Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Harga gerai Bazar Geylang catat rekod tertinggi - $20,000 bagi gerai 3x3 meter

Sekitar 80 peratus kedai di bazar Geylang Serai tahun ini sudah ditempah untuk disewa.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Sekitar 80 peratus kedai di bazar Geylang Serai tahun ini sudah ditempah untuk disewa.

BERITAMediacorp diberitahu bahawa harga tertinggi bagi sebuah lot gerai tahun ini mencatat paras rekod, iaitu $20,000, berbanding $18,000 pada tahun lalu.

Pendeknya, perkembangan ini meneruskan trend yang masih tidak berubah berhubung bazar Geylang Serai - iaitu trend harga sewa yang terus naik saban tahun.

Seorang peniaga memberitahu kami bahawa harga sewa paling mahal bagi sebuah plot gerai tahun ini adalah $20,000 dan harga terendah pula $4,000.

Ini berbanding harga antara $3,000 dengan $18,000 pada tahun lalu, bagi plot lazim berukuran kira-kira 3 meter kali 3 meter.

Trend kenaikan harga sewa ini dirasai peniaga seperti Cik Nurlida Yusof yang tiga tahun lalu membayar $15,000 untuk tiga gerai di bazar Geylang ini.

Namun tahun ini beliau perlu mengeluarkan sekitar $30,000 untuk tiga gerai dan ini belum termasuk kos lain.

"Kami menanggung kos pekerja, dekorasi gerai dan lain-lain juga dan pada pendapat saya, peniaga harus membuat kiraan dan juga jangkauan yang tepat jadi tidak akan menjejas perniagaan mereka selepas Ramadan," kongsinya yang juga pemilik dan pereka Adrianna Yariqa.

Lantaran itu, Cik Nurlida akan juga menumpukan pemasaran melalui wadah digital dan memulakan penjualan koleksi Hari Raya dengan lebih awal.

Beliau turut berharap agar trend kadar sewa yang naik setiap tahun dapat dihadkan.

Ini kerana jika adanya had kepada harga-harga gerai, syarikat-syarikat kecil dan juga yang sudah ada nama dapat membuka sebuah gerai di bazar pada bulan Ramadan untuk memberi khidmat kepada para pelanggan masing-masing, jelas Cik Nurlida.

HARGA DITENTUKAN KONTRAKTOR YANG MENANG TENDER

Yang pasti, harga gerai ditentukan oleh kontraktor individu yang memenangi tender. Dengan itu, para pengendali yang mendapatkan gerai di bawah kontraktor perlu menawarkan pelbagai khidmat bagi mendapatkan peniaga untuk menyewa dengan mereka.

Seperti pengendali bazar di kawasan pasar Geylang Serai, EnNiche Events, ia satu-satunya syarikat yang menawarkan khidmat kawalan keselamatan pada sebelah malam hingga pagi hari dalam pakej harga sewa mulai $4,000 hingga $6,000.

Ini membuat beberapa nama besar seperti penjual baju Hari Raya Malaysia, Jakel, menempah gerai di bawah mereka.

Pemilik EnNiche Events Mohamed Mustaffa Shah Jehan berkata: "Sepanjang tahun-tahun kebelakangan ini tender Bazar Ramadan 10-15 tahun lepas serendah $300,000. Tahun ini setinggi hampir $3 juta untuk seluruh Bazar Geylang.

"Para peniaga yang ambil satu gerai sehingga $18,000 misalnya jualan kebab tidak termasuk bekalan elektrik. Bekalan Elektrik boleh jejak $10,000. Jadi $10,000 tambah $18,000, $28,000 untuk kos ruang saja."

Ketua Pegawai Eksekutif Orange Events & Media Encik Shah Ibrahim akur bahawa harga adalah satu faktor yang penting.

"Tetapi juga mungkin dalam setiap tender itu akan dinilaikan juga, diambil kira apakah agaknya kelainan-kelainan suntikan kesegaran ke dalam bazar ini agar ia dapat lebih dimartabatkan dan tidak tinggal sekadar pasar malam biasa sahaja," kata Encik Shah.

Lantaran itu, Orange Events & Media selaku pemain baru yang mengendalikan bazar Wisma Geylang Serai, berkongsi bahawa buat pertama kalinya sebuah ruang berbuka puasa buat sekitar 200 orang akan ia sediakan.

Antara kelainan yang bakal dinikmati orang ramai di bazar Wisma Geylang Serai yang baru termasuklah 'Bintang Walk', Lorong Kuih-Muih, Zon Antarabangsa dan penggunaan teknologi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan