Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Harga ikan naik 20%, mungkin naik lagi 20% pada musim monsun kelak

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Sep 2022 06:37PM Dikemas Kini : 20 Sep 2022 08:50PM
SINGAPURA: Kos api air dan tenaga manusia yang lebih tinggi, kini membuatkan harga ikan segar dari Malaysia dan Indonesia meningkat sekitar 20 peratus tahun ini.

Dengan musim monsun bakal menjelang, harga ikan mungkin naik lagi 20 peratus.

Malah para peniaga ikan memberitahu Mediacorp, harga lebih mahal itu mungkin kekal sehingga Tahun Baru Cina tahun depan.

Ikan tenggiri berharga antara S$20 hingga S$25 sekilo. Ini jauh lebih tinggi berbanding kurang S$5 sekilo dua bulan lalu.

Namun ini tidak bermakna untung lebih tinggi bagi para penjual ikan. Peniaga ikan memberitahu Mediacorp, dek harga lebih mahal, pelanggannya merosot antara 5 hingga 10 peratus.

Pelanggan katanya kini juga tidak membeli ikan dengan jumlah yang banyak.

Peniaga tersebut malah berkata, sejak akhir-akhir ini, ikan-ikan jualannya masih berbaki 10 peratus pada 7 malam, sedangkan sebelum ini semua ikannya habis terjual antara 4 petang hingga 5 petang.

Harga ikan segar naik sekitar 20 peratus sejak permulaan tahun ini disebabkan isu seperti kenaikan harga minyak, kekurangan tenaga manusia dan bekalan yang berkurangan.

Di Pasar Geylang Serai pula, para peniaga didapati lebih menumpukan tempahan kepada jenis ikan segar lebih murah seperti ikan kembong berbanding ikan merah yang lebih mahal.

Menurut mereka, jika musim hujan berterusan, harga ikan segar mungkin naik lagi 10 hingga 15 peratus dalam tempoh dua bulan akan datang.

Persatuan Peniaga Ikan Punggol pula menyatakan bahawa musim monsun yang akan datang dijangka menaikkan lagi harga ikan dengan sebanyak 20 peratus.

Mentelah lagi, langkah pemerintah Indonesia mengurangkan subsidi bahan bakar membuat para pembekal mengubah harga mereka.

Namun demikian, ia menyatakan dolar Singapura yang lebih kukuh dijangka dapat membantu menyerap sebahagian kesan kenaikan harga ikan segar.
Sumber : CNA/RU/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan