Skip to main content

Singapura

Harga flat jualan semula HDB, rumah privet naik lebih perlahan pada suku ke-3 2022

Anggaran Waktu Membaca:
Harga flat jualan semula HDB, rumah privet naik lebih perlahan pada suku ke-3 2022

Gambar fail bangunan HDB Singapura dan kediaman.

Diterbitkan : 03 Oct 2022 12:54PM Dikemas Kini : 03 Oct 2022 01:01PM
SINGAPURA: Harga bagi flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan hartanah kediaman privet naik pada rentak lebih perlahan dalam suku ketiga tahun ini.

Demikian menurut ramalan awal yang didedahkan oleh HDB dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Isnin (3 Okt).

Harga flat jualan jualan HDB meningkat 2.4 peratus dalam suku ketiga berbanding 2.8 peratus pada suku kedua.

Indeks harga jualan semula flat, yang menyediakan maklumat mengenai naik turun harga dalam pasaran perumahan awam flat jualan semula, menokok dari 163.9 kepada 167.8, menurut unjuran tersebut.

Para penganalisis menjelaskan kenaikan harga secara lebih perlahan itu menandakan sektor perumahan sudah mula merasai kesan daripada kadar faedah dan inflasi yang semakin meningkat.

Harga flat jualan semula HDB turut dijangka menyederhana pada suku keempat berikutan satu siri langkah yang diumumkan baru-baru ini bagi meredakan pasaran hartanah.

Encik Lee Sze Teck, pengarah kanan penyelidikan di Huttons' Asia, berkata: "Pemilik hartanah privet kini perlu menjual hartanah persendirian mereka dan menunggu 15 bulan sebelum mereka boleh membeli flat jualan semula HDB."

"Ini secara berkesan menghentikan permintaan daripada pemilik hartanah privet dan bekas pemilik hartanah privet. Namun, ini hanya langkah sementara. Ia mungkin dikembalikan semula kepada dasar lama sebaik saja harga menjadi stabil... Sebilangan permintaan mungkin menjurus ke flat empat bilik sekali gus menaikkan harga," tambah beliau.
Sementara itu, harga rumah privet naik 3.4 peratus pada suku ketiga berbanding 3.5 peratus dalam suku sebelumnya.

Harga bagi rumah privet di Luar Kawasan Tengah (OCR) naik paling tinggi iaitu sebanyak 7 peratus berbanding peningkatan 2.1 peratus pada suku sebelumnya, menurut data URA.

Para penganalisis mengaitkan kenaikan mendadak itu kepada harga median yang kian meningkat bagi rumah tidak berhalaman yang baru.

URA akan mengeluarkan set penuh statistik hartanah yang dikemas kini untuk suku ketiga 2022 pada hujung bulan ini.

Dalam satu kemas kini mengenai pelancaran penjualan flat akan datang, HDB menyatakan ia akan menawarkan sekitar 9,500 flat BTO di kawasan seperti Bukit Batok, Kallang, Whampoa, Queenstown, Tengah dan Yishun pada November.

Pada Februari 2023 pula, sekitar 2,900 hingga 3,900 flat BTO di kawasan seperti Kallang Whampoa, Queenstown dan Tengah akan disediakan.

"Jumlah ini tertakluk kepada semakan sedang lebih banyak butiran projek akan dimuktamadkan menjelang tarikh pelancarannya kelak," tambah HDB.

HDB juga menyatakan ia akan melancarkan sehingga 23,000 flat baru pada 2023 dan sudah bersedia untuk melancarkan sehingga 100,000 flat secara keseluruhannya dari 2021 hingga 2025, jika perlu.

"HDB akan terus memantau permintaan bagi perumahan dan melakukan penyesuaian terhadap rancangan jika perlu."
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita