Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Harga flat jualan semula HDB naik 2.3% pada suku ke-4

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 27 Jan 2023 10:54AM Dikemas Kini : 27 Jan 2023 09:31PM

SINGAPURA: Harga bagi flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) naik 2.3 peratus pada suku keempat 2022, kenaikan paling perlahan pada tahun itu. 

Data yang dikeluarkan HDB pada Jumaat (27 Jan) menunjukkan urus niaga flat jualan semula merosot 12.6 peratus pada suku terakhir 2022, berbanding suku sebelumnya. 

Indeks harga jualan semula yang mencerminkan naik turun harga dalam pasaran jualan semula, adalah 171.9 pada suku keempat 2022. Ia naik lebih perlahan berbanding kenaikan 2.6 peratus pada suku ketiga 2022. 

Ini sekali gus menandakan pertumbuhan 11 suku beruntun bagi indeks harga jualan semula. 

Sepanjang 2022, harga flat jualan semula meningkat 10.4 peratus, lebih perlahan berbanding 12.7 peratus pada 2021. 

Urus niaga flat jualan semula pula merosot daripada 7,546 kes pada suku ketiga 2022 kepada 6,597 kes pada suku keempat. 

Berbanding suku keempat 2021, urus niaga jualan semula adalah 16.9 peratus lebih rendah. 

Urus niaga flat jualan semula merosot 10.1 peratus sepanjang 2022, daripada 31,017 kes kepada 27,896 kes. 

Pada 30 September 2022, Pemerintah memperkenalkan beberapa langkah meredakan pasaran, termasuk tempoh menunggu selama 15 bulan bagi pemilik rumah privet yang ingin membeli flat jualan semula HDB. 

Langkah-langkah lain termasuk had kuantum pinjaman maksimum yang lebih ketat. Bagi pinjaman HDB, Nisbah Antara Pinjaman dengan Nilai Hartanah (LTV) diturunkan daripada 85 peratus kepada 80 peratus. 

Jumlah permohonan yang diluluskan untuk menyewa flat HDB meningkat 3.5 peratus pada suku keempat 2022, berbanding suku sebelumnya. 

Berbanding tempoh yang sama pada 2021, jumlah permohonan yang diluluskan pada suku keempat 2022 adalah 19.7 peratus lebih rendah. 

Sepanjang 2022, permohonan yang diluluskan untuk menyewakan flat HDB merosot 15.1 peratus, daripada 42,623 kes kepada 36,166 kes. 

Pada akhir suku keempat 2022, terdapat 56,647 flat HDB disewakan, naik 0.5 peratus berbanding suku sebelumnya. 

FLAT BTO

Pada Februari, HDB akan menawarkan 4,400 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di kawasan Jurong West, Kallang Whampoa, Queenstown dan tengah. 

Antara 3,800 hingga 4,800 flat akan ditawarkan di kawasan Bedok, Kallang Whampoa, Queenstown, Serangoon dan Tengah pada pelancaran BTO Mei nanti. 

"Perangkaan itu tertakluk kepada penyesuaian sedang lebih banyak maklumat berhubung projek tersebut akan dimuktamadkan dekat dengan tarikh pelancaran," menurut HDB, sambil menambah ia merancang untuk menawarkan sehingga 23,000 flat BTO tahun ini. 

"HDB bersedia untuk melancarkan sehingga 100,000 flat secara keseluruhan antara 2021 hingga 2025, jika perlu. HDB akan terus memantau permintaan perumahan dan membuat penyesuaian, di mana perlu." 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan