Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Harga kambing korban S'pura lebih rendah tahun ini?

Dengan tiada kambing korban diterbangkan ke Singapura tahun ini, adakah ini bermakna harganya akan jauh lebih rendah?

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Dengan tiada kambing korban diterbangkan ke Singapura tahun ini, adakah ini bermakna harganya akan jauh lebih rendah?

Ini kerana tiada kos tempahan pesawat dan kos-kos yang berkaitan dengan pengangkutan kambing-kambing itu ke Singapura.

Harga kambing-kambing korban yang diimport dari Australia ke Singapura bagi musim Aidiladha tahun lalu adalah S$480 seekor.

Menjawab pertanyaan kami itu mengenai kemungkinan penurunan harga kambing tahun ini, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) hari ini (10 Jun) menyatakan ia belum dapat mengulas mengenainya.

Menurut MUIS, pihaknya dan Jawatankuasa Korban Masjid-Masjid Singapura (JKMS) sedang menjalankan proses bagi pemerolehan kambing-kambing korban itu dan ia "masih di fasa awal perancangan".

Ia juga hanya dapat memberikan "komen apabila perinciannya sudah ditetapkan berhubung pembekal dan masjid-masjid yang dipilih" untuk menjalankan ibadah korban.

PERINCIAN TEMPAH KORBAN PADA PENGHUJUNG JUN

Dua hari lalu MUIS menyatakan perincian mengenai pendaftaran atau tempahan kambing bagi ibadah korban hanya akan didedahkan menjelang hujung bulan ini.

Ini menyusuli keputusannya tidak mengimport kambing-kambing korban ke Singapura ekoran situasi COVID-19.

Sebaliknya, upacara korban bagi masjid-masjid Singapura akan dijalankan di Australia dan dagingnya dikirimkan ke negara ini selepas itu.

Tahun lalu, sebanyak 3,700 kambing diterbangkan ke Singapura bagi ibadah korban iaitu jumlah yang sama seperti tahun 2018.

Sebanyak 26 masjid setempat serta beberapa badan Melayu/Islam seperti Persatuan Muhammadiyah menjalankan ibadah itu di sini.

Muhammadiyah, misalnya, mengimport kira-kira 80 ekor kambing ke Singapura saban tahun, namun kali ini terpaksa mencari alternatif lain.

"Sebagai alternatif dalam situasi ini ialah untuk menjalankan ibadah korban di luar negara, khususnya di Australia dan juga kemungkinan besar di Indonesia di mana kami lihat ada keperluan untuk diagihkan di sana. Ini merupakan salah satu usaha kami untuk memastikan syiar ibadah korban ini dapat terus dilaksanakan walau kita berada di lokasi yang lain," Presiden Muhammadiyah, Ustaz Azri Azman memberitahu BERITAmediacorp.

Ustaz Azri menambah, Persatuan Muhammadiyah memang berharap dapat membawa pulang daging korban ke Singapura untuk diagihkan kepada golongan fakir miskin di sini.

Namun menurut beliau badan itu belum membuat keputusan muktamad sama ada akan membawa pulang ke Singapura daging-daging korban yang dilakukan di luar negara.

Jika berdasarkan garis masa tahun sebelum ini, perincian lanjut mengenai pembekal, harga kambing dan tarikh pendaftaran lazimnya diumumkan sekitar sebulan setengah sebelum Hari Raya Haji.

Aidiladha di Singapura tahun ini dijangka jatuh pada tanggal 31 Julai.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan