Skip to main content

Singapura

Harga import sayur dari M'sia naik, penjual tempatan beralih ke sumber lain

Dengan banjir di Johor menjejas harga hasil tanaman di Malaysia, para penjual sayur-sayuran di Singapura terpaksa bergantung kepada sumber lain sementara menunggu keadaan cuaca buruk reda di sana.

Anggaran Waktu Membaca:
Harga import sayur dari M'sia naik, penjual tempatan beralih ke sumber lain

(Gambar: CNA)

Diterbitkan : 08 Mar 2023 08:24PM

SINGAPURA: Dengan banjir di Johor menjejas harga hasil tanaman di Malaysia, para penjual sayur-sayuran di Singapura terpaksa bergantung kepada sumber lain sementara menunggu keadaan cuaca buruk reda di sana.

Beberapa pemilik gerai pasar basah yang ditemui Mediacorp pada Selasa (7 Mac) berkata para pembekal Malaysia bukan sahaja menaikkan harga, tetapi jumlah bekalan yang ada juga merosot disebabkan oleh cuaca buruk.

Encik Ng, yang hanya mahu dikenali menerusi nama keluarganya, belum lagi menaikkan harga bagi sayur-sayuran yang diperolehi dari Malaysia. Ini meskipun para pembekalnya sudah menaikkan harga, malah sehingga seganda berbanding harga biasa bagi sesetengah barang.

"Bekalan sangat kurang dan sayur-sayuran yang dibawa masuk pula bukan dalam keadaan baik disebabkan cuaca buruk," kata Encik Ng, yang menguruskan sebuah gerai di Pusat Makanan dan Pasar Clementi 448. Beliau menambah bahawa beliau keberatan untuk menjual sayur-sayuran yang dalam keadaan kurang baik.

Daripada menaikkan harga, beliau sebaliknya memutuskan untuk mengurangkan penjualan sayur-sayuran yang diimport dari Malaysia dan memilih untuk mendapatkan sayur-sayuran dari negara lain.

Malaysia merupakan sumber utama bagi sayur-sayuran di Singapura. Negeri selatan Johor terjejas teruk oleh banjir, dengan lebih 50,000 orang terpaksa dipindahkan dari rumah masing-masing.

Gerai Lam's Vegetables di Clementi pula masih menjual sayur-sayuran yang diimport dari Melaka dan Cameron Highlands. Namun, ia juga memilih untuk mengurangkan bekalan sayur-sayuran dari Malaysia sejak para pembekal menaikkan harga.

Menurut pengendali gerai Encik Lam, beliau belum lagi menaikkan harga dan meramalkan bahawa cuaca buruk itu akan menjejas sayur-sayuran yang diimport dari Malaysia sehingga April.

"Mereka tidaklah menaikkan harga dengan begitu banyak. Keadaan ekonomi kini teruk, jika anda menaikkan harga terlalu banyak, para pelanggan tidak akan membeli bekalan mereka," katanya kepada Mediacorp.

"Disebabkan semua ladang terjejas banjir, mereka tidak dapat menuai. Mereka perlu mulakan semula dan kemudian mungkin bekalan baru akan datang pada April."

Beliau memilih untuk membeli lebih banyak sayur-sayuran dari China atau Thailand. Pada hari biasa, sekitar 50 peratus daripada sayur-sayuran yang dijual di kedainya diimport dari Malaysia.

"Tidak banyak bekalan yang masuk dari Malaysia, jadi tidak banyak untuk dibeli. Harganya berubah setiap hari, jadi sukar untuk katakan berapa banyak harga naik," katanya.

Rangkaian terbesar pasar raya di Singapura, NTUC FairPrice juga tidak merancang untuk menaikkan harga sayur-sayuran pada ketika ini, kata seorang jurucakap dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp mengenai kesan banjir di Johor.

"Kami harap dapat mengekalkan harga sayur-sayuran yang kerap dimakan di Singapura. Sepanjang beberapa tahun, kami menjalin hubungan erat dengan para pembekal yang sebaliknya mengutamakan bekalan mereka kepada kumpulan ini," kata jurucakap itu.

"Memandangkan sayur-sayuran merupakan makanan tetap dalam diet kita, kami harap dapat pastikan ia kekal dimampui dan tersedia kepada isi-isi rumah."

Selain hasil tanaman tempatan, FairPrice mengimport sayur-sayuran daripada lebih 15 pasaran untuk mempelbagaikan sumber dan memastikan ketersediaannya, kata jurucakapnya.

MEMPERTINGKAT PENGHASILAN TEMPATAN

Pada Ahad (5 Mac), Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu menggesa para pengguna supaya membeli produk makanan yang dihasilkan dalam negara seberapa mungkin, sambil menarik perhatian kepada kesan banjir terhadap Malaysia.

"Harga sayur-sayuran di Malaysia mungkin terus meningkat, dan kita mungkin akan merasakan kesannya," katanya dalam satu catatan Facebook.

"Kami sudah bekerjasama dengan industri agrimakanan untuk mempertingkatkan pengeluaran makanan tempatan, namun para pengguna yang memainkan peranan mereka untuk menyokong pengeluaran tempatan juga adalah penting.

"Ini bantu memastikan para petani tempatan dapat terus bertakat dalam perniagaan ini dan menggalakkan mereka untuk menghasilkan lebih banyak tanaman, yang membantu mengurangkan kesan kejutan bekalan pada masa hadapan."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita