Skip to main content

Singapura

Harga hartanah privet naik 0.9 peratus pada suku ketiga 2021

Harga rumah privet di Singapura naik 0.9 peratus pada suku ketiga 2021 berbanding suku sebelumnya, menurut unjuran awal yang dkeluarkan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Jumaat (1 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Harga hartanah privet naik 0.9 peratus pada suku ketiga 2021

Apartmen di Singapura. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 01 Oct 2021 12:27PM Dikemas Kini : 01 Oct 2021 12:30PM

SINGAPURA: Harga rumah privet di Singapura naik 0.9 peratus pada suku ketiga 2021 berbanding suku sebelumnya, menurut unjuran awal yang dkeluarkan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Jumaat (1 Okt).

Indeks hartanah perumahan privet tumbuh 1.5 mata dari 163.5 mata pada suku kedua kepada 165.0 mata pada suku ketiga.

"Ini membentuk peningkatan 0.9 peratus berbanding kenaikan 0.8 peratus pada suku sebelumnya," menurut URA.

Harga hartanah kediaman privet tidak berhalaman di Kawasan Tengah Utama (CCR) jatuh 0.6 peratus berbanding pertumbuhan sebanyak 1.1 peratus pada suku sebelumnya.

Namun harga di Baki Kawasan Tengah (RCR) naik 2.2 peratus berbanding 0.1 peratus yang dicatat pada suku sebelumnya. Harga di Luar Kawasan Tengah (OCR) pula merosot 0.2 peratus berbanding 1.9 peratus pada suku sebelumnya.

Bagi hartanah berhalaman, harga meningkat 2.5 peratus pada suku ketiga selepas menguncup 0.3 peratus pada suku sebelumnya.

Ini merupakan suku keenam berturut-turut harga meningkat, kata Cik Christine Sun, naib presiden kanan bahagian kajian dan analisis di OrangeTee. Berbanding tahun sebelumnya, harga naik 7.3 peratus.

Harga rumah meningkat pada "rentak sederhana" pada suku sebelum ini disebabkan sekatan lebih ketat pada Julai dan Ogos, jelas Cik Sun. Jumlah rumah dalam pasaran jualan semula dan pasaran massa juga membentuk bahagian besar daripada jualan keseluruhan suku yang lalu.

"Rumah-rumah sedemikian lumrahnya dijual pada harga lebih rendah berbanding segmen pasaran yang lain, lantas mengurangkan harga purata bagi pasaran itu secara keseluruhannya," tambah beliau.

Urus niaga penjualan semula membentuk lebih separuh daripada hartanah yang bertukar tangan pada suku sebelum ini, dedah Cik Sun sambil menambah bahawa lebih banyak urus niaga penjualan semula berbanding penjualan rumah baru disaksikan di ketiga-tiga segmen pasaran.

"Oleh sebab rumah jualan semula membentuk bahagian lebih besar urus niaga suku yang lalu, indeks harga secara keseluruhannya mungkin 'ditarik ke bawah' oleh harga penjualan lebih rendah," kata beliau.

Pasaran rumah privet juga terjejas oleh sekatan COVID-19 lebih ketat pada Julai dan Ogos disebabkan sekatan dikenakan ke atas pameran rumah. Selain itu, pelancaran baru juga lebih rendah dan jualan kurang rancak sewaktu bulan ketujuh kalender Cina.

HARGA MUNGKIN NAIK PADA SUKU TERAKHIR

Menurut penganalisis, harga hartanah privet dijangka meningkat pada 2021.

Cik Sun berkata harga diramal terus naik pada suku terakhir 2021 sedang beberapa projek perumahan mewah baru dijangka dilancarkan dalam bulan-bulan mendatang.

Pasaran rumah mewah mungkin mendapat rangsangan apabila lebih banyak Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) dibuka dan pelawat luar negara boleh datang ke Singapura, kata Encik Mark Yip, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Huttons Asia.

Hartanah jualan semula mungkin terus menyaksikan permintaan tinggi, ramal Cik Sun.

"Sebilangan pemilik HDB yang sudah menjual flat mereka mungkin mahu naik taraf dan membeli rumah privet manakala yang lain mungkin beralih ke pasaran penjualan semula untuk membeli rumah yang sudah siap disebabkan kelengahan kerja-kerja binaan rumah baru," ujar beliau.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita