Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Harga flat jualan semula HDB naik 9.6% tahun lalu berbanding 4.9% pada 2023

Anggaran Waktu Membaca:
Harga flat jualan semula HDB naik 9.6% tahun lalu berbanding 4.9% pada 2023

Flat HDB di Singapura. (Gambar fail: iStock)

SINGAPURA: Harga flat jualan semula meningkat 9.6 peratus pada 2024, hampir dua kali ganda berbanding 4.9 peratus yang dicatatkan pada 2023, menurut anggaran awal Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Khamis (2 Jan).

Indeks harga jualan semula, yang mencerminkan naik turun harga dalam pasaran jualan semula, meningkat kepada 197.7 pada suku keempat - peningkatan sebanyak 2.5 peratus daripada suku sebelumnya, berdasarkan anggaran awal.

Ia lebih rendah berbanding pertumbuhan 2.7 peratus pada suku ketiga 2024, menurut HDB dalam kenyataan medianya.

Jumlah jualan semula pada suku keempat 2024 ialah 6,314, susut 3.6 peratus daripada 6,547 kes yang dicatatkan pada suku keempat 2023.

Penurunan jualan yang diperhatikan pada suku keempat 2024 disebabkan terutamanya oleh HDB melancarkan lebih 8,500 flat baharu pada Oktober, kebanyakannya di lokasi-lokasi utama dan menjadi rebutan ramai, kata Cik Christine Sun, ketua penyelidik dan ahli strategi OrangeTee & Tie.

"Ciri-ciri menarik flat ini, termasuk pemandangan indah dan berdekatan dengan stesen MRT, mengalihkan permintaan daripada pasaran jualan semula ke arah pasaran Bina Ikut Tempahan (BTO)," tambah Cik Sun.

"Selain itu, penjualan cenderung lebih perlahan pada hujung tahun disebabkan oleh cuti sekolah, sedang ramai rakyat Singapura melancong ke luar negara. Akibatnya, aktiviti jualan biasanya berkurangan sepanjang tempoh itu."

Bagaimanapun, jumlah jualan semula pada 2024 ialah 28,876, meningkat 8 peratus daripada 26,735 kes yang dicatatkan pada 2023.

"Harga jualan semula pada suku keempat 2024 terus didorong oleh permintaan yang kukuh, serta bekalan yang ketat dalam pasaran," kata HDB.

"Pemerintah telah menurunkan had pinjaman berbanding nilai untuk pinjaman perumahan HDB daripada 80 peratus kepada 75 peratus pada Ogos 2024 untuk meredakan pasaran dan menggalakkan sikap lebih berhemat dalam kalangan pembeli rumah."

HDB menasihatkan isi rumah supaya berhemat dalam pembelian rumah disebabkan oleh naik turun pasaran hartanah, sambil menambah bahawa mereka yang membeli pada harga tinggi akan terjejas lebih teruk jika harga melemah.

HDB juga akan memantau pasaran hartanah dengan teliti dan menyesuaikan dasar-dasarnya jika perlu untuk menggalakkan pasaran hartanah yang stabil dan mampan.

Pada 2024, HDB melancarkan 21,225 flat baharu, terdiri daripada 19,637 unit BTO dan 1,588 flat yang ditawarkan di bawah Jualan Baki Flat (SBF).

Februari 2025 akan menyaksikan sekitar 5,000 flat BTO dilancarkan di Kallang/Whampoa, Queenstown, Woodlands dan Yishun, bersama dengan SBF terbesar yang menawarkan lebih 5,500 flat di pelbagai estet.

Ini akan menjadikan jumlah flat baharu yang ditawarkan pada Februari 2025 kepada lebih 10,000.

RUMAH PRIVET

Harga rumah privet, bersama dengan jumlah transaksi jualan, meningkat pada 2024, berdasarkan anggaran awal daripada Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).

Indeks harga hartanah privet meningkat sebanyak 2.3 peratus pada suku keempat berbanding suku ketiga 2024.

Ini menjadikan kenaikan harga bagi keseluruhan 2024 kepada 3.9 peratus, "lebih sederhana berbanding peningkatan 6.8 peratus pada 2023 dan 8.6 peratus pada 2022", menurut URA dalam kenyataan medianya pada Khamis.

Jumlah urus niaga meningkat kira-kira 25 peratus pada suku keempat 2024 berbanding suku sebelumnya, kata URA.

Ini seiring dengan peningkatan pada jumlah unit yang dilancarkan untuk dijual oleh para pemaju.

Sungguhpun demikian, keseluruhan jumlah urus niaga pada 2024 turun kira-kira 14 peratus berbanding jumlah purata tahunan dari 2021 hingga 2023.

Bagi hartanah tanpa halaman, harga naik 3.2 peratus pada suku keempat 2024, meningkat daripada kenaikan 0.1 peratus pada suku sebelumnya.

Harga untuk hartanah tanpa halaman di Kawasan Tengah Utama (CCR) meningkat sebanyak 2.4 peratus, berbanding penurunan 1.1 peratus pada suku sebelumnya.

Harga bagi kawasan-kawasan di Baki Kawasan Tengah Utama (RCR) meningkat sebanyak 3.4 peratus, berbanding kenaikan 0.8 peratus pada suku sebelumnya.

Harga hartanah tidak berhalaman di luar kawasan CCR juga meningkat sebanyak 3.4 peratus, selepas kekal tidak berubah pada suku sebelumnya.

Kenaikan harga boleh dikaitkan dengan peningkatan ketara pada penjualan rumah baharu, yang secara amnya menguasai harga yang lebih tinggi, serta pelonggaran kadar faedah menjelang hujung tahun, kata Encik Mohan Sandrasegeran, ketua penyelidikan dan analisis data Singapore Realtors Inc (SRI).

"Pembeli rumah yang hati-hati sebelum ini mula memasuki semula pasaran, digalakkan oleh keadaan kewangan yang lebih memberangsangkan dan peningkatan pada jumlah pelancaran baharu," tambah Encik Sandrasegeran.

"Persekitaran yang lebih baik menggalakkan penyertaan yang lebih besar, dengan pemaju mengeluarkan projek secara strategik untuk memanfaatkan keyakinan pembeli."

Anggaran awal disusun berdasarkan harga transaksi yang diberikan dalam kontrak yang dikemukakan untuk pembayaran cukai setem dan data mengenai unit yang dijual oleh pemaju sehingga pertengahan Disember.

URA akan mengeluarkan data lengkap untuk suku keempat 2024 pada 24 Jan.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan