Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Harga hartanah dekat stesen baru MRT Laluan Rentas Pulau dijangka naik

Kondominium-kondominium lebih lama berhampiran stesen-stesen baru MRT Laluan Rentas Pulau kini mungkin berpotensi en bloc yang lebih tinggi, menurut pakar analisis hartanah.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Lagi enam stesen MRT yang akan siap dibina di Laluan Rentas Pulau (CRL) dijangka meningkatkan harga hartanah di kawasan-kawasan itu manakala kondominium-kondominium lebih lama kini mungkin akan ada potensi en bloc yang lebih tinggi, menurut penganalisis hartanah.

Menteri Pengangkutan S Iswaran mengumumkan pada Selasa (20 Sep) bahawa enam stesen baru - Turf City, King Albert Park, Maju, Clementi, West Coast dan Jurong Lake District (Daerah Tasik Jurong) - akan membentuk Fasa 2 Laluan Rentas Pulau.

Pembinaan itu dijangka bermula tahun depan dan stesen-stesen itu akan dibuka menjelang 2032. Sebaik sahaja siap dibina, ia dijangka memberi manfaat kepada sekitar 40,000 isi rumah yang tinggal di kawasan-kawasan itu.

Para penganalisis hartanah yang ditemui Mediacorp berkata pengumuman itu dijangka menaikkan harga hartanah rumah-rumah privet berhampiran stesen-stesen baru itu manakala kondominium-kondominium lebih lama mungkin juga dapat menyaksikan potensi en bloc yang lebih tinggi.

Cik Christine Sun, naib presiden kanan kajian dan analitik di OrangeTee & Tie berkata pengumuman itu akan memberi para pembeli garis masa yang lebih kukuh tentang bila stesen-stesen itu dijangka siap, yang akan membantu mereka membuat keputusan yang lebih berhemah.

"Harga sebilangan kondo berhampiran stesen MRT juga mungkin naik apabila stesen-stesen MRT itu siap dibina. Ini kerana nilai projek itu ditingkatkan apabila rumah-rumah itu disewakan bagi pendapatan sewa pada masa akan datang dan projek-projek berhampiran stesen-stesen MRT biasanya popular dalam kalangan penyewa," dedahnya.

Encik Lee Sze Teck, pengarah kanan bagi kajian di Huttons Asia menganggarkan kawasan King Albert Park, Clementi dan West Coast akan menyaksikan sedikit peningkatan harga sehingga tiga peratus dan lebih banyak keuntungan harga sehingga lima peratus apabila stesen-stesen itu siap dibina pada 2032.

Beliau menarik perhatian enam stesen itu dirancang sama ada di kawasan perumahan masa depan atau di kawasan sedia ada dengan jumlah tinggi trafik.

Sepanjang 15km, enam stesen itu akan meningkatkan keterhubungan bagi para penduduk di bahagian barat, termasuk di kawasan seperti Sunset Way dan West Coast yang belum lagi mempunyai khidmat laluan MRT, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Selasa.

Dua daripada stesen itu akan dijadikan pusat pertukaran , dengan King Albert Park dihubungkan dengan Laluan Downtown manakala Clementi akan dihubungkan dengan Laluan Timur-Barat.

Membina stesen MRT di Turf City juga tidak mengejutkan memandangkan kawasan itu sudahpun dikenal pasti sebagai kawasan perumahan masa depan, kata Encik Lee, sambil menambah tanah di Turf City mungkin ditawarkan untuk dijual seawal 2026 dan 2027.

Mereka yang tinggal di bahagian timur dan timur laut akan meraih paling banyak manfaat menyusuli pelancaran stesen-stesen baru MRT itu, kata Cik Sun.

"Terdapat agak banyak kondo baru dan perumahan awam dibina di Hougang, Ang Mo Kio, Tampines dan Pasir Ris. Oleh itu, adalah perlu untuk meningkatkan keterhubungannya dengan bahagian lain pulau ini," kata beliau.

Laluan Rentas Pulau adalah laluan MRT kelapan Singapura dan laluan bawah tanah sepenuhnya yang terpanjang sejauh 50km. Ia akan dibina melalui tiga fasa.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan