Skip to main content

Singapura

Harga jualan semula HDB naik 2.8% dalam suku pertama: Anggaran awal

Harga jualan semula di pasaran perumahan awam meningkat 2.8 peratus pada suku pertama 2021, menurut anggaran awal yang dikeluarkan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Khamis (1 April).

Anggaran Waktu Membaca:
Harga jualan semula HDB naik 2.8% dalam suku pertama: Anggaran awal

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 01 Apr 2021 11:39AM Dikemas Kini : 01 Apr 2021 11:44AM

SINGAPURA: Harga jualan semula di pasaran perumahan awam meningkat 2.8 peratus pada suku pertama 2021, menurut anggaran awal yang dikeluarkan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Khamis (1 April).

Indeks harga jualan semula, yang menyediakan maklumat mengenai pergerakan harga umum di pasaran perumahan awam jualan semula, naik dari 138.1 kepada 142.0, menurut anggaran HDB.

Ini setelah harga pada suku keempat 2020 naik 3.1 peratus berbanding suku sebelumnya. Harga pada suku ketiga 2020 naik 1.5 peratus.

Kadar pelaksanaan vaksinasi COVID-19 dan keberkesanan vaksin "lebih baik daripada dijangkakan" dan ini membawa kepada ledakan hartanah dalam beberapa bulan kebelakangan ini di banyak negara, kata naib presiden kanan penyelidikan dan analitik OrangeTee & Tie, Christine Sun.

Harga kini semakin menghampiri kemuncak yang dicatat pada suku kedua 2013, kata Cik Sun. Beliau menambah, pada kadar pertumbuhan harga sekarang, "kemuncak baru mungkin dicatat pada separuh kedua tahun ini".

"Tahun ini mungkin akan menyaksikan rekod baru jumlah penjualan flat bernilai jutaan dolar," kata Cik Sun.

Secara keseluruhan 53 flat jualan semula terjual pada harga sekurang-kurangnya S$1 juta pada suku lalu, iaitu jualan suku tahunan yang tertinggi sejak 1990, tambahnya.

"Jumlah urus niaga flat bernilai jutaan dolar tahun ini berkemungkinan akan mengatasi rekod jualan yang dicatatkan pada 2020 (82 unit)," kata Cik Sun.

Trend meningkat ini kemungkinan besar disebabkan pembeli yang mahu membayar harga lebih tinggi untuk flat jualan semula di "lokasi popular" seperti di estet matang, atau berhampiran sekolah rendah popular, stesen MRT dan pusat beli-belah, kata Cik Sun.

"Para pembeli ini mungkin berpindah dari hartanah privet atau bekas pemilik rumah en bloc yang masih mencari rumah pengganti yang besar dan dimampui."

Beliau menambah: "Jangkaan penjual mungkin terus meningkat dalam beberapa bulan mendatang dan beberapa penjual mungkin meminta harga lebih tinggi."

Data perumahan yang lebih terperinci akan dikeluarkan bersama dengan indeks harga jualan semula untuk suku penuh pada 23 April, kata HDB.

SEKITAR 8,700 FLAT BTO DITAWARKAN TAHUN INI

HDB mengumumkan pada Isnin bahawa pihaknya akan menawarkan sekitar 8,700 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) tahun ini.

"Memandangkan ketidaktentuan ekonomi akibat COVID-19, HDB sedang memantau pasaran perumahan dengan teliti dan akan menyesuaikan bekalan jika perlu," kata lembaga itu.

Pada Mei, HDB akan menawarkan sekitar 3,800 flat BTO di Bukit Merah, Geylang, Tengah dan Woodlands manakala lagi 4,900 flat BTO akan ditawarkan pada Ogos di Hougang, Jurong East, Kallang Whampoa, Queenstown dan Tampines.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita