Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Harga flat jualan semula HDB naik 12.5% pada 2021; tertinggi sejak 2010

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Harga flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) melonjak 12.5 peratus sepanjang 2021, dengan peningkatan itu merupakan pertumbuhan tahunan tertinggi sejak 2010, menurut ramalan awal  (HDB) pada Isnin (3 Jan). 

Harga juga meningkat buat tujuh suku berturut-turut pada tiga bulan terakhir 2021, meningkat 3.2 peratus berbanding suku sebelumnya. 

Indeks harga jualan semula buat suku keempat adalah 155.4, memanjangkan rekod suku sebelumnya, menurut ramalan tersebut. 

Indeks tersebut secara amnya memberikan gambaran tentang naik turun harga dalam pasaran flat jualan semula HDB. 

Bulan lalu, Pemerintah mengumumkan langkah-langkah untuk meredakan pasaran hartanah tempatan. 

Ini termasuk menaikkan Cukai Setem Pembeli Tambahan (ABSD), mengetatkan Nisbah Antara Pinjaman dengan Nilai Hartanah (LTV) dan menurunkan ambang Nisbah Pembayaran Hutang Keseluruhan (TDSR). 

Bagi flat-flat HDB, had LTV bagi pinjaman perumahan diketatkan dari 90 peratus kepada 85 peratus. 

"Selain itu, Pemerintah juga akan meningkatkan lagi bekalan perumahan awam bagi tempoh sekurang-kurangnya dua tahun akan datang," menurut HDB hari ini. 

HDB juga merancang untuk melancarkan sehingga 23,000  flat setiap tahun pada 2022 dan 2023. 

"Memandang ke hadapan, HDB bersedia melancarkan sehingga 100,000 unit flat dari 2021 hingga 2025, jika perlu, mengikut permintaan semasa," menurut HDB lagi. 

Menurut Cik Christine Sun, Naib Presiden Kanan Kajian dan Analitik OrangeTee and Tie, pasaran HDB "menjangkaui jangkaan" dari segi pertumbuhan harga dan jumlah penjualan pada 2021.

Permintaan terus menjangkaui bekalan bagi banyak daerah, katanya lagi, sambil menambah bahawa kelengahan membina flat dan tempoh yang panjang untuk menyiapkan flat BTO "mendorong pembeli" untuk menimbangkan flat jualan semula. 

Para pemilik rumah privet yang menjual rumah mereka dan kemudian membeli perumahan awam turut meningkatkan permintaan.

Jika kelengahan dalam industri binaan tidak dihuraikan, rancangan untuk meningkatkan bekalan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) tidak akan dapat menghuraikan ketidakseimbangan antara permintaan dengan bekalan dalam pasaran jualan semula, kata Encik Lee Sze Teck, Pengarah Kanan Kajian Huttons Asia. 

"Pada satu ketika, harga lebih stabil akan ditetapkan dalam pasaran jualan semula HDB," tambahnya lagi. 

Encik Eugene Lim, Pegawai Eksekutif Utama ERA, mengatakan "kelengahan" dalam industri binaan yang disebabkan oleh COVID-19 telah mengakibatkan masa menunggu yang lebih lama untuk pemilik mendapatkan flat BTO mereka. 

"Tempoh masa menunggu yang lebih lama daripada biasa untuk mendapatkan flat BTO masih merupakan isu kritikal yang menyebabkan dan akan terus mendorong para pembeli yang tidak sanggup menunggu begitu lama untuk mendapatkan flat baru mengalihkan tumpuan kepada pasaran jualan semula HDB," kata Encik Lim. 

Memandangkan pembeli flat kali pertama adalah pasangan yang merancang untuk bernikah atau membina keluarga, pilihan yang "lebih praktikal" adalah flat jualan semula, tambahnya lagi. 

"Maka itu, selagi HDB belum berupaya menyingkatkan tempoh menunggu untuk para pembeli mendapatkan flat BTO mereka, kita boleh menjangkakan permintaan flat jualan semula akan terus dirangsang oleh pembeli kali pertama (yang tidak sanggup menunggu) dan juga pembeli yang tidak layak untuk membeli flat BTO," katanya lagi. 

KESAN TERBATAS SUSULI LANGKAH REDA PASARAN

Menurut Cik Sun, mungkin terdapat "kesan terbatas" daripada langkah-langkah untuk meredakan pasaran yang diumumkan oleh Pemerintah. 

"Walaupun kebanyakan pembeli tidak akan terjejas dengan kadar LTV yang diturunkan, para pembeli secara amnya akan lebih berhati-hati semasa membeli rumah, malah mungkin akan mengambil peluang untuk berunding bagi mendapatkan harga yang lebih baik. Sesetengah penjual mungkin akan mula menyesuaikan jangkaan harga mereka," tambah beliau. 

Harga tidak dijangka akan merosot kerana permintaan "berkemungkinan kekal kukuh", dan pembinaan flat-flat baru mungkin akan mengalami kelengahan, katanya. 

Encik Lim pula mengatakan had LTV yang lebih rendah tidak akan menjejas mereka yang mempunyai keupayaan kewangan yang lebih kukuh, seperti mereka yang mempunyai simpanan dalam Tabung Simpanan Pekerja (CPF) ataupun simpanan wang tunai. 

"Lebih ramai pembeli juga lebih cenderung mengambil pinjaman bank untuk membeli flat jualan semula HDB kerana setakat ini kadar faedah yang ditawarkan bagi pinjaman perumahan adalah lebih rendah dan menarik berbanding 2.6 peratus yang ditawarkan oleh HDB," kata Encik Lim lagi. 

Beliau juga menambah, disebabkan oleh permintaan yang kukuh, harga flat jualan semula yang lebih tinggi boleh dijangkakan pada 2022. 

PELANCARAN FLAT BARU 

Pada Februari, sekitar 3,900 flat BTO akan ditawarkan di bandar-bandar ataupun estet-estet seperti Geylang, Kallang Whampoa, Tengah dan Yishun. 

Pada Mei pula, HDB akan menawarkan "sekitar 5,200 hingga 5,700" flat BTO di daerah-daerah seperti Bukit Merah, Jurong West, Queenstown, Tampines, Toa Payoh dan Yishun. 

"Jumlah ini akan disemak apabila lebih banyak maklumat tentang projek-projek tersebut dimuktamadkan lebih dekat dengan tarikh pelancarannya," dedah HDB.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan