sejak sedekad lalu masih berada pada 93.19 peratus, yang dicatat pada Jun 2019.

Meskipun harga lebih tinggi bagi (tempahan) bilik hotel, masih terdapat tawaran berpatutan dan murah untuk para penduduk tempatan, kata Encik Khoo.

Menurut Dr Chiam, segelintir daripada mereka akan terus memilih bercuti dalam negara atau 'staycation' daripada melancong ke luar negara.

"Sekurang-kurangnya bagi tahun ini, tidak semua yang akan ke luar negara untuk melancong. Hotel masih sedang berusaha sedaya upaya untuk memastikan penduduk tempatan tetap bercuti di Singapura bagi pakej-pakej 'staycation'. Maka itu, lihat di sekeliling anda...ada beberapa pakej penginapan menarik yang ditawarkan di pasaran."

Sementara itu, para pakar berbelah-bahagi tentang sama ada harga purata bilik hotel akan terus meningkat.

Dr Chiam berkata beliau percaya harga purata akan kekal stabil bagi bulan-bulan mendatang dan mungkin turun sedikit.

Sebaliknya, Dr Barkathunnisha berkata perjalanan dan pelancongan akan menjadi lebih mahal pada tahun 2023.

"Kapasiti tidak akan meningkat tetapi permintaan sebahagian besarnya akan melonjak," tambah beliau.

"2023 pasti akan menyaksikan harga terus meningkat."
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan