Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Harga flat jualan semula HDB naik 2.3% pada Q2 2024, urus niaga meningkat 4%

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 26 Jul 2024 11:40AM Dikemas Kini : 26 Jul 2024 08:56PM
SINGAPURA: Harga flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) meningkat 2.3 peratus pada suku kedua 2024, naik lebih pantas berbanding pertumbuhan 1.8 peratus pada suku sebelumnya.

Indeks Harga Jualan Semula (RPI) bagi suku kedua 2024 ialah 187.9, meningkat daripada 183.7 pada suku sebelumnya, menurut data yang dikeluarkan HDB pada Jumaat (26 Jul).

RPI mencerminkan pergerakan harga umum dalam pasaran jualan semula.

Urus niaga jualan semula juga meningkat pada suku kedua 2024, naik sebanyak 4 peratus, daripada 7,068 kes pada suku pertama kepada 7,352 kes pada suku kedua.

Urus niaga jualan semula pada suku kedua 2024 adalah 12.9 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada 2023.

Ia didorong oleh "permintaan kukuh, serta bekalan ketat dalam pasaran dengan berkurangnya jumlah flat yang memenuhi tempoh penginapan minimum pada 2024 berbanding 2023", kata HDB.

HDB menyatakan urus niaga jualan semula bagi suku kedua yang melepasi paras jutaan dolar terus membentuk sebahagian kecil daripada jumlah transaksi jualan semula.

Tambahnya, "sebahagian besar flat jualan semula bertukar tangan pada harga yang jauh lebih rendah dan kekal dalam kemampuan ramai".

BEKALAN FLAT

HDB berkata ia akan menawarkan kira-kira 8,500 flat menerusi 15 projek Bina Ikut Tempahan (BTO) pada Oktober 2024.

Projek BTO baharu itu akan menawarkan flat Standard, Plus atau Prime. Butiran lanjut akan dikongsi semasa pelancaran.

Bagi mereka yang berminat untuk memohon flat BTO pada Oktober 2024, HDB menggalakkan mereka memohon surat Kelayakan Flat (HFE) HDB yang sah, awal-awal lagi dan menyerahkan semua dokumen yang diperlukan sebelum 15 Sep.

Lembaga perumahan itu menambah bahawa ia menepati sasaran untuk melancarkan sejumlah 100,000 flat dari 2021 hingga 2025.

"HDB komited untuk menyediakan pilihan rumah yang boleh diakses dan dalam kemampuan rakyat Singapura.

"Kami akan terus memantau permintaan perumahan dengan teliti, membuat penyesuaian jika perlu," katanya.

PASARAN FLAT SEWA

Permohonan bagi flat sewa HDB yang diluluskan meningkat sebanyak 1.7 peratus daripada 9,398 kes pada suku pertama 2024 kepada 9,554 kes pada suku kedua.

Bagaimanapun, jumlah permohonan yang diluluskan turun 2.9 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023.

Terdapat 58,596 flat HDB yang disewakan pada akhir suku kedua 2024, kata HDB, sambil menambah bahawa ia adalah peningkatan 0.4 peratus berbanding suku sebelumnya.

RAMALAN PASARAN

HDB berkata walaupun "keadaan ekonomi adalah kukuh secara keseluruhan, prospek ekonomi global masih tidak menentu, terutamanya berpunca daripada keadaan geopolitik yang tidak stabil secara berterusan dan mencetuskan kejutan bekalan dan permintaan global".

Kadar gadai janji domestik dijangka kekal tinggi berbanding paras rendah yang dilihat sepanjang dekad yang lalu.

Justeru, HDB menasihatkan keluarga agar berhemah apabila membeli flat dan memastikan mereka dapat membayar gadai janji mereka dalam jangka masa panjang.

"Pemerintah akan terus memantau pasaran hartanah dengan teliti dan menyesuaikan dasar-dasarnya mengikut keperluan untuk menggalakkan pasaran hartanah yang stabil dan mampan," kata HDB.
Sumber : CNA/SU/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan