Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Harga flat jualan semula HDB naik 12.7% pada 2021, tertinggi dalam 11 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Harga flat jualan semula HDB naik 12.7% pada 2021, tertinggi dalam 11 tahun

Flat-flat HDB di Singapura. (Gambar: Calvin Oh/CNA)

SINGAPURA: Harga flat jualan semula HDB di Singapura meningkat 12.7 peratus pada 2021, mencatatkan pertumbuhan tahunan tertinggi sejak 2010. 

Demikian menurut data Lembaga Perumahan dan Pembangunan hari ini (28 Jan).

Harga juga meningkat 3.4 peratus pada suku keempat 2021 berbanding suku ketiga. Ini tinggi sedikit berbanding dengan kenaikan 3.2 peratus yang diramalkan HDB awal bulan ini. 

Indeks harga flat jualan semula, yang memberikan maklumat tentang perkembangan harga secara am dalam pasaran flat jualan semula, adalah 155.7 pada suku keempat, naik daripada 150.6 pada suku ketiga. 

Rekod pertumbuhan itu disebabkan "persaingan bidaan harga dan tawaran tinggi wang tunai bagi banyak flat-flat popular," kata Naib Presiden Kanan Kajian dan Analitik OrangeTee & Tie, Cik Christine Sun. 

"Sebilangan pembeli membayar lebih daripada harga pasaran untuk flat-flat yang diinginkan," tambah Cik Sun. 

URUS NIAGA FLAT JUALAN SEMULA

Urusan niaga flat jualan semula jatuh 5.8 peratus dari 8,433 kes pada suku ketiga kepada 7,940 kes pada suku keempat. 

Berbanding dengan suku keempat 2020, urusan niaga flat jualan semula dalam tiga bulan terakhir pada 2021 adalah 3.9 peratus lebih tinggi. 

Untuk keseluruhan 2021, urusan niaga flat jualan semula naik 25.3 peratus kepada 31,017 kes daripada 24,478 pada 2020. 

Flat empat bilik kekal menjadi idaman ramai dengan 3,347 pendaftaran bagi flat jualan semula dalam kategori tersebut pada suku keempat. Ini diikuti dengan 2,085 pendaftaran bagi flat lima bilik dan 1,785 pendaftaran untuk flat tiga bilik. 

"Sikap optimistik kepada vaksin dan ekonomi masa akan datang, keyakinan baru kepada pasaran dan kadar faedah yang rendah merangsang permintaan dalam pasaran flat jualan semula HDB pada 2021," menurut Encik Mohan Sandrasegeran, penganalisis kajian dan kandungan di Ohmyhome. 

Kelengahan pembinaan flat-flat Bina-Ikut-Tempahan (BTO) mendorong pembeli dalam pasaran flat jualan semula untuk mendapatkan rumah dengan pantas, tambahnya. 

Cik Sun menarik perhatian bahawa rekod 259 flat bernilai jutaan dolar setiap satu dijual pada 2021, naik dari 82 unit pada 2020. 

Pemerintah mengumumkan langkah-langkah meredakan pasaran hartanah, termasuk memperketatkan Nisbah Antara Pinjaman dengan Nilai Hartanah HDB daripada 90 peratus kepada 85 peratus. 

"Selain itu, Pemerintah juga akan menambah lebih banyak bekalan perumahan awam dalam tempoh dua tahun akan datang untuk memenuhi permintaan kukuh daripada penduduk Singapura," menurut HDB hari ini.

PELANCARAN FLAT AKAN DATANG 

HDB sudah pun mengumumkan rancangannya untuk melancarkan sehingga 23,000 unit flat setiap tahun pada 2022 dan 2023 di estet-estet perumahan belum matang dan matang. 

HDB juga menyatakan ia sudah bersiap sedia untuk melancarkan sehingga 100,000 flat kesemuanya dari 2021 hingga 2025 jika perlu, bergantung kepada permintaan semasa. 

Sebanyak 3,900 unit BTO akan ditawarkan pada Februari di estet-estet seperti Geylang, Kallang Whampoa, Tengah dan Yishun. 

Pada Mei pula, terdapat lagi 5,200 hingga 5,700 unit BTO di Bukit Merah, Jurong West, Queenstown, Tampines, Toa Payoh dan Yishun. 

"Jumlah itu akan disemak semula sedang lebih banyak perincian projek dimuktamadkan berdekatan tarikh pelancaran," menurut HDB. 

PASARAN SEWA 

Jumlah pendaftaran yang diluluskan untuk menyewakan flat, meningkat 1.3 peratus daripada 10,417 kes pada suku ketiga kepada 10,551 kes pada suku keempat. 

Pada hujung suku keempat, sebanyak 56,596 unit flat HDB disewa, merosot 1.3 peratus berbanding suku ketiga. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan