Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Harga flat jualan semula HDB, rumah privet naik lebih pantas pada suku kedua 2022

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Harga flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan rumah privet meningkat pada rentak yang lebih pantas pada suku kedua tahun ini.

Demikian menurut ramalan awal oleh HDB dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Jumaat (1 Jul).

Harga flat jualan semula HDB meningkat 2.6 peratus pada suku kedua berbanding 2.4 peratus pada suku pertama.

Indeks harga jualan semula, yang menyediakan maklumat mengenai naik turun harga dalam pasaran flat jualan semula, meningkat dari 159.5 kepada 163.7, menurut unjuran tersebut.

Sementara itu, harga rumah privet naik 3.2 peratus pada suku kedua, hampir lima kali ganda daripada kenaikan 0.7 peratus yang dicatatkan pada suku pertama.

FLAT BERNILAI SEJUTA DOLAR

Menurut para penganalisis, pertumbuhan harga yang berterusan dalam pasaran jualan semula HDB bukan sesuatu yang mengejutkan kerana keyakinan pembeli sudah meningkat dengan ketara di tengah-tengah pembukaan semula ekonomi.

Selain itu, sedang pembinaan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) mengalami kelengahan, para pembeli rumah kali pertama yang tidak sanggup menunggu sehingga flat mereka siap dibina juga sudah mengalihkan tumpuan kepada pasaran flat jualan semula, kata Pengurus Daerah PropertyGuru, Dr Tan Tee Khoon.

Sesetengah pembeli juga berebut-rebut untuk mendapatkan flat lima bilik dan flat yang lebih besar dalam pasaran jualan semula, kata Encik Lee Sze Teck, pengarah kanan kajian Huttons' Asia.

Ini telah menaikkan harga flat sedemikian dan menyebabkan lebih banyak flat untuk melepasi harga sejuta dolar pada suku kedua, menurut beliau.

Dalam sektor privet, pertumbuhan harga paling ketara adalah di Baki Kawasan Tengah (RCR). Ia meningkat sebanyak 6 peratus pada suku kedua berbanding kemerosotan 2.7 peratus pada suku sebelum itu, menurut data URA.

Harga rumah di Luar Kawasan Tengah (OCR) meningkat pada rentak yang lebih perlahan pada 1.7 peratus berbanding peningkatan 2.2 peratus yang dicatatkan pada suku sebelumnya.

Harga di Kawasan Utama (CCR) naik 1.6 peratus berbanding penurunan 0.1 peratus pada suku pertama.

Kenaikan harga itu dipacu oleh lonjakan pada jumlah pelancaran rumah baru, dengan sesetengah unit dijual pada harga penanda aras yang lebih tinggi, menurut para pengamat.
Ramalan kilat itu disusun berdasarkan harga urus niaga yang diberikan dalam kontrak yang diserahkan bagi bayaran cukai setem dan data mengenai unit-unit yang dijual oleh para pemaju hartanah setakat sehingga pertengahan bulan Jun.

URA akan mengeluarkan statistik hartanah yang dikemas kini bagi suku kedua 2022 pada lewat bulan ini.

Dalam kemas kini mengenai pelancaran seterusnya, HDB turut mengumumkan bahawa ia akan menawarkan sekitar 4,900 flat BTO di kawasan-kawasan seperti Ang Mo Kio, Bukit Merah, Choa Chu Kang, Jurong East, Tampines dan Woodlands pada Ogos ini.

Pada November, sekitar 9,500 flat BTO di kawasan-kawasan seperti Bukit Batok, Kallang Whampoa, Queenstown dan Yishun akan ditawarkan.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan