Harga jualan semula HDB naik 3% pada suku kedua; peningkatan 5 suku berturut-turut
Harga jualan semula bagi pasaran perumahan awam naik tiga peratus pada suku kedua 2021 berbanding suku sebelumnya, menurut data Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Jumaat (23 Jul).

Gambar: Jeremy Long
SINGAPURA: Harga jualan semula bagi pasaran perumahan awam naik tiga peratus pada suku kedua 2021 berbanding suku sebelumnya, menurut data Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Jumaat (23 Jul).
Peningkatan itu tinggi sedikit berbanding kenaikan 2.8 peratus yang dianggarkan dalam ramalan awal yang dikeluarkan oleh HDB pada awal bulan ini. Ia juga merupakan suku kelima berturut-turut harga jualan semula meningkat di tengah-tengah pandemik COVID-19.
Indeks harga jualan semula bagi suku yang berakhir pada 30 Jun mencecah 146.4, semakin menghampiri paras tertinggi 149.4 yang pernah dicatatkan pada suku kedua 2013.
Indeks tersebut memberikan maklumat tentang naik turun harga secara amnya bagi pasaran jualan semula perumahan awam.
Jumlah urus niaga dalam suku kedua tahun ini pula jatuh 6.8 peratus berbanding suku sebelumnya, dari 7,581 kepada 7,063.
Berbanding suku kedua tahun lalu, urus niaga jualan semula pada suku kedua 2021 melonjak 106.2 peratus.
FLAT BTO BARU
Pada Ogos, HDB akan menawarkan sekitar 4,900 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di Hougang, Jurong East, Kallang Whampoa, Queenstown dan Tampines.
Ia akan disusuli dengan sekitar 3,100 hingga 3,600 flat BTO pada November di Chua Chu Kang, Hougang, Jurong West, Kallang Whampoa dan Tengah.
"Sedang pandemik COVID-19 kian berubah-ubah, HDB akan terus memantau keadaan dan akan membuat penyesuaian yang sewajarnya," menurut agensi itu.
Banyak projek BTO dijangka dilengahkan disebabkan oleh langkah-langkah kawalan sempadan COVID-19 lebih ketat yang menjejas sektor binaan.
HDB menyatakan pada Mei lalu bahawa penangguhan enam hingga sembilan bulan yang diumumkan sebelum ini mungkin dilanjutkan selama lagi tiga bulan atau lebih "bergantung kepada berapa lama situasi berlarutan selain sebarang keadaan lain yang tidak dijangkakan".
Agensi itu menambah bahawa ia sedang bekerja rapat dengan pelbagai agensi berhubung "langkah-langkah bagi menyingkatkan kelengahan".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.