Skip to main content

Singapura

Harga flat jualan semula HDB naik 1% pada suku pertama 2023

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 28 Apr 2023 12:52PM Dikemas Kini : 29 Apr 2023 12:52AM

SINGAPURA: Harga flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) naik 1 peratus pada suku pertama 2023.

Ia merupakan kenaikan suku tahunan paling rendah dalam 10 suku atau 30 bulan sebelum ini, kata HDB dalam satu kenyataan media pada Jumaat (28 Apr).

Menurut data yang dikeluarkan HDB, Indeks Harga Jualan Semula (RPI) meningkat 1 peratus kepada 173.6, kurang separuh daripada kenaikan 2.3 pada suku keempat 2022.

RPI mencerminkan pergerakan harga umum dalam pasaran jualan semula.

Pertumbuhan 1 peratus yang lebih perlahan itu mungkin disebabkan oleh rintangan pada harga yang ditetapkan, kata pegawai eksekutif utama ERA Realty Network, Eugene Lim.

Suku Indeks Harga Jualan Semula Kenaikan (%)
Q1 2023
173.6
1
Q4 2022 171.9 2.3
Q3 2022 168.1 2.6
Q2 2022 163.9 2.8
Q1 2022 159.5 2.4
“Kami melihat jurang perbezaan yang semakin meluas antara jangkaan penjual dan pembeli. Pembeli rumah keberatan untuk memadankan harga tinggi yang ditetapkan penjual kerana ini mungkin bermakna membayar tunai yang lebih tinggi,” kata Encik Lim.

Beliau juga berkata pembeli flat kali pertama "biasanya sangat sensitif terhadap harga" dan ada bajet lebih kecil berbanding pembeli kali kedua atau ketiga yang telah mendapat keuntungan daripada penjualan semula flat mereka.

Cik Christine Sun, naib presiden kanan penyelidikan & analitik di OrangeTee & Tie, pula berkata kenaikan harga jualan semula yang perlahan disebabkan oleh bekalan perumahan yang lebih tinggi, dengan lebih banyak flat siap dan pelancaran flat Bina ikut Tempahan (BTO).

Seperti Encik Lim, Cik Sun juga berkata sesetengah pembeli mempunyai bajet yang lebih kecil disebabkan oleh "gabungan harga rumah yang melambung tinggi, tekanan inflasi dan kadar gadai janji yang meningkat" yang mengurangkan kemampuan pembeli.

“Ditambah pula dengan keadaan global yang tidak menentu dan turun naik pasaran kewangan akibat krisis perbankan serta kebimbangan tentang kemelesetan global, mendorong pembeli untuk lebih berhemat dalam pembelian rumah mereka,” tambahnya.

“Oleh itu, lebih ramai pembeli memilih flat yang lebih kecil dan dalam kemampuan mereka. Jumlah urus niaga flat kecil meningkat lebih cepat berbanding flat besar. Akibatnya, pertumbuhan harga pada keseluruhannya lebih perlahan kerana flat yang lebih kecil membentuk bahagian jualan yang lebih tinggi pada suku lalu, dan harga flat kecil biasanya yang lebih rendah."

Pertumbuhan kecil dalam harga jualan semula mungkin juga disebabkan oleh urus niaga yang mencecah sejuta dolar, kata Encik Mohan Sandrasegeran, penganalisis kanan untuk penyelidikan dan ciptaan kandungan di One Global Property Services.

“Pada suku pertama 2023, urus niaga bernilai lebih sejuta dolar meningkat kepada 103, meningkat daripada 92 pada suku keempat 2022,” katanya.

Menurut Encik Lim pula: “Memandangkan harga jualan semula seakan mencapai tahap rintangan, kami menjangkakan kadar harga jualan semula meningkat lebih sederhana tahun ini. Bagi 2023, harga HDB mungkin meningkat antara 5 peratus hingga 7 peratus berbanding 10.4 peratus berbanding pada tahun lepas.”

Bagi suku pertama 2023, urus niagaflat jualan semula meningkat 5.8 peratus kepada 6,979 berbanding 6,597 pada suku keempat tahun lalu.

Urus niaga jualan semula adalah 0.6 peratus lebih tinggi pada suku pertama 2023 berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Sumber : CNA/SU/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita